Bina Semula Ekosistem Sejahtera Buat Anak-Anak Kita – IKRAM Muda

Bina Semula Ekosistem Sejahtera Buat Anak-Anak Kita - IKRAM Muda

IKRAM Muda Malaysia (IKRAM Muda) menzahirkan rasa dukacita yang mendalam terhadap insiden melibatkan kematian dua murid iaitu Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14 (25 September 2026), dan yang terkini Allahyarhamah Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16 (3 Oktober 2026).

Kami mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka ditempatkan dalam kalangan orang soleh.

IKRAM Muda menggesa siasatan yang telus dan pantas segera dijalankan serta menyeru orang ramai agar tidak menimbulkan spekulasi atau mendedahkan mana-mana identiti pesalah kanak-kanak yang terlibat sepanjang siasatan. 

IKRAM Muda ingin mengajak seluruh masyarakat Malaysia untuk merenung dan menyedari bahawa dua insiden tragis ini tidak berlaku secara tiba-tiba.

Sebaliknya, kejadian ini merupakan isyarat penting kepada masalah yang lebih besar yang telah menjadi akar umbi dalam ekosistem tumbesaran anak-anak sejak sekian lama. Kejadian ini lebih membuka mata kita bahawa ia hanyalah natijah kepada masalah-masalah yang tercipta secara sistemik.

Justeru, semua pihak harus sedar dan menggalas beban peranan untuk membangunkan semula ekosistem yang sejahtera untuk anak-anak di Malaysia agar insiden memilukan ini tidak berulang lagi dalam generasi akan datang. 

IKRAM Muda juga menuntut Kementerian Pendidikan Malaysia memperkukuh sistem yang menjamin kesejahteraan secara sistemik, melaksanakan langkah-langkah pencegahan dan menjunjung ketelusan, akauntabiliti serta semakan bebas dalam siasatan. 

Kami menyeru pihak pentadbiran sekolah dan guru-guru untuk mewujudkan dan memastikan ruang fizikal selamat, mewujudkan sistem pelaporan salah laku yang baik dan dilindungi serta memberdaya apa jua bentuk pendidikan emosi dan sahsiah murid.

Kami menggesa pihak ibu bapa dan komuniti untuk melibatkan diri secara aktif dalam pembangunan sekolah, menyediakan ruang digital yang selamat, mendampingi dan mendengar anak-anak tanpa menghukum dan menyediakan ruang sokongan yang selamat.

IKRAM Muda komited untuk menjalin kerjasama strategik dengan mana-mana pihak yang berkongsi aspirasi yang sama dalam usaha membina komuniti yang lebih baik, inklusif dan sejahtera.

Ekosistem yang sejahtera ini hanya akan wujud jika semua pihak memainkan peranan tersendiri, bermula dengan ibu bapa dan komuniti yang mendidik, cakna dan berperanan, sekolah yang menjamin suasana pembelajaran yang selamat dan Kementerian yang proaktif dalam mencegah dan membendung insiden buruk daripada terus berlaku di sekolah. 

Abdullah Zubayr Mohd Aizaini 
Ketua IKRAM Muda Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia