Jangan Sebarkan Ucapan Kebencian di Media Sosial

Jangan Sebarkan Ucapan Kebencian

Sama ada kita perasan ataupun tidak, media sosial telah banyak mengubah cara kita berkomunikasi. Dahulu jika kita menulis, mungkin pandangan kita dibaca hanya oleh beberapa orang.

Namun kini, melalui ruangan “comments” dan “replies” yang sering kita taip, kata-kata kita boleh sampai kepada ribuan, malah jutaan pengguna dalam masa yang singkat.

Perubahan ini memberikan ruang yang luas untuk berkongsi ilmu, pandangan dan pengalaman. Tetapi ironinya, ruang yang sama juga membuka peluang kepada penyebaran kata-kata kebencian secara lebih pantas dan meluas.

Kenali kata-kata kebencian 

Apa itu kata-kata/ucapan kebencian (hate speech)? Dalam bidang sosiologi siber (cybersociology) dan sosiolinguistik, kata-kata kebencian lazimnya merujuk kepada ungkapan yang menyerang, merendahkan, mendiskriminasi atau mendorong kebencian terhadap seseorang atau sesuatu kelompok berdasarkan identiti tertentu seperti agama, bangsa, etnik, kewarganegaraan, jantina atau ciri identiti yang lain.

Takrifnya bagaimanapun tidak seragam dalam semua sistem undang-undang dan platform digital. UNESCO sendiri menganggap kata-kata kebencian (hate speech) sebagai isu yang kompleks kerana ia bercabang dan terletak betul-betul di persimpangan antara kebebasan bersuara, maruah manusia dan keperluan melindungi masyarakat daripada diskriminasi dan kebencian.

Jika mahu faham betapa rumitnya isu kata-kata kebencian, ada baiknya kita melihat berdasarkan pengalaman masyarakat Rohingya di Myanmar.

Menurut Suruhanjaya Pencari Fakta Antarabangsa PBB mengenai Myanmar, didapati bahawa media sosial, khususnya Facebook, telah digunakan secara aktif untuk menyebarkan naratif yang menggambarkan Rohingya sebagai ancaman di samping menggunakan bahasa yang merendahkan kemanusiaan mereka.

Naratif yang berteraskan kata-kata kebencian tersebut, menurut laporan itu, turut menyumbang kepada persekitaran yang sangat kondusif kepada diskriminasi dan keganasan terhadap komuniti Rohingya di Myanmar.

Jadi tidak hairanlah kalau kita lihat, fenomena yang sama berlaku kepada persepsi masyarakat Rohingya di Malaysia.

Mungkin disebabkan beberapa masalah jenayah dan sikap segelintir individu Rohingya yang viral atau menjadi pengalaman peribadi yang buruk bagi sesetengah anggota masyarakat kita, maka pengalaman sekelompok kecil itu akhirnya digeneralisasi kepada keseluruhan bangsa Rohingya dan menjadi bahan kebencian dalam media sosial.

Apabila keadaan ini berulang, masyarakat bukan sahaja melihat atau membaca sesuatu peristiwa, tetapi turut menerima bulat-bulat cara untuk memahami peristiwa tersebut. Sekelip mata, satu pengalaman buruk segelintir itu boleh berubah menjadi gambaran tentang seluruh kelompok; satu kes boleh dianggap mewakili ribuan orang; dan satu cerita yang berulang-ulang akhirnya kelihatan seperti suatu kebenaran umum.

Akhirnya…? Kebencian tidak lagi berhenti pada kata-kata di skrin semata-mata, tetapi berpotensi membentuk sikap dan tindakan fizikal di dunia sebenar, termasuklah penghinaan secara terbuka, penolakan secara berkumpulan, gangguan dan tindakan kekerasan terhadap kelompok yang menjadi sasaran.

Di sinilah kata-kata kebencian yang pada awalnya hanya berada di media sosial, tetapi akhirnya menjadi lebih daripada sekadar kata-kata. Bahkan bukan isu Rohingya saja, hal yang sama turut terjadi dalam isu-isu seperti politik, sensitiviti bangsa dan kelas sosial (B40 dan sebagainya).

Betapa besar masalah ini dapat kita lihat daripada sejauh mana kandungan kebencian telah memasuki pengalaman harian pengguna Internet umumnya. UNESCO melaporkan bahawa dalam satu tinjauan global, 67% pengguna Internet yang ditinjau menyatakan bahawa mereka pernah menemui kandungan yang mereka anggap sebagai hate speech dalam talian.

Angka ini menunjukkan bahawa kandungan kebencian bukan lagi fenomena terpencil dalam ruangan atau komuniti tertentu saja, sebaliknya telah menjadi sebahagian daripada pengalaman komunikasi digital yang dapat dikenal pasti dengan baik bagi sebahagian besar pengguna Internet seluruh dunia.

Lebih membimbangkan apabila dalam konteks Asia Tenggara, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR) memberi perhatian serius kepada keadaan bagaimana teknologi digital dapat mempercepat penyebaran kata-kata kebencian.

Dari sini, suatu isu yang lain telah “masuk gelanggang”, mengakibatkan kata-kata kebencian lebih mudah diamalkan oleh pengguna teknologi digital tanpa rasa bimbang!

Kaitan kata-kata kebencian dengan anonimiti

Pernahkah anda mendengar tentang anonimiti (anonymity)? Anonimiti ialah suatu keadaan apabila identiti sebenar seseorang tidak diketahui atau sukar dikenal pasti oleh orang lain. Secara umumnya, hal ini dikenali dalam media sosial, khususnya Facebook sebagai “fake account” (akaun palsu). 

Fenomena akaun palsu ini sangat mudah berlaku dalam dunia siber, khususnya media sosial, kerana pengguna media sosial dengan mudah dapat mendaftar akaun baharu menggunakan nama samaran atau pemalsuan identiti yang akhirnya dapat memisahkan antara identiti hakiki pengguna daripada tanggungjawab moral yang dipikulnya melalui komen-komen yang ditinggalkan.

Dalam keadaan sedemikian, seseorang cenderung merasakan bahawa kata-kata yang ditulis di skrin tidak membawa akibat sosial yang sama seperti kata-kata yang diucapkan secara bersemuka.

Walau bagaimanapun, tidak dinafikan hubungan “kausaliti” (sebab-akibat) antara anonimiti dengan kata-kata kebencian bukanlah hubungan yang mudah. Dengan kata lain, tidak semua pengguna nama samaran pasti akan menghasilkan kandungan kebencian, dan tidak semua kata-kata kebencian datang daripada akaun anonim (tanpa identiti atau menggunakan nama samaran, fake account).

Isunya ialah anonimiti sudah terbukti secara empirikal  boleh mengurangkan rasa akauntabiliti sosial lalu menyumbang kepada keadaan yang dikenali sebagai online disinhibition, iaitu kecenderungan seseorang untuk bertindak atau bercakap dengan lebih bebas, kasar atau ekstrem dalam persekitaran maya.

Hal ini disokong oleh satu meta-analisis terkini yang menghimpunkan 71 artikel dan 80 kajian melibatkan lebih 57,000 peserta, yang mendapati bahawa anonimiti dan online disinhibition kedua-duanya mempunyai hubungan positif yang signifikan dengan tingkah laku agresif dalam talian.

Dalam konteks ini, penggunaan nama samaran atau akaun yang menyembunyikan identiti sebenar bukan sekadar persoalan teknikal (bagaimana akaun didaftarkan) sahaja, malah ia boleh mengubah cara pemilik akaun tersebut melihat risiko ke atas dirinya dengan kebebasan menulis yang tanpa had.

Apabila identiti dan reputasi peribadi dirasakan lebih terlindung, sebahagian pengguna mungkin merasakan bahawa mereka mempunyai lebih banyak kebebasan untuk mengeluarkan kata-kata yang mungkin tidak akan mereka ucapkan secara bersemuka.

Di sinilah anonimiti menjadi salah satu jawapan kepada persoalan mengapa kata-kata kebencian lebih mudah muncul dan berkembang dalam ruangan media sosial!

Kaedah pencegahan 

Setelah kita memahami masalah dan faktor yang menyumbang kepada masalah ini, sepatutnya kita mula bertanyakan kepada diri: “bagaimana seharusnya saya berlepas diri daripada masalah ini?”

Berlepas diri daripada masalah ini tidak semestinya bermaksud kita tidak melakukannya, malah lebih penting lagi, kita jangan menjadi salah seorang pemangkin (atau istilah catchy sekarang “enabler”) kepada penyebaran secara meluas kata-kata kebencian dalam media sosial.

Kenapa…? Pada hakikatnya, setiap kali kita berkongsi, membalas (termasuklah mengkritik) atau memberikan perhatian kepada kandungan yang mengandungi kebencian, kita berpotensi membantu kandungan tersebut mencapai lebih ramai orang.

Allah SWT berfirman dalam Surah ar-Rum, ayat 41:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ

Telah nyata kerosakan di darat dan di lautan (yakni di merata-rata tempat) oleh sebab apa yang dilakukan tangan-tangan manusia sendiri.

Dalam surah Qaf, ayat 18 pula, Allah SWT berfirman:

مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

Tidaklah sesuatu yang mereka nyatakan itu (sama ada dalam bentuk lisan ataupun tulisan) melainkan di sampingnya ada malaikat Raqib dan ‘Atid (yang sentiasa mencatat untuk dihitung kekal). 

Sehubungan itu, saya merasakan terdapat beberapa langkah berikut yang sangat praktikal untuk kita amalkan apabila kita mendapat elemen kata-kata kebencian.

1. Jangan sekali-kali berkongsi kandungan kebencian walaupun dengan tujuan mengkritik dan mengecamnya.

Niat kita mungkin hanya untuk menunjukkan bahawa kandungan tersebut salah, tetapi perkongsian tetap boleh memperluas jangkauannya kepada orang yang sebelumnya tidak pernah melihat kandungan tersebut.

Jika perlu menunjukkan kandungan tersebut sebagai bukti, gunakan kaedah yang tidak memperluas penyebarannya secara terbuka seperti screenshot yang tidak mengandungi pautan (link).

2. Jangan balas (komen) kebencian dengan kebencian.

Balasan yang menghina atau memperlekehkan pihak lain hanya memanjangkan rantaian konflik. Kritikan boleh diberikan terhadap sesuatu pandangan atau perbuatan, tetapi tidak perlu berubah menjadi penghinaan terhadap individu atau kelompok.

3. Jika perlu, simpan bukti, terutamanya apabila kandungan tersebut serius terhadap anda dan keluarga anda sendiri.

Jika melibatkan ancaman, gangguan, penyamaran, hasutan atau bentuk pelanggaran yang lain kepada diri anda dan ahli keluarga sendiri sebagai contoh, boleh simpan tangkap layar, pautan, nama akaun dan tarikh kejadian sebelum membuat laporan polis. Bukti ini boleh membantu menjelaskan kandungan yang dilaporkan dan konteks berlakunya kandungan itu.

4. Gunakan fungsi “Report” yang disediakan oleh platform.

Jangan mengkritik atau membalas di ruangan komen. Jika kandungan benar-benar melanggar peraturan platform, gunakan saluran pelaporan yang tersedia dan pilih kategori yang paling sesuai seperti hate speech, harassment (gangguan/penganiayaan), threats (ancaman), impersonation (penyamaran identiti) atau spam, bergantung pada sifat kandungan tersebut.

5. Gunakan fungsi “Block” atau “Restrict” apabila perlu.

Selepas membuat laporan, pengguna boleh mengehadkan interaksi dengan akaun tersebut supaya kandungan yang sama tidak terus muncul atau mencetuskan pertengkaran baharu. Tujuannya bukan semata-mata untuk menghukum pengguna itu, tetapi untuk memutuskan rantaian interaksi yang boleh menyebabkan kebencian terus berkembang.

Akhir sekali ingin saya tekankan, pencegahan kata-kata kebencian bukan hanya tanggungjawab platform media sosial atau pihak berkuasa saja. Pengguna biasa seperti kita juga bertanggungjawab dan mempunyai peranan penting dalam menentukan sama ada sesuatu kandungan akan terus berkembang atau terhenti. 

Di sinilah saya fikir, sangat wajar untuk kita sama-sama bermuhasabah melalui sepotong hadis berikut:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيمَانِ

Barang siapa daripada kamu melihat sesuatu kemungkaran, hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu, dengan lidahnya (melalui nasihat yang baik). Jika tidak mampu juga, dengan hatinya (yakni membenci perkara tersebut dan jangan menormalisasikannya). Dan membenci dengan hati itulah selemah-lemah iman.

Jom sama-sama kita laporkan kata-kata/ucapan kebencian dan akaun palsu!

Dr Amer Hudhaifah Hamzah
Ahli Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia