Kemunculan kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) memberi kesan kepada hampir setiap aspek kehidupan manusia, termasuk dunia pendidikan. Dengan hanya beberapa “prompt” atau arahan, AI mampu menghasilkan nota, soalan, rancangan pengajaran harian, bahan pembelajaran malah memberikan jawapan kepada pelbagai persoalan dalam masa beberapa saat.
Murid-murid juga menjadikan AI sebagai rujukan dan tumpuan utama dalam mencari maklumat malah jawapan mana-mana persoalan. Banyak video versi AI dijana hinggakan dapat menggantikan guru di dalam kelas.
Murid hanya perlu klik dan tonton, “sebijik” seperti guru sedang mengajar. Malah jika murid ingin mendapatkan maklumat yang lebih mendalam, mereka boleh bertanya dan jawapan yang mereka peroleh lebih cepat, mendalam malah lebih faham.
Dunia AI, dunia tanpa guru?
Keadaan ini menimbulkan satu persoalan yang semakin relevan iaitu dalam zaman AI, adakah guru masih diperlukan lagi? Jawapannya ialah benar. Malah, semakin canggih sesuatu teknologi berkembang, semakin penting kewujudan seorang guru.
Tidak dinafikan bahawa AI mampu melakukan sebahagian tugas yang selama ini dilakukan oleh guru. Murid juga boleh menggunakan AI untuk mendapatkan penerangan tentang sesuatu topik, mencari idea, menterjemahkan bahan dan membuat latihan.
Guru juga boleh menggunakan AI bagi menyediakan bahan pengajaran, membina soalan, menganalisis pencapaian murid dan merancang aktiviti pembelajaran. Dalam aspek ini, AI boleh menjadikan proses pendidikan lebih pantas, cekap dan berkesan.
Namun begitu, pendidikan bukan sekadar proses memindahkan maklumat daripada guru kepada murid. Yang paling penting, pendidikan merupakan proses membentuk manusia. AI mungkin mampu menjelaskan sejarah sesebuah negara, tetapi AI tidak boleh menggantikan pengalaman seorang guru yang membimbing murid memahami nilai sesebuah perjuangan, pengorbanan dan patriotisme.
AI boleh menghasilkan nasihat tentang disiplin, tetapi guru yang berhadapan dengan gelagat murid setiap harilah yang dapat memahami latar belakang, emosi dan cabaran yang dihadapi oleh murid tersebut. AI boleh membantu tetapi yang mempraktik dan merealisasikan segala bantuan tersebut adalah guru.
Seorang guru juga mampu mengenal pasti perubahan kecil dalam diri murid terutama perubahan emosi dan sosial. Murid yang biasanya aktif tiba-tiba menjadi pendiam. Murid yang dahulu rajin mula tidak menyiapkan tugasan. Murid yang sering ceria kelihatan murung. Perubahan seperti ini memerlukan sentuhan manusia. Guru boleh bertanya, mendengar, memberikan nasihat dan menjadi tempat murid mendapatkan sokongan.
AI membantu membina profesion guru
Walau bagaimanapun, kemunculan AI seharusnya menjadi peluang kepada guru untuk mengubah cara bekerja. Guru tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada kaedah pengajaran yang sama seperti dahulu. Jika murid hidup dalam dunia digital, pendekatan pendidikan juga perlu bergerak seiring dengan perubahan zaman.
Guru yang menggunakan AI dengan bijak boleh mengurangkan beban kerja rutin dan memberikan lebih banyak masa kepada perkara yang lebih penting. Sebagai contoh, AI boleh membantu menghasilkan soalan latihan tetapi guru menentukan sama ada soalan tersebut sesuai dengan tahap sebenar murid.
Malah AI juga boleh membantu guru menyediakan soalan mengikut aras dan tahap murid. AI boleh membantu menyediakan nota, tetapi guru memastikan kandungannya tepat dan selari dengan objektif pembelajaran.
AI boleh mencadangkan aktiviti, tetapi guru perlu memastikan kesahihan maklumat yang diberikan dan memahami keadaan sebenar kelas serta memilih aktiviti yang paling sesuai dengan emosi dan keadaan murid.
Oleh itu, persoalan sebenar bukanlah sama ada AI akan menggantikan guru, tetapi bagaimana guru menyesuaikan diri dengan kewujudan AI?
Pada masa hadapan, guru mungkin tidak lagi dilihat semata-mata sebagai penyampai ilmu. Guru akan menjadi fasilitator, nuqaba’, pemudah cara, mentor, pembimbing dan pembentuk karakter. Kemahiran seperti pemikiran kritis, kreativiti, komunikasi, empati dan nilai kemanusiaan akan menjadi semakin penting.
Ironinya, teknologi memang semakin pintar dan pantas, namun kepintaran dan kepantasan tersebut masih memerlukan manusia untuk mengesahkan dan memastikan kebenaran serta kesesuaian sesuatu maklumat.
AI boleh memberikan jawapan dalam beberapa saat, tetapi guru mengajar murid untuk menilai sama ada jawapan itu benar atau salah. AI boleh menghasilkan karangan, tetapi guru mengajar murid berfikir dan membina idea sendiri.
AI boleh memberi idea tetapi gurulah yang menjadi idea itu lebih membumi. AI adalah pembantu bukan pengganti. AI boleh memberikan maklumat, tetapi guru membimbing murid menggunakan ilmu secara bertanggungjawab.
Justeru, zaman AI bukanlah zaman tanpa guru. Sebaliknya, ia ialah zaman yang menuntut guru lebih celik teknologi, lebih kreatif, lebih mendahului dan lebih manusiawi. Guru masa depan bukan guru yang bersaing dengan AI, tetapi guru yang tahu menggunakan AI untuk memperkukuh tugasnya. Teknologi boleh membantu guru mengajar, tetapi hanya manusia mampu mendidik manusia.
AI mungkin boleh menjadi pembantu guru, tetapi guru tetap menjadi jantung kepada pendidikan.
Mohamad Sazmani Abdul Samat
Sungai Petani, Kedah Darul Aman




