Daripada isu netizen mutakhir ini berkaitan drama “Madu atau Racun”, amalan yoga dan pelbagai isu lain yang menyentuh agama dan moral, ia membuka persoalan yang lebih besar selain tentang hukum. Ia juga tentang neraca yang digunakan untuk menentukan apa yang benar dan apa yang salah.
“Pada saya, tak ada masalah pun.”
“Kalau tak suka, jangan tengok.”
“Yoga cuma senaman. Apa yang nak dipersoalkan?”
“Zaman sekarang, jangan terlalu menghukum.”
Ayat-ayat seperti ini mudah ditemui dalam ruang media sosial apabila sesuatu isu menyentuh agama dan moral. Masing-masing berhujah berdasarkan pengalaman, pertimbangan akal, apa yang dirasakan munasabah atau apa yang sudah begitu biasa dalam masyarakat.
Di sinilah persoalan yang lebih mendasar perlu ditanya: “Apabila agama telah menetapkan batas, adakah batas itu masih menjadi neraca dalam menilai sesuatu, atau pandangan sendiri terlebih dahulu dijadikan ukuran sebelum agama dirujuk?”
Masalahnya bukan pada penghujahan akal seseorang. Islam sendiri mengangkat kedudukan akal dan mengajak manusia berfikir, meneliti serta mengambil pengajaran. Namun, akal manusia tetap mempunyai batas. Ada perkara yang boleh dinilai melalui pertimbangan akal dan ada perkara yang memerlukan petunjuk wahyu.
Perlu diingatkan, akal digunakan untuk memahami wahyu, bukan mengambil alih kedudukan wahyu.
Masalah bermula apabila agama tidak lagi menjadi titik mula dalam pertimbangan moral. Soalan yang sepatutnya bermula dengan, “Apakah panduan agama tentang perkara ini?” berubah menjadi, “Apa pendapat aku tentang perkara ini?”
Lebih membimbangkan apabila pandangan agama tidak selari dengan pendirian sendiri. Daripada menilai semula pendirian berdasarkan neraca agama, muncul kecenderungan mencari alasan untuk mempertahankan apa yang sudah dipercayai.
Justeru, masalahnya apabila “apa yang aku rasa benar” menjadi ukuran terakhir terhadap apa yang agama tetapkan sebagai benar. Sebab itu, “aku tidak nampak salah” tidak semestinya bermaksud “agama mengatakan ia tidak salah”.
Sesuatu perkara tidak menjadi benar hanya kerana kita tidak melihat kesalahannya atau kerana ia sudah menjadi kebiasaan. Bagi seorang Muslim, ukurannya tetap panduan agama.
Apabila berlaku perselisihan tentang sesuatu yang berkaitan dengan agama, pendapat peribadi bukanlah neraca terakhir. Perkara itu perlu dikembalikan kepada Allah dan Rasul-Nya.
Islam mendidik umatnya agar meletakkan akal pada kedudukan yang ada batasnya, mengenal sumber kebenaran dan tunduk kepada syariat apabila agama telah memberikan panduan.
Apabila yang salah menjadi biasa
Cabaran memperbaik amalan yang salah menjadi lebih rumit apabila sesuatu yang salah tidak lagi kelihatan salah kerana telah menjadi kebiasaan.
Normalisasi tidak berlaku secara tiba-tiba. Sesuatu yang pada awalnya dianggap keterlaluan boleh menjadi biasa apabila ia semakin kerap dilihat, didengar dan seterusnya diterima dalam kehidupan seharian.
Apa yang dahulu membuat orang mengerutkan dahi akhirnya membuat orang ketawa. Apa yang dahulu ditegur akhirnya dianggap perkara kecil. Proses ini juga menunjukkan bagaimana persekitaran sosial dan budaya popular boleh mempengaruhi cara sesuatu perkara dinilai.
Pendedahan yang berulang boleh menghakis rasa janggal terhadap sesuatu yang bercanggah dengan nilai agama. Lama-kelamaan, persoalannya bukan lagi, “Bolehkah perkara ini dilakukan?” tetapi, “Mengapa pula tidak boleh?”
Normalisasi tidak mengubah hukum
Sesuatu yang haram tidak menjadi halal kerana semakin ramai melakukannya. Tetapi hati manusia boleh menjadi semakin kurang sensitif terhadap dosa apabila sesuatu kesalahan terus dipaparkan, diulang dan diterima sebagai kebiasaan.
Seseorang yang melakukan dosa tetapi masih mengakui bahawa perbuatannya salah masih mempunyai ruang untuk berubah dan bertaubat. Sebaliknya, apabila dosa tidak lagi dilihat sebagai dosa, rasa bersalah semakin hilang dan keinginan untuk berubah turut melemah.
Atas sebab itu masyarakat yang sihat bukan masyarakat yang tidak mempunyai dosa. Itu mustahil. Masyarakat yang sihat ialah masyarakat yang masih mampu mengenal yang salah sebagai salah, tidak meredainya dan berusaha membaikinya.
Allah SWT berfirman dalam Surah Ali ‘Imran ayat 104 agar umat Islam menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran. Teguran terhadap kemungkaran bukan sekadar soal pilihan peribadi, tetapi sebahagian daripada kewajiban dalam kehidupan bermasyarakat.
Cabaran hari ini bukan hanya kurangnya pengetahuan tentang hukum, tetapi juga penghayatan agama dalam kehidupan. Seseorang mungkin mengetahui sesuatu itu salah, tetapi pengetahuan itu belum tentu membentuk cara dia menilai, memilih dan bertindak.
Cabaran menjadi lebih besar apabila perkara yang bercanggah dengan nilai agama semakin biasa dilihat dalam hiburan, budaya popular, pergaulan, gaya hidup dan kandungan digital.
Biar apapun keadaannya, normalisasi tidak mengubah hukum. Yang menakutkan, ia mengubah cara manusia melihat hukum.
Tegas pada prinsip, rahmah kepada manusia
Mengembalikan neraca agama tidak bermaksud menjadikan dakwah sebagai gelanggang menghukum manusia.
Menolak sesuatu perbuatan tidak bererti menghina pelakunya. Mempertahankan prinsip tidak bermaksud menganggap diri lebih suci. Menegur kesalahan tidak seharusnya menutup pintu taubat.
Di sinilah dakwah memerlukan hikmah dan himmah – hikmah dalam menyampaikan kebenaran dan himmah dalam mengusahakan perubahan.
Tugas dakwah bukan sekadar mengatakan, “Ini haram”, tetapi membantu manusia memahami mengapa ia dilarang, apa mudaratnya, bagaimana menghindarinya dan jalan untuk kembali apabila sudah terjebak.
Ketegasan terhadap kesalahan dan rahmah terhadap manusia bukan dua perkara yang bertentangan. Kebenaran perlu disampaikan dengan ilmu dan hikmah, manakala teguran perlu dilakukan dengan menjaga maruah serta membuka ruang untuk berubah.
Tujuan islah bukan untuk memenangkan perdebatan, tetapi membawa manusia kembali kepada kebaikan.
Mengembalikan agama sebagai neraca
Akhirnya, cabaran hari ini bukan sekadar mengajak manusia meninggalkan perkara yang haram. Cabaran yang lebih besar ialah memelihara keupayaan manusia untuk mengenal yang haram sebagai haram, meskipun ia telah begitu biasa dipertontonkan, dilakukan dan diterima.
Atas sebab itu, pendidikan agama tidak seharusnya terhenti pada penguasaan hukum halal dan haram. Ia perlu membentuk cara berfikir yang berpandukan wahyu, agar seseorang Muslim bukan sahaja mengetahui batas syarak, tetapi mampu menjadikan agama sebagai neraca ketika berhadapan dengan pelbagai pilihan, pengaruh dan perubahan zaman.
Di situlah agama berfungsi sebagai neraca, bukan untuk menghalang manusia berfikir, tetapi untuk membimbing fikiran agar tidak kehilangan arah. Apabila yang salah semakin dibiasakan, islah dan dakwah perlu mengembalikan neraca agar yang benar tetap dikenali sebagai benar dan yang salah tetap dilihat sebagai salah.
Basmin Maarof
Pegawai Kanan
Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia




