- Pernahkah kita bergegas ke masjid selepas menerima berita kematian seorang sahabat, jiran atau kenalan tetapi solat jenazah telah selesai? Jenazah sudah diangkat menuju ke tanah perkuburan.
Kita pula hanya sempat berdiri di belakang, memandang orang ramai pergi sambil hati berkata, “Aku terlepas solat jenazahnya.” Lebih menyedihkan apabila kita sampai ke tanah perkuburan ketika tanah sudah mula menutupi liang lahad.
Pada saat itu, mungkin timbul satu persoalan, masihkah ada peluang untuk kita menunaikan solat jenazah? Persoalan ini membawa kita bukan sahaja kepada perbahasan fiqh, tetapi juga kepada satu akhlak besar yang perlu kita hayati daripada Rasulullah SAW iaitu rahmah dan kepedulian terhadap sesama manusia.
Rasulullah SAW tidak melupakan mereka yang pergi
- Antara kisah yang sangat menyentuh hati ialah kisah seorang yang biasa membersihkan masjid Nabi SAW. Apabila orang tersebut meninggal dunia, para sahabat mengebumikannya tanpa memberitahu Rasulullah SAW.
Apabila Baginda bertanya tentangnya dan diberitahu bahawa dia telah meninggal dunia, Rasulullah SAW bersabda: “Mengapa kamu tidak memberitahuku tentangnya? Tunjukkan kepadaku kuburnya.” Baginda kemudian pergi ke kuburnya dan menunaikan solat jenazah untuknya. (HR al-Bukhari, no. 458)
Perhatikan akhlak Baginda. Orang tersebut bukan tokoh besar, bukan pemimpin dan bukan orang kaya. Namun kematiannya tetap mendapat perhatian Rasulullah SAW. Inilah antara akhlak yang perlu kita hidupkan sempena Maulidur Rasul.
Menghargai manusia, mengambil berat terhadap mereka dan tidak membiarkan seorang Muslim pergi tanpa kita memberikan penghormatan terakhir serta doa.
Solat jenazah: Doa daripada yang hidup untuk yang pergi
Solat jenazah sering dianggap sebagai satu urusan yang perlu “diselesaikan” sebelum jenazah dikebumikan. Hakikatnya, ia jauh lebih besar daripada itu. Ia merupakan saat ketika orang yang hidup berdiri mendoakan orang yang telah meninggal dunia.
Rasulullah SAW sendiri menunjukkan besarnya ganjaran menziarahi jenazah. Daripada Abu Hurairah r.a., Baginda bersabda bahawa sesiapa yang menziarahi jenazah sehingga disolatkan mendapat satu qirat, manakala sesiapa yang mengiringinya sehingga selesai pengebumian mendapat dua qirat. Apabila ditanya apakah dua qirat itu, Baginda menjawab: “Seperti dua gunung yang besar.” (HR al-Bukhari, no. 1325)
Ganjaran besar yang disediakan ini menunjukkan bahawa Islam sangat menggalakkan umatnya mengambil berat tentang urusan saudara yang lain serta mendoakan kebaikan untuk mereka sehingga ke akhir hayat.
Rasulullah SAW juga menggalakkan umatnya supaya memperbanyak orang yang menunaikan solat jenazah. Dalam Sahih Muslim, daripada Ibn ‘Abbas r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim meninggal dunia lalu empat puluh orang lelaki yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun berdiri menunaikan solat ke atasnya, melainkan Allah menerima syafaat mereka untuknya.” (HR Muslim, no. 948)
Hadis ini memberikan gambaran yang indah tentang ukhuwah Islamiah. Seorang Muslim yang telah meninggal dunia masih mendapat manfaat daripada saudara-saudaranya yang hidup. Bayangkan jika kita hadir bersama puluhan saudara Muslim yang lain.
Ada yang mengenalinya, ada yang mungkin tidak pernah bertemu dengannya. Namun semuanya berdiri dalam satu saf, mengangkat takbir dan memohon keampunan Allah SWT untuknya. Itulah ukhuwah.
Terlepas peluang untuk solat jenazah
Kembali kepada persoalan awal. Bagaimana jika kita tidak sempat hadir? Bagaimana kalau ketika kita tiba, jenazah sudah dikebumikan? Sunnah Rasulullah SAW menunjukkan bahawa masih terdapat ruang dalam keadaan tersebut.
Dalam hadis yang sama tentang orang yang membersihkan masjid tadi, Rasulullah SAW pergi ke kuburnya selepas pengebumian dan menunaikan solat jenazah ke atasnya. Peristiwa ini menjadi dalil penting tentang solat jenazah di kubur selepas pengebumian.
Dalam mazhab Syafi‘i, seseorang yang belum sempat menunaikan solat jenazah sebelum pengebumian diberikan ruang untuk menunaikannya di kubur. Maka, jika seseorang terlepas solat jenazah, jangan terus berputus asa. Dalam keadaan tertentu, masih ada ruang yang diiktiraf dalam fiqh Islam.
Maulidur Rasul: Belajar akhlak, bukan sekadar mengingati
Di sini dapat dilihat hubungan yang sangat indah antara solat jenazah dengan Maulidur Rasul. Kita sering berbicara tentang Rasulullah SAW sebagai seorang yang penyayang. Jelas bahawa kasih sayang Baginda bukan sekadar ungkapan.
Baginda bertanya tentang orang yang telah meninggal dunia. Baginda pergi ke kuburnya. Baginda menunaikan solat ke atasnya. Baginda tidak memandang kecil seseorang hanya kerana kedudukannya dalam masyarakat.
Maka jika benar kita mencintai Rasulullah SAW, antara tanda cinta itu ialah berusaha menghidupkan akhlak Baginda dalam kehidupan seharian, khususnya dalam hubungan kita sesama manusia.
Apabila seorang jiran meninggal dunia, hadirkanlah diri untuk menziarahi dan menunaikan solat jenazah. Apabila seorang sahabat kehilangan ibu atau ayahnya, luangkan masa untuk menziarahi, menghulurkan bantuan dan memberikan sokongan kepada keluarganya yang sedang berduka.
Apabila ada solat jenazah, janganlah kita menunggu orang lain untuk hadir terlebih dahulu. Walaupun kita tidak mengenali si mati, dia tetap saudara kita dalam Islam dan mempunyai hak untuk menerima doa serta penghormatan daripada saudara Muslimnya.
Kehadiran kita mungkin kelihatan kecil pada pandangan kita, tetapi boleh menjadi sangat bermakna kepada keluarga yang sedang menghadapi kehilangan.
Inilah antara bentuk dakwah yang hidup dan dapat dirasai oleh masyarakat. Dakwah bukan hanya disampaikan melalui mimbar, kuliah atau tulisan, tetapi turut diterjemahkan melalui keprihatinan, kehadiran dan akhlak yang baik.
Kadangkala, satu tindakan yang sederhana seperti hadir dan menunaikan solat jenazah dan mengiringinya ke tanah perkuburan mampu menyampaikan mesej Islam tentang kasih sayang, persaudaraan dan kepedulian dengan lebih berkesan daripada kata-kata yang panjang.
Jangan terlepas peluang
Jika kita diberikan peluang untuk menghadiri solat jenazah, luangkanlah masa untuk bersama-sama mendoakan saudara Muslim yang telah pergi. Kehadiran kita bukan sekadar memenuhi saf, tetapi menjadi tanda penghormatan kepada si mati dan sokongan kepada keluarga yang sedang berduka.
Jika keadaan mengizinkan, iringilah jenazah sehingga selesai pengebumian kerana Rasulullah SAW menjanjikan ganjaran yang besar kepada mereka yang menyertai pengurusan jenazah hingga ke tempat persemadiannya.
Apabila jemaah yang hadir ramai, susunlah saf dengan baik dan sempurna sebagai lambang kebersamaan umat Islam dalam memberikan penghormatan terakhir kepada si mati. Kehadiran yang ramai juga memperlihatkan bahawa seorang Muslim tidak ditinggalkan sendirian ketika berhadapan dengan kematian.
Walaupun kita tidak mengenali si mati secara dekat, hubungan sebagai saudara seagama sudah cukup menjadi alasan untuk kita hadir, mendoakan dan menunjukkan kepedulian terhadapnya.
Namun, sekiranya kita benar-benar terlepas solat jenazah, janganlah terus menganggap bahawa semua peluang untuk berbakti kepada si mati telah tertutup. Dalam keadaan tertentu, syariat masih memberikan ruang untuk menunaikan solat jenazah selepas pengebumian berdasarkan perincian yang dibahaskan oleh para ulama.
Ruang ini bukan alasan untuk kita sengaja melengahkan kehadiran, sebaliknya menjadi rahmat bagi mereka yang benar-benar terlepas dan pada masa yang sama mengingatkan kita agar tidak mensia-siakan peluang untuk menghidupkan ukhuwah serta menzahirkan akhlak Rasulullah SAW.
Ustazah Hasliza Talib
Jabatan Kefahaman Islam dan Bahasa Arab
Fakulti
Sains Sosial
Universiti Islam Selangor




