Wanita yang sering dikaitkan dengan kebolehan multitasking hakikatnya memegang pelbagai peranan dalam kehidupan. Ada yang bekerja, mengurus keluarga, membesarkan anak, menjaga ibu bapa, belajar, berniaga, aktif dalam masyarakat atau melakukan beberapa daripadanya dalam satu masa.
Dalam kesibukan memenuhi pelbagai tanggungjawab ini, wanita sering terbiasa menjadi individu yang kuat, boleh diharapkan dan sentiasa bersedia membantu orang lain.
Masyarakat dibiasakan dengan tanggapan bahawa wanita yang baik ialah wanita yang mampu mengurus banyak perkara, menjaga hati orang di sekelilingnya dan tetap kelihatan tenang walaupun sedang berhadapan dengan pelbagai tekanan.
Namun, pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri, adakah semua kebiasaan yang kita anggap baik itu benar-benar membantu wanita untuk terus berkembang? Atau mungkin ada antaranya yang tanpa disedari telah menjadi beban yang menghalang wanita daripada menjalani kehidupan dengan lebih tenang dan bermakna?
Buku How Women Rise
Pada suatu petang hujung minggu, saya sempat membelek-belek sebuah buku yang telah lama dibeli, bertajuk How Women Rise tulisan Sally Helgesen dan Marshall Goldsmith. Walaupun buku ini banyak menggunakan pengalaman wanita dalam dunia kerjaya, mesej sebenarnya jauh lebih luas dan boleh dikaitkan dengan kehidupan wanita secara umum.
Penulis mengemukakan beberapa tabiat yang boleh menghalang wanita daripada berkembang dan mencapai potensi diri. Menariknya, kebanyakan tabiat tersebut bukanlah sifat yang pada asalnya buruk.
Sebaliknya, sebahagiannya lahir daripada sifat yang sangat positif seperti rajin, teliti, penyayang, rendah hati, bertanggungjawab dan peka terhadap perasaan orang lain. Bagaimana perkara ini timbul? Masalah ini timbul apabila kekuatan tersebut digunakan secara berlebihan sehingga akhirnya menjadi beban kepada diri sendiri.
Antara perkara yang dibincangkan ialah kecenderungan wanita untuk kurang mengiktiraf pencapaian sendiri. Apabila dipuji, kita cepat mengatakan, “Tidaklah, biasa sahaja,” atau “Saya bernasib baik,” atau segera mengaitkan kejayaan tersebut dengan bantuan orang lain.
Sudah tentu menghargai sumbangan orang lain merupakan sifat yang baik, begitu juga dengan sikap rendah hati. Namun, rendah hati tidak bermaksud kita perlu merendahkan diri. Ada perbezaan yang besar antara kedua-duanya.
Jika kita telah bekerja keras, tidak salah untuk mengakui usaha tersebut dengan mengembalikan segala pujian kepada Yang Esa. Jika kita telah berjaya mencapai sesuatu, syukurilah pencapaian itu.
Jika kita mempunyai sesuatu kebolehan, gunakanlah dengan yakin. Menghargai diri sendiri tidak menjadikan seseorang wanita sombong. Sebaliknya wanita yang beriman akan segera mendahulukan pujian kepada Allah Taala atas segala pencapaiannya.
Menerima realiti kunci bahagia
Satu lagi perkara yang sangat dekat dengan kehidupan ramai wanita ialah keinginan untuk melakukan segala-galanya dengan sempurna. Rumah mesti kemas, kerja mesti diselesaikan dengan baik, anak-anak mesti terurus, majlis yang dianjurkan mesti berjalan lancar, makanan yang dimasak mesti sedap dan setiap tanggungjawab perlu dilaksanakan tanpa kesilapan.
Helgesen dan Goldsmith menyebut, kecenderungan ini sebagai the perfection trap atau perangkap kesempurnaan. Keinginan untuk melakukan sesuatu dengan baik tentunya satu sifat yang positif, tetapi apabila kita menetapkan standard yang terlalu tinggi terhadap diri sendiri, kehidupan boleh menjadi sangat meletihkan.
Lebih membimbangkan apabila kita mula menghukum diri sendiri apabila sesuatu tidak berjalan seperti yang dirancang. Hakikatnya, kehidupan tidak sentiasa tersusun sebagaimana yang kita mahukan.
Ada hari kita sangat produktif dan ada hari kita hanya mampu menyelesaikan separuh daripada apa yang dirancang. Ada keputusan yang tepat dan ada keputusan yang kemudiannya kita sedari sebagai satu kesilapan.
Semua hal tersebut adalah sebahagian daripada perjalanan kehidupan. Kita tidak perlu menjadi sempurna untuk menjadi seorang wanita yang baik dan bernilai.
Wanita juga sering mempunyai kepekaan yang tinggi terhadap keadaan dan emosi orang di sekeliling. Kita mudah membaca perubahan wajah, nada suara atau reaksi seseorang. Kepekaan seperti ini merupakan satu kelebihan kerana ia membantu kita memahami manusia dan membina hubungan yang baik.
Namun, jika tidak dikawal, ia boleh menyebabkan kita terlalu memikirkan pandangan orang. Kita mula bertanya, “Apa orang akan kata?”, “Adakah dia marah dengan saya?”, “Kenapa dia tidak membalas mesej seperti biasa?” atau “Adakah keputusan saya ini akan mengecewakan orang lain?”
Akhirnya, terlalu banyak tenaga emosi digunakan untuk mentafsir apa yang mungkin difikirkan oleh orang lain.
At-Tawazun asas wanita bangkit
Barangkali antara pengajaran paling penting daripada How Women Rise ialah bagaimana sesuatu yang asalnya merupakan kekuatan boleh berubah menjadi beban apabila dilakukan secara berlebihan. Menjadi penyayang adalah kekuatan, tetapi jangan sehingga kita mengabaikan diri sendiri.
Rajin adalah kekuatan, tetapi jangan sehingga kita tidak tahu berehat. Rendah hati adalah sifat yang mulia, tetapi jangan sehingga kita merasakan diri sendiri tidak bernilai. Teliti adalah satu kelebihan, tetapi jangan sehingga kita terperangkap dalam mengejar kesempurnaan.
Suka membantu adalah sifat yang baik, tetapi jangan sehingga kita kehilangan kemampuan untuk berkata tidak. Peka terhadap orang lain adalah satu kelebihan, tetapi jangan sehingga seluruh kehidupan kita ditentukan oleh pandangan manusia. Dalam semua perkara ini, kuncinya adalah keseimbangan.
Pembacaan buku ini membawa saya kepada sebuah refleksi tentang konsep tawazun yang diajar dalam Islam. Konsep tawazun mengajar kita tentang pentingnya memberikan hak kepada setiap aspek kehidupan. Kita mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga, pekerjaan dan masyarakat, tetapi kita juga mempunyai amanah terhadap diri sendiri.
Menjaga diri bukan bermaksud mementingkan diri, sebaliknya merupakan sebahagian daripada usaha memastikan kita mempunyai kekuatan untuk terus memberikan manfaat kepada orang lain. Justeru, Allah Taala telah berfirman:
وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا
“Dan tuntutlah dengan apa yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan kebahagiaan negeri akhirat, dan janganlah engkau melupakan bahagianmu daripada dunia…” (Surah al-Qasas: 77)
Ayat ini mengingatkan kita bahawa kehidupan seorang Muslim tidak dibina atas pengabaian satu dimensi demi dimensi yang lain. Orientasi akhirat tetap menjadi matlamat, tetapi keperluan kehidupan dunia tidak dinafikan.
Begitu juga dalam konteks kehidupan seorang wanita, prinsip ini harus diaplikasikan dalam memastikan keseimbangan antara keluarga, kerjaya, pembangunan diri dan masyarakat sekeliling.
Oleh itu, bagi seorang wanita, bangkit bermaksud kembali mengenali dirinya setelah terlalu lama sibuk memenuhi harapan semua orang.
Bangkit bermaksud berani berkata tidak apabila perlu, menerima ketidaksempurnaan, menghargai diri sendiri, mencuba sesuatu yang baharu atau meninggalkan sesuatu yang tidak lagi membawa kebaikan. Bangkit juga bermaksud berani menjalani kehidupan berdasarkan nilai, prinsip dan tujuan yang diyakini.
Prof Madya Dr Hamidah Mat
Dekan
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia (OUM)




