Mufti WP Sokong Usaha Rawat Ketagihan Dadah

mufti wilayah dadah

SERI KEMBANGAN – Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil, menyatakan sokongan kepada usaha-usaha pelbagai pihak untuk merawat gejala ketagihan dadah di negara ini.

“Kalau kita ada kemampuan untuk merawat, kenapa tidak kita merawat? Sebab dadah bukan termasuk dalam undang-undang hudud, ia termasuk dalam undang-undang takzir,” ujarnya ketika menjadi ahli panel dalam Webinar “Islam dan Dasar Dadah di Malaysia: Bantu atau Hukum?” pada Isnin, 17 Ogos lalu.

Tambah beliau, melalui undang-undang takzir, pihak berkuasa boleh mengubah cara dan melihat kepada kerangka yang baharu dalam menangani gejala ini.

Menurutnya, berdasarkan konsep fiqh al-mizan, isu dadah perlu dilihat dalam dua bentuk, iaitu rawatan kepada mereka yang ada pemulihan dan tidak melibatkan apa-apa jenayah, dan juga hukuman kepada pengedar yang menyebabkan dadah itu berleluasa.

Oleh itu jelasnya, sudah tentu hukum bagi kedua-dua bentuk tersebut berbeza.

Beliau berpandangan, kesan daripada arak hanya mabuk dan keseronokan, tapi dadah boleh membunuh dan menyebabkan seseorang menjadi lemah, tidak berfikir dan melakukan jenayah kerana terlampau ketagih dan seumpamanya.

“Sebab itu kata ulama, dadah ini lebih dosa besar daripada arak. Walaupun arak itu dosa besar, tapi ia (dadah) lebih besar kerana mudaratnya luar biasa,” tegasnya.

Oleh itu, Ustaz Fauwaz menyarankan agar kempen pencegahan dadah dan rawatan penyakit dadah perlu dipertingkatkan oleh pelbagai pihak kerana bahaya besarnya sehingga ada yang membawa kepada HIV.

“Dan kita di JAWI memang ada rumah merawat penyakit-penyakit HIV yang sebahagiannya datang daripada dadah. Maknanya, kami di majlis agama sudah memperkenalkan rawatan-rawatan tersebut untuk memulihkan,” katanya.

Beliau turut melahirkan kekesalan atas sikap sebahagian masyarakat yang inginkan Jabatan Mufti jadi seperti penghukum (qadhi) seperti menangkap, menjatuhkan hukuman, memenjara dan sebagainya. Tegasnya, Jabatan Mufti bukan tempat menghukum.

“Jabatan Mufti adalah bersifat rahmah, kita adalah irsyad (memberi bimbingan). Kita bukan ada qadhi untuk menghukum pesalah tetapi kita nak merawat.”

“Jadi, saya menyokong bahawa sebahagian daripada gejala dadah perlu dirawat,” ujar beliau.

Selain Ustaz Fauwaz, ahli-ahli panel yang lain dalam webinar itu ialah Dr Fadzli Mohamad Isa (Ketua Unit Psikiatri Ketagihan (PAdU), Hospital Kuala Lumpur & Penasihat DPPM) dan En. Mohammad Faiz Aman Khan (Penolong Setiausaha, Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia – MASAC), yang dihoskan oleh Ustaz Nu’man Hani Jamal (JKP IKRAM).

Webinar “Islam dan Dasar Dadah di Malaysia: Bantu atau Hukum?” telah disiarkan kepada lebih 100 peserta secara dalam talian melalui aplikasi Zoom, yang dianjurkan bersama oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia, Yayasan AIDS Malaysia, Drug Policy Program Malaysia (DPPM) dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia