Graduan Bijak Tapi Kurang Nilai Adab: Di Mana Silapnya?

graduan

Setiap tahun, universiti dan kolej di negara ini melahirkan ratusan ribu graduan. Mereka hadir gah dengan ijazah di tangan, kemahiran di dada dan impian di mata.

Namun di sebalik statistik yang membanggakan itu, satu persoalan semakin bermain dalam minda majikan, ibu bapa dan masyarakat. Mengapa semakin ramai graduan yang pandai tetapi semakin kurang adabnya?

Persoalan ini bukan sekadar dibincangkan di kedai kopi. Ia bahkan diangkat dan diakui secara rasmi oleh badan yang bertanggungjawab terhadap kualiti pengajian tinggi negara. Pada awal tahun ini, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menerbitkan satu dokumen penting yang dinamakan Guidelines on Values-Based Education, atau ringkasnya GVBE.

Bagi pembaca yang baru mendengar istilah ini, GVBE merupakan garis panduan pendidikan berasaskan nilai, iaitu rujukan rasmi untuk semua institusi pengajian tinggi di negara ini bagi menerapkan nilai murni ke dalam kurikulum, pengajaran dan budaya kampus.

GVBE bukan lagi sekadar saranan moral, tetapi tuntutan dasar yang menghendaki nilai dijadikan teras kepada keseluruhan pengalaman pembelajaran pelajar, seiring dengan Kerangka Kelayakan Malaysia edisi terkini.

Paradoks pendidikan

Apa yang menarik tentang dokumen ini ialah keberaniannya membuat satu pengakuan, mengapa nilai itu kurang mendapat sambutan dan kurang diamalkan walaupun setiap institusi pengajian tinggi, agensi dan kementerian mempunyai nilai masing-masing.

Antaranya ialah memberi tumpuan yang berlebihan kepada pendidikan berasaskan hasil, atau outcomes based education yang selama ini tidak diimbangi dengan penekanan yang setara terhadap nilai.

Akibatnya, kita melahirkan graduan yang berpengetahuan dan berkemahiran namun kurang pertimbangan moral dan penghayatan etika. Pengakuan seperti ini jarang kita temui dalam dokumen rasmi, dan wajar dibaca oleh mereka yang terlibat dengan pendidikan.

Kesan kepincangan ini sudah lama terpampang di hadapan mata. Kes rasuah yang membabitkan golongan profesional dan terpelajar mengisi ruang berita. Jenayah kolar putih dan salah laku profesional berlaku dalam pelbagai bidang, daripada kejuruteraan hinggalah kepada perubatan dan perakaunan.

Apabila dilihat latar belakang akademik, pelakunya bukanlah mereka yang tidak bersekolah, tetapi mereka yang melalui belasan tahun sistem pendidikan formal. Mempunyai segulung ijazah dari institusi ternama, malah ada yang bergelar doktor falsafah, namun amanahnya tiada. Inilah paradoks pendidikan kita hari ini.

Di dalam kampus pula, para pendidik menyaksikan perubahan corak tingkah laku pelajar yang membimbangkan. Isu ketidakhadiran kuliah, plagiarisme dan kini pergantungan sepenuhnya kepada kecerdasan buatan untuk menyiapkan tugasan dilakukan secara berleluasa tanpa sebarang rasa bersalah.

Maka dituding kesalahan kepada teknologi sebagai antara puncanya. Sedangkan punca sebenarnya ialah kekosongan nilai yang mendasari penggunaan teknologi itu. Pelajar yang menghayati nilai integriti akan menggunakan kecerdasan buatan sebagai alat bantuan pembelajaran. Pelajar yang kosong nilainya akan menggunakannya sebagai jalan pintas untuk menipu.

Di manakah silapnya?

Pertama, kita menganggap nilai sebagai hiasan, bukannya asas. Selama ini nilai murni diletakkan di pinggir kurikulum, yang muncul dalam bentuk kursus kokurikulum, ceramah motivasi yang diadakan sekali-sekala, atau sekadar ayat indah dalam misi dan visi institusi yang tergantung di dinding.

Nilai itu tidak dijadikan asas binaan kepada keseluruhan pengalaman pembelajaran. Ia diibaratkan sebagai satu jejambat yang cantik pada luarannya tetapi tiangnya rapuh dan goyang yang boleh runtuh apabila diuji dengan beban yang berlebihan.

Kedua, dasar yang berpecah dan kabur. Melalui pendidikan berasaskan nilai, dapatan kajiannya mengakui bahawa institusi pengajian tinggi selama ini berdepan dengan kekosongan dan kekaburan dasar berhubung pendidikan nilai.

Dasar berkaitan nilai didapati bertaburan di merata tempat, dalam kurikulum, kokurikulum dan pentadbiran tanpa penyelarasan yang menyeluruh. Tanpa definisi nilai yang jelas ini, pelaksanaannya menjadi simbolik sahaja. Semua orang bercakap tentang nilai, tetapi tiada siapa yang benar-benar melaksanakannya secara bersungguh-sungguh.

Ketiga, pendidik tidak diberi persediaan yang mencukupi. Ramai pensyarah komited terhadap penyampaian ilmu dalam bidang masing masing, namun tidak pernah dilatih untuk menerapkan nilai dalam pengajaran.

Mereka diberi latihan bagaimana hendak mengajar namun tidak dilatih bagaimana memasukkan nilai dan mengajar pelajar menjadi baik, yang patuh kepada nilai agamanya. 

Sistem penilaian prestasi akademik pula lebih menghargai penerbitan dan geran penyelidikan berbanding pembentukan sahsiah pelajar. Akhirnya peranan pendidik sebagai pembentuk insan terhakis, yang tinggal hanya sebagai penyampai maklumat.

Pendidikan berasaskan nilai

Pendidikan berasaskan nilai telah menggariskan enam nilai teras untuk dihayati oleh seluruh warga pengajian tinggi iaitu maruah, keadilan, integriti, kesyukuran, keberanian dan ihsan. 

Keenam-enam nilai ini bukan sesuatu yang baharu atau asing. Semuanya sudah sedia terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan prinsip Rukun Negara, dua warisan yang sudah lama kita miliki namun jarang kita hayati sepenuhnya.

Melalui dokumen GVBE ini, istilah adab, satu konsep yang berakar dalam tradisi keilmuan kita sendiri, turut digunakan bagi menggambarkan keperluan memperkukuh tatasusila dalam komuniti kehidupan di kampus.

Usaha untuk memulihkan nilai ini tidak seharusnya terhad dalam lingkungan penggubalan dasar semata-mata. Hakikatnya, masyarakat telah lama menyedari kelompangan tersebut. 

Pertubuhan IKRAM Malaysia, contohnya, melalui kerangka Asas Islam Rahmah (AISAR), giat mendidik masyarakat demi menerapkan kefahaman agama yang syumul, wasatiyyah dan berprinsip. Nilai yang ditekankan oleh AISAR ternyata selari dengan enam nilai teras yang diangkat dalam konsep pendidikan berasaskan nilai.

Pertindihan nilai ini memberikan isyarat yang jelas bahawa apabila dasar negara dan gerakan masyarakat mendukung prinsip yang sama, tanggungjawab utama kita adalah untuk menyelaraskan kedua-dua entiti ini, bukannya membiarkan mereka bergerak secara berasingan.

Mengarusperdanakan nilai

Formula bagi mengatasi krisis penghayatan nilai ini sebenarnya berada dalam khazanah kita sendiri. Keberanian diperlukan untuk mengarusperdanakan semula nilai-nilai ini ke dalam sistem pendidikan dan budaya masyarakat, bukan membiarkannya dipinggirkan.

Pendidikan berasaskan nilai menuntut setiap institusi pengajian tinggi (IPT) menggubal garis panduan pelaksanaan yang komprehensif, merangkumi pemilihan nilai teras, pendekatan implementasi, latihan pengupayaan pensyarah serta mekanisme pemantauan yang berterusan.

Walau bagaimanapun, tanggungjawab ini tidak seharusnya digalas oleh pihak universiti semata-mata. Pembentukan adab seharusnya bermula di rumah, dipupuk di sekolah, dizahirkan di universiti dan dilonjakkan oleh masyarakat.

Dalam sektor pekerjaan, majikan wajib menegaskan bahawa integriti adalah setanding dengan kompetensi. Masyarakat secara kolektif juga perlu menghentikan pemujaan terhadap kekayaan material, sebaliknya kembali menghargai keluhuran peribadi..

Melahirkan graduan yang bijak bukan lagi isu bagi universiti kita. Cabaran utama sekarang ialah melahirkan graduan yang bijak dan beradab serta mampu menjaga amanah kerjaya. 

Sesebuah negara tidak akan runtuh kerana kekurangan golongan profesional, tetapi akan musnah apabila golongan bijak ini hilang integriti dan adabnya.

Prof. Madya Dr. Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open Universiti Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia