Boikot Caterpillar: Tekanan Global Demi Palestin

Caterpillar

Perdebatan mengenai Caterpillar Inc. menjadi contoh yang menarik untuk memahami isu tekanan geopolitik ke atas sektor korporat dunia.

Selama lebih dua dekad, syarikat pengeluar jentera berat Amerika Syarikat itu dikaitkan dengan kontroversi melibatkan penggunaan jentolak Caterpillar D9 yang diubah suai untuk kegunaan tentera Israel merobohkan kediaman, memusnahkan tanah pertanian dan merosakkan jalan raya di wilayah Palestin.

Hubungan tersebut telah mencetuskan tekanan berterusan di seluruh dunia melalui boikot, divestment, advokasi hak asasi manusia serta melibatkan pelabur, institusi berkepentingan serta masyarakat sivil. 

Beberapa institusi pelaburan global menilai tekanan berkaitan hak asasi manusia ini sebagai risiko kepada tadbir urus korporat dan pelaburan beretika. Pada 2024, dana pencen terbesar Norway, KLP, menjual pegangan saham dan bon Caterpillar selepas mendapati syarikat itu gagal memberi jaminan bahawa produknya tidak digunakan dalam pelanggaran hak asasi manusia di Palestin.

Setahun kemudian, The Norges Bank Executive Board pula mengecualikan Caterpillar Inc. daripada portfolio Government Pension Fund Global kerana menilai wujud “risiko yang tidak boleh diterima” (unacceptable risk) bahawa syarikat itu menyumbang kepada pelanggaran hak individu dalam situasi peperangan di Gaza.

Di Amerika Syarikat, pentadbiran Alameda County, California turut berikrar melupuskan pegangan dan menjual bon Caterpillar susulan tekanan berterusan daripada masyarakat sivil. 

Hubungan Caterpillar dengan Sime Darby

Isu Caterpillar turut menarik perhatian di Malaysia berikutan hubungan perniagaannya dengan Sime Darby Industrial menerusi Tractors Malaysia, yang merupakan pengedar eksklusif Caterpillar di Malaysia sejak lebih 80 tahun lalu.

Pada masa yang sama, Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyenaraikan Sime Darby sebagai salah satu pelaburan ekuiti awamnya. Namun setakat ini, tiada asas yang membuktikan bahawa PNB atau Sime Darby membiayai, menjual, menghantar atau menyelenggara jentolak Caterpillar yang digunakan oleh tentera Israel. 

Walau bagaimanapun, ketiadaan penglibatan secara langsung tidak mengecualikan syarikat dan pelabur daripada melaksanakan usaha wajar (due dilligence) hak asasi manusia terhadap hubungan perniagaan mereka.

Dalam konteks ini, PNB dan Sime Darby wajar menilai risiko reputasi serta implikasi hak asasi yang mungkin timbul daripada hubungan mereka dengan Caterpillar, mendapatkan penjelasan mengenai kawalan penggunaan produk, menggunakan pengaruh sebagai pemegang saham atau rakan perniagaan bagi menggalakkan amalan yang lebih bertanggungjawab, serta melaporkan penilaian tersebut secara telus kepada pihak berkepentingan. 

Jika tekanan daripada pelabur memberi kesan kepada keputusan pelaburan, masyarakat pula memainkan peranan melalui boikot, demonstrasi dan kempen BDS yang meningkatkan tekanan reputasi terhadap Caterpillar di peringkat global.

Tekanan BDS di Malaysia

Di Malaysia, tekanan terhadap Caterpillar banyak digerakkan oleh NGO dan organisasi sivil. Antaranya ialah BDS Malaysia yang menyenaraikan Caterpillar sebagai salah satu usaha boikot. 

Sejak 2016, BDS Malaysia mendesak dan turut menghantar surat terbuka kepada Sime Darby agar menggunakan kedudukannya sebagai pengedar Caterpillar untuk menggesa syarikat itu mengambil langkah menghalang penggunaan produknya dalam pelanggaran hak asasi manusia.

Tuntutan tersebut termasuk menggesa Sime Darby menggunakan pengaruh hubungan perniagaannya bagi menggalakkan amalan korporat yang lebih bertanggungjawab. 

Persoalannya, sejauh manakah tekanan daripada institusi dan masyarakat sivil mampu membawa perubahan? Dari sudut kewangan, syarikat multinasional seperti Caterpillar mungkin tidak mengalami kesan yang ketara dalam jangka pendek.

Namun, tekanan ini boleh meningkatkan risiko reputasi, mempengaruhi persepsi pasaran serta mendorong pelabur dan pemegang saham menilai semula hubungan dengan syarikat tersebut.

Dalam persekitaran yang semakin menitikberatkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), faktor sosial dan hak asasi manusia turut menjadi pertimbangan penting bagi penilaian risiko pelaburan.

Justeru, boikot, kempen advokasi, demonstrasi serta liputan media berpotensi membentuk persepsi awam dan meningkatkan desakan agar syarikat serta institusi berkepentingan bertindak lebih bertanggungjawab terhadap isu kemanusiaan. 

Perlu tekanan berterusan

Hakikatnya, usaha mempertahankan keamanan dan hak asasi manusia pada hari ini tidak lagi bergantung kepada kerajaan atau institusi antarabangsa semata-mata.

Apabila saluran diplomasi belum mampu menghentikan penganiayaan di Palestin, tekanan daripada masyarakat sivil, pelabur institusi, sektor korporat, media serta pengguna adalah penting dalam mendesak perubahan.

Walaupun kesannya mungkin tidak berlaku serta-merta, tekanan yang berterusan mampu mempengaruhi keputusan pelaburan, membentuk amalan korporat yang lebih bertanggungjawab serta meningkatkan desakan terhadap penyelesaian krisis kemanusiaan yang lebih berkesan.

Putri Noradyani Megat Hashim 
Pengurus Penyelidikan
Nusantara Academy for Strategic Research (NASR)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia