Menurut statistik rasmi yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat peningkatan kes jenayah yang melibatkan institusi kekeluargaan berlaku di rumah seperti keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak, penderaan seksual dan sumbang mahram.
Setakat bulan Jun 2025, sebanyak 3,768 kes keganasan rumah tangga direkodkan, melibatkan mangsa berusia 36 tahun hingga 45 tahun di seluruh negara. Bagi kes keganasan dan gangguan seksual kanak-kanak, sejak tahun 2021 hingga 2025, PDRM merekodkan sejumlah 4,079 kes keganasan dan 3,042 kes gangguan seksual melibatkan kanak-kanak dilaporkan.
Selain itu, kes penderaan kanak-kanak juga menyaksikan trend yang makin membimbangkan. Berdasarkan rekod yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, pada suku tahun keempat 2025, sebanyak 1,575 kes penderaan kanak-kanak direkodkan.
Sebahagian statistik angka dan rekod yang dinyatakan ini jelas membuktikan bahawa rumah tidak semestinya lagi menjadi tempat yang paling selamat untuk didiami.
Kes meningkat, perlu peka keadaan sekeliling
Peningkatan pelbagai kes jenayah di rumah yang dilaporkan sebenarnya bukanlah angka yang tepat untuk kita lihat, kerana kita harus yakin dan percaya di luar sana barangkali wujud pelbagai lagi kes seperti ini berlaku namun tidak dilaporkan, kerana mungkin akan berdepan pelbagai risiko seperti ugutan, diancam atau lain-lain jika mangsa tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Sebagai sebuah masyarakat yang prihatin, sikap peduli dan peka akan keadaan sekeliling terutamanya jiran tetangga akan secara tidak langsung membantu negara berdepan dengan isu-isu salah laku seperti ini.
Sikap peduli akan kejiranan kadang-kadang disalahertikan dan dilabel dengan bermacam label. Malah masyarakat kita yang telah sebati dengan pepatah “jangan jaga tepi kain orang”, beranggapan bahawa pedulikan masyarakat dilihat seperti menyibuk akan hal rumah tangga orang.
Pada sudut lain pula, para ibu bapa yang kurang peka dengan keadaan rumah dan anak-anaknya, akan mendorong pemangsa menjadi semakin berani untuk mencengkam mangsanya dan melakukan kezaliman. Oleh kerana itu, komunikasi yang berkesan dalam sesebuah institusi keluarga akan dapat menghalang unsur-unsur perlakuan jenayah seperti ini.
Sebagai contoh, apabila ada anak-anak yang datang bercerita akan sesuatu yang pelik, kita sebagai penjaga mereka janganlah memandang remeh akan tiap-tiap perkara yang diadukan. Adakalanya anak-anak terkeliru dan tidak tahu bahawa sesuatu perbuatan tersebut benar atau salah.
Fakta kes jenayah di rumah
Kita sebagai pendengar haruslah memandang berat dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Mengambil pengajaran daripada sebuah kes yang berlaku di Pasir Mas, Kelantan, seorang abang sulung dijatuhi hukuman penjara selama 18 tahun dan 20 sebatan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan merogol adik kandungnya semasa gadis itu berusia 13 tahun.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol adik kandungnya yang ketika itu berusia 13 tahun pada bulan Disember tahun lalu di sebuah rumah. Pertuduhan kedua, di tempat yang sama tertuduh didakwa merogol mangsa kali kedua pada bulan Mei yang lalu.
Melihat akan fakta kes tersebut, kedua-dua kejadian ini berlaku di rumah dan dilakukan oleh orang yang memiliki pertalian darah dengan mangsa. Kejadian ini adalah sesuatu yang menjijikkan. Apabila abang kandung sendiri tergamak melakukan perbuatan terkutuk itu, apa lagi bahasa yang lebih sopan untuk diperkatakan?
Dalam kes lain, kes penderaan seorang kanak-kanak sehingga meninggal dunia di Taiping, Perak, memperlihatkan kepada kita betapa manusia kini semakin hilang kewarasan. Berdasarkan laporan Astro Awani bertarikh 29 Mac 2026, seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun sembilan bulan disahkan meninggal dunia akibat kesan penderaan yang dilakukan.
Menurut Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Abdul Malek Ismail, kanak-kanak tersebut dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan ditempatkan di Zon Merah pada pukul 12.43 tengah hari dan doktor bertugas telah memberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama 30 minit, namun mangsa tidak menunjukkan pemulihan peredaran spontan (ROSC).
Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia pada pukul 1.12 tengah hari. Dalam pada itu, menurut hasil laporan bedah siasat yang dilakukan, punca kematian adalah akibat kecederaan pada bahagian kepala dan leher disebabkan hentakan objek tumpul.
Bagi membantu siasatan, empat individu yang terdiri daripada ibu kandung, bapa tiri serta datuk dan nenek mangsa ditahan. Beberapa keterangan jiran juga menjelaskan bahawa mereka kerap kali mendengar tangisan kanak-kanak di rumah berkenaan yang keadaannya seperti dipukul.
Selain kes melibatkan kanak-kanak, golongan wanita juga sering menjadi sasaran keganasan rumah tangga. Pada bulan Mei tahun 2021, negara digemparkan dengan sebuah kejadian tragis yang memperlihatkan seorang isteri diperlakukan seperti binatang.
Mangsa yang dikenali sebagai Jahidah Nordin, yang ketika itu sedang hamil 10 minggu, telah ditendang, dipukul selain dihentak dengan kejam oleh suaminya di sebuah pangsapuri di Larkin, Johor.
Hasil siasatan PDRM, didapati mangsa yang juga merupakan isteri pemangsa, mengalami keadaan vegetatif iaitu gangguan kesedaran akibat kerosakan otak yang teruk sehingga menyebabkan mangsa hanya mampu terlantar dan kini bergantung sepenuhnya kepada penjagaan keluarga kesan serangan tidak berperikemanusiaan tersebut. Akibat daripada perbuatan kebinatangan itu, tertuduh telah dijatuhi hukuman penjara 14 tahun.
Perspektif Islam: Menentang sebarang bentuk keganasan
Melihat kepada apa yang telah berlaku, sesungguhnya agama Islam mengajar kita untuk menentang sebarang bentuk keganasan.
Bahkan Islam sebagai sebuah agama yang membawa kebenaran, menegah dan melarang umat manusia daripada mendera, memukul dan menyakiti orang lain. Misalnya sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah Azzawajalla dalam al-Quran menerusi Surah al-Baqarah ayat 231, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian, maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan)….”
Ingatlah akan sebuah pesanan baginda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis riwayat Bukhari (6484), daripada Abdullah bin Amru r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Seorang Muslim itu adalah mereka yang membuatkan Muslim yang lain selamat daripada kejahatan lidahnya dan juga tangannya.”
Dalam menangani penderaan dan gangguan seksual, pemisahan tempat tidur anak-anak seawal usia anak 10 tahun adalah suatu anjuran oleh Islam yang selari dengan perkembangan emosi dan fizikal anak-anak. Pemisahan tempat tidur bukan sahaja dapat mengelak daripada perbuatan yang tidak senonoh, bahkan secara tidak langsung menanam sifat malu dalam kalangan anak-anak.
Selain itu, bermula daripada fasa pendidikan awal kanak-kanak lagi, mereka perlu diberi pendedahan mengenai sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat agar mereka kenal dan tahu untuk menjaga maruah dan kehormatan diri mereka sendiri.
Demikianlah antara coretan yang mengingatkan kita semula tentang tanggungjawab ambil peduli masyarakat. Sesungguhnya rumah adalah tempat yang paling selamat jika semua pihak menjalankan peranan dan tanggungjawabnya.
Malang sekali jika kita masih bersikap menonton sahaja episod keganasan demi keganasan lalu membiarkan mereka yang tidak berdosa menjadi mangsa. Di sinilah nilai kemanusiaan dicabar. Semoga Allah merahmati kita semua.
Muhammad Faidhi Azis
Aktivis Rakan Hidayah Perlis




