Dalam landskap global yang multipolar dan semakin kompleks, kekuatan sesebuah negara tidak lagi hanya diukur berdasarkan kekuatan ketenteraan atau kekayaan ekonomi semata-mata.
Sebaliknya, keupayaan sesebuah negara mempengaruhi dunia melalui nilai, idea, budaya, stail pemerintahan dan reputasi semakin menjadi faktor penting dalam menentukan kedudukannya di arena global. Keupayaan ini dikenali sebagai kuasa lunak atau soft power.
Walaupun negara telah mengalami satu episod paling pahit dalam sejarah negara – skandal 1MDB yang mengejutkan dunia – proses pembinaan semula imej negara tidak pernah terhenti dan perlu terus bersemarak.
Malaysia terus merangka strategi bagi meningkatkan sumber daya kuasa lunaknya yang unik dan berpotensi besar untuk diketengahkan. Secara asas, strategi tersebut boleh diperkasa dengan mengukuhkan empat dimensi utama; dimensi politik (ketokohan kepimpinan), sosial (keharmonian masyarakat dan sukan), kualiti pendidikan dan nilai budaya.
Memperkenalkan kepimpinan yang berwibawa lagi disegani di peringkat antarabangsa serta memperjuangkan kesejahteraan rakyat dan keharmonian kaum perlu menjadi keutamaan kerana semua elemen menjadi asas kepada pembentukan imej negara yang positif dan berpengaruh.
Ketokohan kepimpinan dan diplomasi serantau
Dalam dimensi politik, kuasa lunak Malaysia dapat dilihat melalui peranan negara dalam diplomasi serantau dan antarabangsa. Sebagai sebuah negara sederhana yang tidak mempunyai kekuatan ketenteraan besar, Malaysia aktif mengamalkan pendekatan dialog, kerjasama dan diplomasi untuk mempengaruhi perkembangan serantau.
Sebagai contoh, Malaysia memainkan peranan penting dalam ASEAN sejak penubuhannya pada tahun 1967. Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia telah menerajui agenda serantau dalam pelbagai isu termasuk keselamatan, ekonomi digital, perubahan iklim dan pembangunan mampan.
Kepimpinan ini bukan sahaja meningkatkan pengaruh Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN, malah memperlihatkan kemampuan negara memimpin usaha membentuk masa depan rantau ini.
Malaysia juga mempunyai sejarah panjang sebagai pengantara dalam pelbagai konflik. Antara contoh yang sering disebut ialah penglibatan Malaysia dalam memudahkan proses damai di Selatan Thailand, konflik sempadan Thai-Kemboja dan konflik Filipina Selatan.
Pendekatan yang menekankan rundingan, persefahaman dan keamanan membolehkan Malaysia dikenali sebagai negara yang komited terhadap penyelesaian konflik secara aman.
Keupayaan ini sejajar dengan aspirasi Negara Rahmah yang menekankan kepimpinan berintegriti, tadbir urus yang baik, keadilan serta penglibatan rakyat dalam pembangunan negara. Negara yang dipimpin secara adil dan telus akan lebih mudah mendapat kepercayaan masyarakat antarabangsa dan seterusnya meningkatkan kuasa lunaknya.
Keharmonian masyarakat sebagai model kehidupan bersama
Salah satu sumber kuasa lunak Malaysia yang paling berharga ialah keharmonian masyarakat majmuk. Dalam dunia yang masih dibelenggu konflik kaum dan agama, Malaysia menawarkan teladan yang terpuji – kepelbagaian boleh menjadi sumber kekuatan negara.
Keharmonian ini dapat dilihat melalui sambutan pelbagai perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Hari Gawai dan Pesta Kaamatan yang diraikan bersama oleh rakyat pelbagai kaum. Budaya saling menghormati dan memahami ini menjadi gambaran positif mengenai Malaysia kepada masyarakat dunia.
Dalam kerangka Negara Rahmah, keharmonian ini berkait rapat dengan pembentukan masyarakat berilmu, berakhlak dan penyayang serta hubungan etnik dan agama yang harmoni. Nilai-nilai tersebut menjadi asas kepada keamanan sosial yang dinikmati oleh negara sejak sekian lama.
Nilai kemanusiaan sebagai tarikan antarabangsa
Selain keharmonian dalaman, Malaysia turut membina reputasi melalui nilai kemanusiaan yang diperjuangkan. Negara sering menzahirkan solidariti terhadap mangsa peperangan, bencana alam dan krisis kemanusiaan di pelbagai negara.
Penglibatan badan-badan kemanusiaan Malaysia dalam membantu mangsa bencana di rantau ASEAN, Palestin dan kawasan konflik lain menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mempunyai semangat kemanusiaan yang tinggi. Sikap prihatin terhadap penderitaan manusia tanpa mengira bangsa dan agama merupakan manifestasi nilai rahmah yang menjadi teras kepada pembentukan masyarakat penyayang.
Pendekatan ini memberi mesej bahawa Malaysia bukan sahaja mengejar kemajuan material, tetapi turut mengutamakan nilai kemanusiaan sejagat. Inilah antara elemen penting yang menyumbang kepada pembentukan kuasa lunak sesebuah negara.
Sukan sebagai jambatan perpaduan
Sukan juga merupakan instrumen kuasa lunak yang berkesan. Malaysia mempunyai rekod yang baik dalam pelbagai acara sukan antarabangsa, khususnya badminton, hoki dan sukan permotoran.
Nama-nama seperti Datuk Azizulhasni, Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David dan atlet-atlet negara yang lain bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia, malah menjadi ikon yang dihormati di peringkat global. Kejayaan mereka membantu membentuk persepsi positif terhadap Malaysia.
Lebih penting lagi, sukan menjadi platform yang menyatukan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama. Ketika atlet negara beraksi di temasya antarabangsa, seluruh rakyat bersatu memberikan sokongan. Semangat kebersamaan ini mencerminkan kekuatan sosial yang menjadi salah satu sumber kuasa lunak negara.
Pendidikan berkualiti sebagai teras
Institusi pendidikan turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh pengaruh Malaysia. Kehadiran puluhan ribu pelajar antarabangsa dari Asia, Timur Tengah dan Afrika di universiti-universiti tempatan menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan yang semakin mendapat perhatian dunia.
Pelajar antarabangsa yang menuntut di Malaysia bukan sahaja memperoleh ilmu pengetahuan, malah berpeluang mengenali budaya, nilai dan cara hidup rakyat Malaysia. Pengalaman positif mereka akan membentuk persepsi yang baik terhadap negara dan menjadi saluran tidak langsung kepada penyebaran pengaruh Malaysia di peringkat antarabangsa.
Hal ini selaras dengan aspirasi Negara Rahmah yang mengutamakan pembentukan masyarakat berilmu dan pembangunan modal insan berkualiti.
Budaya dan industri kreatif
Sumber kuasa lunak Malaysia juga dapat dilihat melalui kekayaan budaya dan industri kreatif negara. Gastronomi atau makanan seperti nasi lemak, rendang, sate dan teh tarik semakin dikenali di seluruh dunia. Begitu juga dengan seni persembahan tradisional, seni bina, kraftangan dan pelbagai warisan budaya yang mencerminkan identiti Malaysia.
Dalam era digital, drama, filem dan kandungan kreatif tempatan turut memainkan peranan penting. Populariti drama tempatan di platform penstriman antarabangsa dan media sosial membuka ruang kepada masyarakat luar untuk mengenali budaya serta nilai yang diamalkan oleh rakyat Malaysia.
Fenomena ini menunjukkan bahawa industri kreatif bukan sekadar sektor ekonomi, tetapi juga medium yang berkesan untuk memperkenalkan identiti negara kepada masyarakat global. Negara seperti Korea Selatan berjaya memanfaatkan industri hiburan sebagai sumber kuasa lunak, dan Malaysia juga mempunyai potensi yang sama jika industri kreatif terus diperkasakan.
Kesimpulan
Malaysia memiliki potensi luar biasa untuk membina semula imej sebagai Negara Rahmah dan mengembangkan kuasa lunaknya melalui kepimpinan yang berwibawa, diplomasi yang berkesan, keharmonian masyarakat majmuk, nilai kemanusiaan, kecemerlangan sukan, pendidikan berkualiti dan kekuatan budaya.
Jika semua aset ini terus diperkasakan, Malaysia berpotensi muncul sebagai model negara majmuk yang aman, progresif dan berpengaruh.
Yang paling utama dari aspek ketamadunan ialah penekanan Negara Rahmah terhadap keseimbangan antara kemajuan material dan pembangunan nilai kemanusiaan. Pada era global yang semakin kompleks dan terpecah belah, pendekatan berasaskan rahmah menawarkan satu naratif yang segar dan relevan untuk Malaysia.
Walaupun warga dunia berdepan cabaran untuk menghargai nilai, kepercayaan dan kerjasama, kuasa lunak sebagai aset strategik mampu mengangkat nama Malaysia ke tahap yang lebih tinggi di persada antarabangsa.
Dr. Safwan Saparudin
Ketua Penyelidik
Ansori Global Datalab




