Krisis Keluarga: Wanita Berilmu, Rumah Tangga Bahagia

krisis keluarga

Keluarga ialah institusi pertama yang membentuk sahsiah manusia. Namun, dalam landskap masyarakat moden, institusi ini sedang melalui fasa yang amat mencabar.

Peningkatan kos sara hidup, tekanan kerjaya, kemajuan teknologi digital, perubahan budaya, kelemahan komunikasi serta kemerosotan penghayatan agama telah mewujudkan suasana yang semakin rapuh dalam kehidupan berumah tangga.

Laporan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa sebanyak 190,304 perkahwinan dan 60,457 perceraian direkodkan sepanjang tahun 2024. Walaupun jumlah perkahwinan meningkat sedikit, kadar perceraian turut meningkat sebanyak 4.1% berbanding tahun sebelumnya. Perceraian dalam kalangan pasangan Islam meningkat sebanyak 7.3%, manakala kes rujuk pula menurun sebanyak 4.7% 1.

Lebih membimbangkan, majoriti perceraian melibatkan pasangan yang masih berada pada usia produktif dan mempunyai anak-anak yang masih kecil. Di sebalik angka-angka ini tersembunyi ribuan kisah tentang anak yang kehilangan tempat bergantung, pasangan yang gagal mengurus konflik, dan keluarga yang terlerai akibat masalah yang sebenarnya boleh dicegah melalui pendidikan serta bimbingan.

Justeru, persoalan utama bukan lagi mengapa perceraian berlaku, tetapi bagaimana masyarakat dapat membina keluarga yang lebih berdaya tahan sebelum konflik bertukar menjadi krisis.

Bukan tiada cinta, tapi hilangnya rahmah

Ramai pasangan berkahwin atas dasar cinta, namun tidak ramai yang benar-benar dipersiapkan untuk mengurus kehidupan berumah tangga.

Realitinya, konflik rumah tangga hari ini bukan semata-mata berpunca daripada ketiadaan kasih sayang. Sebaliknya, ia berpunca daripada kegagalan mengurus perbezaan, kelemahan komunikasi, ketidakmatangan emosi serta hilangnya nilai rahmah dalam hubungan suami isteri.

Laporan dan pemerhatian pelbagai agensi mendapati bahawa isu kewangan, penggunaan media sosial secara tidak terkawal, gangguan pihak ketiga, keganasan rumah tangga, tekanan kerja dan masalah komunikasi merupakan antara faktor yang sering dikaitkan dengan peningkatan kes perceraian di Malaysia 2,3.

Fenomena phubbing (gabungan phone dan snubbing), iaitu mengabaikan pasangan kerana terlalu memberi perhatian kepada telefon pintar, semakin menjadi kebiasaan. Pasangan tinggal serumah tetapi hidup dalam dunia digital masing-masing.

Komunikasi yang dahulunya berlaku di meja makan kini digantikan dengan skrin telefon. Akibatnya, hubungan emosi semakin renggang walaupun jarak fizikal sangat dekat, seterusnya menyebabkan hubungan suami isteri semakin menjauh.

Krisis peranan dalam rumah tangga

Islam telah menetapkan bahawa suami ialah qawwam, iaitu pemimpin yang memikul amanah untuk melindungi, membimbing dan menyediakan nafkah kepada keluarga. Namun, konsep qawwam sering disalah tafsir, sama ada dianggap sebagai kuasa mutlak ataupun ditolak atas nama kebebasan.

Begitu juga halnya dengan peranan isteri. Islam tidak pernah mengecilkan martabat wanita kepada ruang domestik semata-mata. Sebaliknya, wanita diberikan ruang untuk berperanan dalam bidang pendidikan, ekonomi, dakwah dan kepimpinan, selagi keharmonian keluarga terus dipelihara.

Apabila suami gagal memimpin dengan hikmah, atau isteri tidak lagi melihat keluarga sebagai amanah bersama, maka institusi rumah tangga akan kehilangan keseimbangannya.

Hakikatnya, keluarga bukan medan untuk menentukan siapa yang lebih berkuasa, tetapi ruang untuk saling melengkapi dalam melaksanakan amanah Allah SWT.

Wanita berilmu menguatkan suami, bukan menggantikannya

Antara salah faham yang sering timbul ialah tanggapan bahawa pemerkasaan wanita akan melemahkan kedudukan lelaki. Hakikatnya, wanita yang berilmu tidak mengambil alih kepimpinan suami, sebaliknya memperkukuh kepimpinan tersebut.

Isteri yang memahami konsep qanaah, syukur, komunikasi berhikmah dan kecerdasan emosi akan menjadi sumber kekuatan kepada suami ketika berdepan tekanan kehidupan.

Begitu juga, suami yang memahami amanah sebagai qawwam akan memimpin dengan kasih sayang, bukan dengan autoriti semata-mata.

Keluarga yang kukuh bukan dibina oleh individu yang sempurna, tetapi oleh pasangan yang sentiasa saling memperbaik dan memperkuat antara satu sama lain.

Pendidikan ialah benteng kepada krisis keluarga

Jika masyarakat sanggup melaburkan ribuan ringgit untuk pendidikan akademik anak-anak, mengapa pendidikan perkahwinan masih sering dipandang sebagai sesuatu yang kurang penting?

Ramai memasuki alam rumah tangga tanpa memahami psikologi pasangan, pengurusan konflik, komunikasi, pengurusan kewangan mahupun hak dan tanggungjawab menurut syariah. Akhirnya, masalah yang kecil bertukar menjadi pertelingkahan yang besar.

Justeru, pendidikan wanita menjadi semakin penting dan tidak boleh dipinggirkan. Program pendidikan masyarakat untuk wanita perlu digerakkan secara lebih meluas di peringkat akar umbi melalui pelbagai platform yang bersesuaian dengan keperluan komuniti dan kelompok sasaran.

Melalui inisiatif MAWAR (Membangunkan Masyarakat Wanita Rahmah), Wanita IKRAM Malaysia membantu pembangunan wanita dengan memberi penekanan kepada beberapa aspek utama:

  • Memahami kedudukan wanita menurut Islam.
  • Menghayati ibadah sebagai sumber kekuatan spiritual.
  • Memahami undang-undang syariah berkaitan hak dan tanggungjawab wanita.
  • Memperkukuh institusi keluarga.
  • Membina jati diri dan kemahiran asas kepimpinan. 
  • Menjaga maruah dan adab, termasuk dalam dunia digital.
  • Membangunkan anak melalui pendidikan holistik.
  • Memikul tanggungjawab terhadap masyarakat serta kelestarian alam.

 

Dari MAWAR mekarnya Masyarakat Rahmah

Dalam dunia yang penuh dengan ketidaktentuan, pembangunan wanita tidak lagi boleh dilihat sebagai agenda sampingan, sebaliknya merupakan pelaburan strategik untuk melahirkan generasi yang berkualiti demi masa depan ummah.

Seorang tokoh ilmuwan Islam, Yusuf al-Qaradawi, pernah menyebut:

“Wanita adalah sebuah sekolah. Apabila engkau mempersiapkannya dengan baik, maka engkau telah mempersiapkan sebuah bangsa yang baik.”

Ayuh kita bina masyarakat rahmah, sebagai tanggungjawab dan agenda bersama. Perubahan yang kita impikan tidak akan lahir hanya melalui dasar yang baik, kempen yang meluas atau pembangunan yang pesat.

Perubahan yang hakiki bermula apabila setiap keluarga diperkukuh dengan ilmu, setiap suami memimpin dengan amanah, setiap isteri mendidik dengan hikmah, dan setiap anak dibesarkan dengan kasih sayang, maka lahirlah sebuah peradaban yang sejahtera.

Inilah semangat yang ingin dihidupkan melalui MAWAR (Membangunkan Masyarakat Wanita Rahmah). Ia satu usaha pendidikan berterusan untuk memperkasakan wanita yang berlandaskan ilmu, dipandu oleh al-Quran dan as-Sunnah, serta diterjemahkan melalui amal yang membawa manfaat kepada keluarga, dan akhirnya mekar dalam masyarakat.

Prof. Madya Ts. Dr Dasmawati Mohamad
Pn. Sabariah Manshor
Jawatankuasa Pendidikan Masyarakat
Wanita IKRAM Malaysia

Rujukan

  1. Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Marriage, Divorce and Rujuk Statistics, Malaysia, 2025.
  2. Money Problems, Social Media Drive Rising Divorce Rates, The Star.
  3. Suleiman, H., & Nurul Afifah Mohamad Farid. (2023). The Rate of Divorce among Muslim Couples in Malaysia: A Legal Analysis of the Causes & Consequences. IIUM Journal of Religion and Civilisational Studies, 6(1), 25–43.

 

Nota: 

Artikel ini merupakan penulisan pertama Siri MAWAR yang bertujuan memperkenalkan bidang-bidang utama dalam agenda pendidikan masyarakat untuk wanita yang digerakkan oleh Wanita IKRAM Malaysia. 

Harapan kami agar siri penulisan ini menjadi wadah perkongsian ilmu, mencetuskan perbincangan yang membina serta menyumbang kepada usaha melahirkan wanita yang berilmu, berakhlak, berdaya tahan dan mampu menjadi ejen perubahan ke arah pembentukan keluarga sejahtera serta masyarakat rahmah.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia