Dalam artikel CELOTEH 7, kita telah pun meneroka falsafah di sebalik penyerahan “lencana kuasa” kepada anak berusia 9 hingga 12 tahun melalui Teknik “Kapten i-Junior”.
Di atas kertas, bayangan suasana tersebut kelihatan cukup harmoni – anak tersenyum bijak menyusun aktiviti, manakala kita selaku ibu bapa sekadar duduk menyokong dengan tenang di belakang tabir.
Namun, tatkala idea ini mula diterjemahkan ke alam nyata, timbul satu persoalan di fikiran, “Benarkah proses ini semudah itu, atau realitinya nanti bakal mengundang huru-hara?”
Hakikatnya, realiti di lapangan tidak pernah semudah teori. Di sebalik keterujaan si kecil memegang peranan “Kapten”, cabaran terbesar kita adalah untuk menguji sejauh mana mampunya kita memberikan reaksi rasional tanpa dipengaruhi emosi, terutamanya apabila idea mereka tidak logik atau mustahil untuk dilaksanakan.
Pada masa yang sama, timbul juga persoalan sama ada anak-anak kita sudah cukup bersedia untuk mendepani teguran dan mengawal rasa kecewa apabila keputusan tidak memihak kepada mereka.
Akhirnya, pertembungan emosi antara dua pihak ini akan diuji secara kritikal dalam dua fasa utama: semasa rundingan awal idea dan semasa menguruskan realiti pada hari kejadian.
Seni menolak idea anak tanpa memadamkan rasa dihargai
Cabaran pertama ini lazimnya bermula sebelum aktiviti sempat berjalan, iaitu tatkala kita perlu memberikan maklum balas terhadap cadangan si Kapten yang kurang sesuai atau berisiko. Bayangkan situasi apabila anak melontarkan hasrat yang mengejutkan:
“Ibu, esok sebagai Kapten, saya rancang kita bangun jam 4 pagi dan pergi mandi sungai!”
Andai kita memilih untuk menolak mentah-mentah dengan respons seperti, “Eh tak boleh, merapulah abang ni,” anak akan mentafsirkan bahawa perancangan dan usahanya langsung tidak bernilai.
Meneliti dari sudut psikologi, anak-anak berusia 9 hingga 12 tahun sedang mendepani fasa transisi kritikal menuju alam awal remaja. Pada waktu inilah mereka mula membina ego identiti serta mendambakan ruang untuk membuktikan kompetensi diri.
Kesilapan menangani fasa ini dengan penolakan yang keras berisiko merencat keberanian mereka untuk memimpin pada masa hadapan; malah boleh memadamkan terus keinginan mereka untuk menyumbang idea akibat berasa diri mereka gagal.
Justeru, kuncinya terletak pada keupayaan kita untuk memisahkan antara “emosi dan usaha” anak dengan “logik cadangan” tersebut. Kitaran ini seharusnya dimulakan dengan menzahirkan penghargaan penuh terhadap usaha mereka, sebelum beralih mengajak mereka menilai realiti secara diplomasi:
“Wah, ibu kagum betul dengan semangat abang sebagai Kapten! Ibu suka sebab abang fikirkan aktiviti yang mencabar. Cuma, cuba Kapten fikirkan, kalau kita pergi jam 4 pagi dan suasana masih gelap gelita, agaknya selamat tak untuk kita semua? Cuba Kapten fikirkan satu lagi alternatif aktiviti mencabar yang lebih sesuai waktunya dan selamat untuk pasukan kita!”
Melalui pendekatan bersasaran ini, anak tidak akan merasakan dirinya ditolak secara peribadi. Sebaliknya, dia sedang menyerap satu rukun kepimpinan yang mahal, bahawa sesuatu keputusan itu haruslah bersifat fleksibel serta wajib mengambil kira aspek keselamatan dan keselesaan para pengikutnya.
Menyantuni kegagalan: Menjadikan kesilapan “ruang emas” tarbiah
Cabaran kedua pula bakal menjelma pada hari kejadian, iaitu tatkala jadual yang disusun rapi oleh si Kapten bertukar kucar-kacir; masa makan mula terlajak, aktiviti tergendala, manakala adik-beradik yang lain mula merengek kebosanan.
Apabila detik kritikal ini tiba, di sinilah benteng kesabaran kita selaku ibu bapa akan benar-benar diuji. Kita harus sedar dan berempati bahawa si Kapten sendiri pada waktu itu sedang menanggung rasa kecewa serta patah hati, memandangkan idea yang dibayangkannya indah tidak membuahkan hasil di alam nyata.
Justeru, kawallah lidah daripada menghamburkan patah kata yang mematahkan semangat, mahupun menuding jari atas segala kekurangan.
Sebaliknya, pandanglah situasi huru-hara ini sebagai satu “ruang emas” tarbiah yang amat berharga untuk menyemai pola fikir dinamik (growth mindset), iaitu satu latihan buat anak untuk melihat kegagalan bukan sebagai penutup jalan, melainkan sebuah maklum balas untuk memperbaik diri.

Langkah intervensi: Sembang post-mortem secara tenang
Seterusnya, selepas keadaan kembali reda, ambillah peluang untuk duduk bersama si Kapten bagi memulakan sesi sembang hati ke hati dalam suasana yang cukup santai:
“Ibu tengok abang sudah berusaha sehabis baik hari ini. Walaupun perancangan kita ada yang tidak menjadi, ibu tetap bangga sebab abang berani mengambil tanggungjawab. Agak-agak sebagai satu pasukan keluarga, apa yang boleh kita baiki bersama untuk sesi akan datang?”
Namun, kita selaku ibu bapa harus sedar bahawa di sebalik skrip dialog yang kelihatan ideal ini, ego seorang anak yang sedang dalam fasa belajar memimpin sebenarnya amat mudah tersentuh.
Tatkala idea yang dibayangkan indah bertukar kucar-kacir, mereka cenderung untuk cepat berasa tewas, sama ada mengekspresikannya melalui rasa kecewa, menuding salah pada keadaan, atau terus tawar hati untuk mencuba lagi.
Persoalannya, mengapakah fasa kegagalan kecil sebegini begitu mudah menggoncang kestabilan emosi anak-anak dalam lingkungan usia transisi ini?
Kajian ilmiah jelas membuktikan bahawa ekspresi emosi keluarga yang negatif serta kesukaran ibu bapa dalam mengawal emosi kendiri bertindak sebagai faktor penentu utama kepada rapuhnya keupayaan anak untuk meregulasi emosi mereka sendiri [1].
Meminjam ketenangan: Hakikat biologi di sebalik “Wi-Fi” emosi
Jawapannya tersimpul pada biologi tubuh mereka. Meneliti dari sudut sains perkembangan, bahagian otak anak yang menguruskan emosi dan keputusan logik masih dalam proses pembinaan. Implikasinya, mereka belum mempunyai “alat pemancar” dalaman yang cukup matang untuk menenangkan diri sendiri secara total. Dalam fasa transisi inilah mereka amat memerlukan bantuan luaran yang diistilahkan sebagai koregulasi [2].
Bagaimanakah isyarat “Wi-Fi” emosi ini berfungsi?
Hakikatnya, suasana di dalam rumah sebenarnya saling bersambung persis isyarat Wi-Fi. Apabila anak-anak berhadapan dengan situasi luar jangkaan, sistem emosi mereka akan secara automatik “menumpang” (tethering) kepada gelombang emosi ibu bapa di sisi mereka.
Andai “Wi-Fi” yang dipancarkan oleh ibu bapa adalah gelombang yang tenang, sistem saraf anak akan menyerap ketenangan tersebut secara semula jadi.
Sebab itulah dari sudut biologi, anak-anak sebenarnya terpaksa “meminjam” ketenangan daripada orang dewasa bagi menstabilkan semula paksi emosi diri mereka.
Menariknya, konsep ketenangan biologi inilah yang diistilahkan dalam al-Quran sebagai “sakinah”, iaitu ketenteraman jiwa yang Allah SWT turunkan ke dalam hati orang-orang beriman (Surah Al-Fath, ayat 4) [3].
Apabila ibu bapa memiliki benteng “sakinah” ini, barulah gelombang yang dipancarkan ke segenap ruang rumah mampu mendamaikan jiwa anak-anak yang sedang berkecamuk.
Sebaliknya, jika kita memilih untuk menyambut kekecewaan mereka dengan cas amarah, isyarat yang sampai kepada unjuran saraf anak bukan lagi sebuah kedamaian, melainkan isyarat ancaman yang membuatkan mereka semakin sukar untuk kembali bertenang.
Kesimpulan: Melahirkan pemimpin mengikut acuan fitrah
Oleh yang demikian, melihat anak-anak menerusi lensa keupayaan neurobiologi sebegini akhirnya akan merubah cara kita bertindak. Melatih anak menguruskan hidup dan emosi melalui projek kepimpinan ini bukanlah sebuah perjuangan solo si anak sendirian, melainkan satu usaha berpasukan yang melibatkan unjuran emosi seluruh ahli rumah.
Tujuan utama kita menyerahkan “lencana kuasa” melalui projek ini bukanlah demi memburu hasil jadual yang sempurna tanpa cacat cela mengikut ukuran orang dewasa. Sebaliknya, matlamat kita adalah untuk meraikan setiap fasa jatuh bangun emosi mereka, melatih mereka mendepani realiti, dan memberikan hak agar suara mereka didengari.
Apabila kita selaku orang dewasa bersedia mengawal emosi sendiri demi menyediakan ruang koregulasi yang sihat serta menyantuni kekurangmatangan mereka dengan penuh lapang dada, di situlah bermulanya keindahan sebuah proses tarbiah.
Langkah ini selari dengan pesanan tradisi Imam al-Ghazali bahawa jiwa anak-anak itu pada asalnya adalah bersih, suci dan sedia menerima sebarang acuan didikan yang mencorakkannya [4].
Pada akhirnya, kita bukan sekadar sedang melatih seorang perancang aktiviti keluarga, tetapi kita sebenarnya sedang berusaha melahirkan insan yang matang, kental dan yakin diri mengikut acuan fitrah insani.
Dr. Safiya Amaran
Pakar Perubatan Kesihatan Awam &
Jawatankuasa Advokasi Kanak-kanak
Wanita IKRAM Malaysia
Nota: Artikel ini ialah artikel kelapan Siri CELOTEH oleh Wanita IKRAM Malaysia.
Rujukan
[1] Are, F., & Shaffer, A. (2016). Maternal Emotion Regulation Difficulties and Family Emotion Expressiveness as Predictors of Child Emotion Regulation. Journal of Child and Family Studies, 25(11), 3321–3331.
[2] Paley, B., & Hajal, N. J. (2022). Coparenting and Family-Level Emotion Regulation: The Science of Coregulation in the Household. Journal of Family Psychology, 36(4), 512-525.
[3] Al-Quran. Surah Al-Fath, Ayat 4: Konsep Sakinah (Ketenangan Jiwa).
[4] Al-Ghazali, Abu Hamid. Ihya Ulumuddin (Kebangkitan Ilmu-Ilmu Agama). Konsep Kesucian Fitrah Kanak-Kanak dan Tanggungjawab Pendidikan Jiwa.




