Pernahkah kita terfikir, yang membina ketamaduan manusia bukan bangunan dan fasiliti semata, tetapi kata-kata turut menjadi faktor utama? Setiap hari kita mengucapkan pelbagai perkataan dalam komunikasi sesama ahli keluarga, rakan sekerja, jiran dan masyarakat umum.
Tidak dapat dinafikan, kata dan ucapan yang baik mampu menggembirakan hati, membina semangat dan mengeratkan hubungan. Di satu sudut yang lain, ada ucapan kasar dan kesat yang boleh menyinggung perasaan, menimbulkan salah faham dan merosakkan keharmonian sosial.
Dalam Islam, ucapan bukan hanya alat komunikasi, tetapi sebahagian daripada ibadah dan akhlak. Al-Quran dan as-Sunnah memberikan panduan yang jelas tentang bagaimana manusia seharusnya berkomunikasi bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni dan sejahtera.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Isra’ ayat 53 yang bermaksud:
“Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku supaya mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik.”
Menariknya, ayat ini tidak hanya memerintahkan manusia bercakap baik, tetapi memilih perkataan yang paling baik. Ini menunjukkan bahawa Islam amat menitikberatkan kesan sosial yang terhasil daripada sesuatu ucapan.
Lihat sahaja bagaimana ucapan tahniah mampu membina ruang sosial yang positif. Apabila seseorang berjaya memperoleh pekerjaan baharu, dinaikkan pangkat atau menerima anugerah, ucapan seperti “Tahniah atas pelantikan ini. Semoga amanah yang diberikan dapat dilaksanakan dengan cemerlang dan membawa manfaat kepada masyarakat” bukan sahaja menggembirakan penerima, malah mengukuhkan budaya menghargai pencapaian orang lain.
Salah guna ucapan
Sebaliknya, dalam masyarakat hari ini kadangkala wujud budaya sinis yang menyelit dalam ucapan. Tidak kurang juga yang menggunakan perkataan yang tidak sesuai dengan sesuatu situasi. Sebagai contoh, apabila seseorang dilantik memegang jawatan penting, ada yang secara berseloroh mengucapkan “takziah” dan bukannya “tahniah.”
Walaupun mungkin bertujuan untuk bergurau atau menggambarkan beratnya tanggungjawab yang bakal dipikul, penggunaan ucapan takziah dalam konteks tersebut wajar dinilai semula.
Dalam tradisi Islam, ucapan takziah adalah ungkapan simpati kepada individu yang ditimpa musibah, khususnya kehilangan ahli keluarga atau menghadapi kesedihan yang besar.
Menggunakannya terhadap individu yang menerima kepercayaan dan penghormatan melalui pelantikan jawatan boleh menghilangkan makna sebenar ucapan tersebut serta memberi gambaran negatif terhadap amanah kepimpinan.
Lebih membimbangkan apabila ucapan sedemikian sebenarnya mencerminkan budaya sosial yang kurang sihat. Jawatan dan amanah dilihat sebagai beban semata-mata, bukannya peluang untuk berkhidmat dan menyumbang kepada masyarakat. Sedangkan dalam Islam, amanah kepimpinan adalah tanggungjawab yang mulia walaupun besar cabarannya.
Berkata baik atau diam
Dalam al-Quran, terdapat beberapa prinsip komunikasi yang boleh menjadi panduan dalam kehidupan sosial. Antaranya ialah qawlan sadidan iaitu perkataan yang benar dan tepat, qawlan layyinan iaitu perkataan yang lembut, qawlan ma‘rufan iaitu perkataan yang baik dan sesuai, serta qawlan kariman iaitu perkataan yang mulia dan menghormati orang lain.
Prinsip-prinsip ini amat relevan dalam dunia hari ini, khususnya di media sosial. Kita sering menyaksikan bagaimana satu komen yang kasar boleh mencetuskan pertengkaran yang panjang. Sebaliknya, satu ucapan penghargaan yang ringkas mampu meningkatkan motivasi seseorang dan mengeratkan hubungan sesama manusia.
Rasulullah SAW sendiri menunjukkan teladan yang terbaik dalam berkomunikasi. Baginda sentiasa memilih perkataan yang baik, mengelakkan penghinaan dan menghormati perasaan orang lain. Malah Baginda bersabda:
“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam.” (HR Bukharidan Muslim)
Hadis ini mengingatkan bahawa setiap perkataan yang diucapkan mempunyai nilai dan tanggungjawab moral.
Dari sudut maqasid syariah, budaya ucapan yang baik menyumbang kepada pemeliharaan pelbagai maslahat manusia. Ucapan yang benar membantu memelihara akal melalui penyebaran maklumat yang sahih.
Ucapan yang menghormati orang lain memelihara maruah dan kehormatan insan. Ucapan yang menenangkan pula membantu menjaga kesejahteraan jiwa dan hubungan sosial. Dalam konteks yang lebih luas, komunikasi yang penuh dengan ungkapan penghormatan turut menyumbang kepada kestabilan institusi keluarga, organisasi dan negara.
Pilihan kata penentu peribadi
Banyak konflik dalam masyarakat bukan berpunca daripada niat yang jahat, tetapi daripada kegagalan memilih kata-kata yang sesuai. Adakalanya seseorang tidak berniat menyakiti, namun perkataan yang dilafazkan tanpa pertimbangan mampu meninggalkan kesan yang mendalam kepada orang lain.
Lebih mencabar pada hari ini, sebahagian besar komunikasi berlaku melalui media sosial dan aplikasi pesanan yang tidak mempertemukan kita secara bersemuka. Dalam ruang digital, kita tidak dapat melihat riak wajah, nada suara atau emosi penerima. Justeru, risiko salah faham, prasangka dan pertelingkahan menjadi lebih besar.
Oleh sebab itu, Islam mengajar umatnya supaya berfikir sebelum berbicara, menilai manfaat sesuatu ucapan dan mempertimbangkan kesannya sebelum ia dilafazkan atau ditulis.
Pertanyaan yang wajar diajukan kepada diri sendiri sebelum berkata-kata ialah: Adakah ucapan ini benar? Adakah ia membawa kebaikan? Adakah ia membantu menyelesaikan masalah atau sekadar menambah luka dan permusuhan?
Marilah kita memulakan perubahan ini daripada diri sendiri. Biasakan lidah dan jari kita dengan ucapan yang baik, doa yang baik, nasihat yang baik dan penghargaan yang baik.
Jadikan budaya mengucapkan terima kasih, memohon maaf, mengucapkan tahniah, memberikan kata-kata semangat dan mendoakan kesejahteraan orang lain sebagai sebahagian daripada amalan harian kita.
Sesungguhnya Islam bukan agama yang hanya mengatur hubungan peribadi antara manusia dengan Tuhan. Islam juga hadir untuk membentuk kehidupan bermasyarakat yang harmoni, berakhlak dan sejahtera.
Apabila setiap individu berusaha menjaga lisannya dan memilih perkataan yang baik, ruang sosial yang terbina akan menjadi ruang yang lebih damai, saling menghormati dan dipenuhi rahmah.
Mungkin kita tidak mampu mengubah dunia dengan serta-merta, tetapi kita mampu memulakan perubahan itu dengan satu ucapan yang baik. Kadangkala satu perkataan yang lahir daripada hati yang beradab mampu mengubah hati manusia dan memperbaik sebuah masyarakat.
Prof Madya Dr. Hamidah Mat
Dekan
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia (OUM)




