Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) mengambil kesempatan sempena Hari Pelarian Sedunia 2026 untuk menyeru seluruh masyarakat Malaysia agar mendekati isu pelarian dengan sikap yang berasaskan fakta, keadilan, belas ihsan dan tanggungjawab bersama.
Tema Hari Pelarian Sedunia tahun ini, “Until Everyone Is Safe”, mengingatkan kita bahawa keselamatan, maruah dan hak asasi manusia ialah nilai sejagat yang tidak boleh dipisahkan daripada usaha membina masyarakat yang aman dan berperadaban.
HIKAM mengakui bahawa sebahagian rakyat Malaysia mempunyai kebimbangan yang sah berkaitan aspek keselamatan, penguatkuasaan undang-undang, peluang pekerjaan, kemudahan awam dan keharmonian sosial yang melibatkan komuniti pelarian. Kebimbangan ini wajar didengar dan ditangani secara serius oleh semua pihak melalui pendekatan yang bertanggungjawab serta berasaskan data dan fakta yang sahih.
Dalam masa yang sama, HIKAM menegaskan bahawa kebimbangan yang wujud tidak boleh menjadi alasan untuk menormalisasikan kebencian, diskriminasi atau sentimen xenofobia terhadap pelarian dan pencari suaka. Kita perlu membezakan antara usaha menjaga keselamatan negara dengan kecenderungan menghukum seluruh kelompok yang berada dalam keadaan terdesak dan rentan.
Bersempena kedatangan Tahun Baharu Hijrah 1448 H, HIKAM mengajak umat Islam menghayati semula makna hijrah yang menjadi asas penting dalam sejarah tamadun Islam. Peristiwa hijrah mengingatkan kita bahawa perlindungan terhadap golongan yang teraniaya, tertindas dan kehilangan tempat berlindung merupakan sebahagian daripada nilai luhur yang diwariskan oleh agama ini.
Firman Allah SWT:
“Dan jika seseorang daripada kaum musyrikin meminta perlindungan kepadamu, maka berilah dia perlindungan sehingga dia sempat mendengar firman Allah, kemudian hantarkanlah dia ke tempat yang aman baginya.” (Surah At-Taubah: 6)
Ayat ini menegaskan prinsip Islam yang mengangkat nilai perlindungan, keselamatan dan ihsan terhadap mereka yang berada dalam keadaan memerlukan.
HIKAM turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, UNHCR, pertubuhan masyarakat madani, badan kemanusiaan, institusi pendidikan, organisasi keagamaan dan semua pihak yang terus berusaha mengurus isu pelarian secara bertanggungjawab. Pendekatan yang melibatkan kerjasama pelbagai pihak adalah penting bagi memastikan keseimbangan antara kepentingan negara dan tuntutan kemanusiaan dapat dicapai.
Sehubungan itu, HIKAM menyokong beberapa keutamaan berikut:
1. Menolak segala bentuk ucapan kebencian, diskriminasi dan hasutan terhadap pelarian serta komuniti rentan.
2. Memperkukuh pengurusan data, dokumentasi dan pendaftaran pelarian secara lebih sistematik dan telus.
3. Menjamin akses pendidikan kepada kanak-kanak pelarian tanpa diskriminasi.
4. Memperluas pendidikan awam dan literasi media bagi menangani maklumat palsu, fitnah serta sentimen xenofobia.
5. Menggalakkan program orientasi budaya, pematuhan undang-undang dan tanggungjawab sosial bagi membantu pelarian menyesuaikan diri dengan kehidupan masyarakat Malaysia.
6. Merangka dasar dan pelan tindakan yang lebih menyeluruh bagi mengurus isu pelarian dengan mengambil kira keselamatan negara, kesejahteraan rakyat tempatan dan tanggungjawab kemanusiaan.
Dalam dunia yang semakin dicengkam konflik, peperangan dan polarisasi sosial, HIKAM percaya bahawa kekuatan sesebuah negara bukan sahaja diukur melalui keupayaannya mempertahankan sempadan, tetapi juga melalui keupayaannya mempertahankan nilai keadilan, rahmah dan kemuliaan insan yang menjadi asas kepada sebuah tamadun yang beradab.
HIKAM menyeru semua pihak untuk memperkukuh budaya damai, memperluas ruang dialog dan menolak politik kebencian yang hanya akan merosakkan keharmonian masyarakat. Isu pelarian memerlukan penyelesaian yang rasional, seimbang dan berperikemanusiaan, bukannya pendekatan yang berasaskan ketakutan atau prejudis.
Selagi masih ada insan yang hidup dalam ketakutan, kehilangan perlindungan dan dinafikan maruahnya, tanggungjawab kemanusiaan kita masih belum selesai.
“Memelihara Keselamatan Negara, Menjunjung Karamah Insaniah.”
HIMPUNAN GERAKAN ISLAM MALAYSIA (HIKAM)
- Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
- Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
- Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN)
20 Jun 2026 | 4 Muharam 1448 H



