Hari Bapa: Ketika Nafkah Jadi Bahasa Cinta Seorang Ayah

Setiap kali tibanya sambutan Hari Bapa, kita pasti teringatkan keberadaan insan-insan hebat yang bergelar ayah. Peranan bapa adalah sebagai “tiang seri” yang mengukuhkan struktur emosi dan fizikal sesebuah keluarga.

Sama ada mereka bapa kandung, bapa angkat, bapa tiri mahupun bapa tunggal, setiap keringat yang tumpah adalah bukti cinta yang tidak perlu diungkapkan dengan kata-kata.

Sesungguhnya Hari Bapa bukan sekadar sambutan tahunan. Ia adalah satu bentuk refleksi tentang kasih sayang yang tidak pernah luntur. Ia juga sebuah pengorbanan yang diterjemahkan melalui titisan keringat demi memastikan masa depan anak-anak sentiasa terjamin.

Sering kali masyarakat melihat peranan memberikan nafkah sebagai satu kewajipan material yang bersifat teknikal semata-mata.

Namun, jika ditelusuri dari sudut pandang rahmah, nafkah sebenarnya adalah manifestasi paling nyata bagi rasa tanggungjawab dan perlindungan seorang lelaki terhadap amanah Tuhan. Ia bukan sekadar tentang memastikan ada makanan di atas meja atau menanggung yuran persekolahan, tetapi ia adalah tentang membina rasa selamat dalam jiwa anak-anak.

Melalui nafkah yang konsisten, seorang bapa sedang berbicara tanpa suara kepada anaknya, menyatakan bahawa “Ayah ada di sini untuk memastikan kamu selamat dan selesa,” biarpun dalam keadaan dunia yang penuh dengan cabaran hari ini.

Realiti kehidupan juga mengajar kita bahawa hidup tidak selalunya berjalan seperti yang direncanakan. Kadangkala, jodoh antara dua insan terpaksa berakhir di tengah jalan.

Walau bagaimanapun, dalam institusi kekeluargaan yang berteraskan ihsan, kita perlu akur bahawa perpisahan orang dewasa mungkin mengubah struktur keluarga, namun ia tidak pernah memutus talian kasih seorang ayah.

Walaupun tempat tinggal mungkin berbeza dan keadaan tidak lagi sama, peranan bapa dalam memberikan sokongan kewangan dan emosi tetap menjadi jambatan kukuh yang menghubungkan hati anak-anak dengan dunia luar.

Memberi nafkah selepas perceraian adalah bukti tertinggi bahawa seorang bapa tetap meletakkan kebajikan dan masa depan anaknya sebagai keutamaan mengatasi segala badai peribadi yang melanda.

Pada masa yang sama, kita tidak boleh menutup mata terhadap cabaran ekonomi hari ini yang amat menuntut ketabahan luar biasa daripada seorang ketua keluarga. Kos sara hidup yang meningkat sering kali meletakkan para bapa dalam situasi yang sukar.

Dalam hal ini, prinsip rahmah mengajar kita untuk tidak menghukum. Nilai seorang bapa tidak sepatutnya diukur pada besar atau kecilnya jumlah wang yang mampu disediakan, tetapi pada konsistensi, kesungguhan dan keikhlasannya untuk sentiasa mencuba sedaya upaya buat anak-anak.

Di sinilah pentingnya sokongan komuniti dan keterbukaan untuk berkomunikasi secara harmoni antara pihak-pihak terlibat, demi memastikan kebajikan anak sentiasa terpelihara tanpa meletakkan tekanan yang tidak wajar kepada para bapa yang sedang bergelut.

Sebagai sebuah pertubuhan yang sentiasa mendukung kesejahteraan kekeluargaan, marilah kita meraikan Hari Bapa ini dengan penuh empati, kasih sayang dan kebersamaan.

Kepada semua bapa di luar sana, terima kasih kerana terus bertahan, terus memberi dan terus melimpahkan kasih sayang tanpa syarat. Tanggungjawab yang anda pikul hari ini adalah legasi kebaikan untuk generasi masa hadapan. Selamat Hari Bapa.

Dr. Sakeena Zahidah Mohamed Shah Redza
Jawatankuasa Advokasi Wanita
Wanita IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia