Dalam artikel-artikel Siri CELOTEH sebelum ini, kita telah belajar melihat dunia daripada aras pandangan si kecil, bermula daripada keterbatasan fizikal di jalan raya sehinggalah kepada kepentingan menghormati emosi mereka.
Hari ini, mari kita bawa lensa tersebut dan prinsip “amanah mendengar” ke satu lagi ruang yang kerap bertukar menjadi “medan perang” harian di rumah, iaitu meja makan.
Sering kali kita mendengar keluhan mak ayah yang buntu menghadapi gelagat anak-anak waktu makan. Antara ungkapan yang biasa didengar termasuklah, “Susahnya nak bagi dia makan sayur!” atau “Makan dua suap dah kata kenyang, ini sengaja nak main-mainlah ni!”
Luahan sebegini mencerminkan betapa besarnya jurang kefahaman antara orang dewasa dan kanak-kanak dalam isu hidangan harian.
Hari ini, mari kita berhenti seketika dan duduk di kerusi anak kecil kita. Mari kita lihat hidangan di depan mata dari sudut biologi dan otak mereka yang sedang membesar. Hakikatnya, anak-anak bukan sengaja mahu buat kita geram atau sengaja buat perangai. Suara protes mereka sebenarnya adalah isyarat daripada keterbatasan fizikal yang jarang kita fahami.
Bukan mengada-ngada, tapi lidah anak terlalu peka dengan tekstur makanan
Bagi kita yang dewasa, semangkuk sup sayur sawi atau brokoli adalah hidangan menyelerakan dan berkhasiat. Namun, situasi di dalam mulut anak kecil kita adalah sebuah cerita yang jauh berbeza. Ruang mulut dan lidah kanak-kanak sebenarnya mempunyai tahap kepekaan yang berkali ganda lebih tinggi berbanding orang dewasa. [1]
Keadaan ini berlaku kerana mereka dilahirkan dengan deria sentuhan lidah yang sangat sensitif terhadap sebarang rangsangan fizikal. Apabila makanan dikunyah, seluruh ruang mulut, dari permukaan lidah, geseran pada dinding pipi, sehinggalah ke anak tekak, akan menilai saiz, urat halus dan kelembutan makanan tersebut dengan sangat terperinci.
Proses penilaian biologi ini berlaku secara automatik bagi memastikan objek yang bakal ditelan benar-benar selamat untuk tekak mereka.
Disebabkan sistem pertahanan inilah, rupa makanan yang asing seperti daun sawi yang lembik, serat batang yang kasar, atau permukaan brokoli yang menggerutu boleh mencetuskan rasa hendak muntah secara spontan (gag reflex).
Kesimpulannya, anak yang tiba-tiba mahu muntah atau meluahkan semula makanan itu bukan kerana mereka mengada-ngada, tetapi kerana fungsi lidah mereka secara jujur memberi isyarat belum bersedia menerima makanan yang sekasar atau selembik itu.
Dilema rasa, antara fitrah manis dan bahaya masin
Sering kali kita pelik kenapa anak-anak begitu cenderung memilih makanan manis tetapi menolak hidangan yang sudah secukup rasa. Jawapannya terletak pada pelan induk perkembangan tubuh mereka yang sedang membesar dengan sangat laju. Otak dan badan mereka secara semula jadi memerlukan sumber kalori dan tenaga yang cepat. [3]
Otak kanak-kanak sudah diprogramkan sejak azali bahawa rasa manis adalah isyarat makanan itu selamat dan membekalkan tenaga segera. [2, 3]
Fitrah ini sebenarnya sangat penting bagi memastikan anak kecil secara semula jadi tertarik untuk menikmati hidangan yang kaya dengan khasiat utama untuk pertumbuhan mereka, seperti susu ibu, susu dan buah-buahan [2]. Itulah sebabnya mereka boleh menerima makanan manis tanpa rasa muak berbanding kita yang dewasa.
Sebaliknya, apabila melibatkan rasa masin, senarionya agak membimbangkan bagi kesihatan organ dalaman mereka. Anak kecil tidak mempunyai “brek biologi” untuk menolak garam, malah lidah mereka sangat mudah dijerat dan boleh menjadi ketagih jika diperkenalkan terlalu awal. [4]
Ramai ibu ayah tidak sedar bahawa organ buah pinggang anak kecil kita belum matang sepenuhnya untuk menapis lebihan garam [5]. Oleh itu, membiasakan lauk-pauk yang masin bukan sahaja merosakkan deria rasa semula jadi, malah meletakkan bebanan awal yang berbahaya kepada buah pinggang mereka. [4, 5]
Fasa takut makanan baharu: Fitrah semula jadi untuk melindungi diri
Pernahkah anak anda tiba-tiba menolak makanan yang mereka tidak pernah lihat sebelum ini, walaupun kita beria-ia menyatakan menu itu sedap? Dalam dunia psikologi kanak-kanak, keadaan ini dipanggil Food Neophobia iaitu ketakutan semula jadi terhadap menu yang asing [1]. Sifat ini sebenarnya adalah fitrah yang Allah jadikan sebagai bentuk pertahanan diri manusia untuk melindungi mereka daripada bahaya.
Fitrah ini berfungsi sebagai pelindung utama apabila anak mula pandai berjalan dan meneroka persekitaran dengan sifat ingin tahu yang tinggi, terutamanya ketika mereka berada dalam fasa suka memasukkan apa sahaja objek ke dalam mulut. Ketakutan terhadap menu asing inilah yang menghalang mereka daripada sembarangan memakan tumbuhan atau bahan beracun di sekeliling mereka. [1]
Fasa takut terhadap makanan baharu ini biasanya akan memuncak ketika anak berusia antara dua hingga enam tahun. Ia juga merupakan sebahagian daripada proses normal untuk mereka mula membina identiti dan autonomi diri. [1]
Menghukum atau memarahi mereka kerana ketakutan biologi ini hanya akan membuatkan mereka semakin fobia dengan makanan. Oleh itu, pendekatan yang sabar serta pendedahan menu secara berulang dalam suasana yang tenang adalah kunci utama untuk membantu mereka mengatasi ketakutan ini.
Perut anak sebesar genggaman tangan mereka
Di sinilah kegagalan kita sebagai orang dewasa kerana sering menilai kapasiti anak mengikut ukuran kita. Secara fisiologinya, Allah telah menjadikan saiz perut seorang anak kecil hanya sebesar saiz genggaman tangan mereka sendiri. Apabila kita menyenduk nasi mengikut standard kita, lambakan makanan tersebut kelihatan seperti sebuah gunung yang mustahil untuk dihabiskan daripada aras mata mereka.
Anak-anak sebenarnya dilahirkan dengan fitrah yang sangat hebat untuk mengawal selera makan mereka sendiri (Appetite Self-Regulation) [1]. Otak mereka akan menerima isyarat kenyang dan lapar secara jujur berdasarkan kapasiti sebenar perut mereka [1]. Apabila mereka berhenti makan selepas beberapa suap, ia adalah isyarat biologi yang telus daripada badan bahawa dinding perut mereka sudah pun penuh.
Di sinilah prinsip amanah mendengar kita diuji. Malangnya, tindakan kita yang memaksa atau membebel akan mencipta tekanan pada psikologi dan emosi anak [1]. Tekanan ini akhirnya mengganggu dan melumpuhkan isyarat biologi kenyang-lapar yang sepatutnya berfungsi dengan baik. [1]
Kesannya untuk jangka masa panjang, anak-anak akan kehilangan keupayaan untuk mendengar isyarat badan sendiri, satu kerugian besar yang boleh membawa kepada masalah gangguan pemakanan apabila mereka dewasa kelak.
Kamus CELOTEH: Kenali “bahasa sebenar” anak di meja makan
Bagi ibu bapa dan pendidik, suara atau penolakan anak-anak di meja makan sebenarnya sarat dengan isyarat biologi dan luahan emosi. Kita jangan tersilap menilai tindak balas tersebut sebagai satu kedegilan atau sengaja membuat perangai. Mari kita fahami apa maksud tersirat di sebalik “bahasa” mereka:
- “Ew, gelilah sayur ni! Macam nak muntah!” → Fisiologi Deria: Tekstur makanan itu mungkin terlalu kasar, berlendir atau asing bagi rongga mulut mereka yang masih sensitif, sehingga mencetuskan reaksi muntah (gag reflex) secara automatik sebagai perlindungan fizikal.
- “Tak nak… takut! Ini lauk apa? Adik tak pernah tengok pun.” → Psikologi Food Neophobia: Otak mereka sedang menghantar isyarat cemas kerana melihat objek asing yang belum dikenal pasti sebagai selamat oleh fitrah pertahanan diri mereka.
- “Kenapa biskut ni patah? Adik tak nak, nak biskut bulat juga!” → Perkembangan Kognitif: Anak kecil memerlukan kestabilan corak dan bentuk objek untuk merasa selamat dengan apa yang masuk ke dalam tubuh mereka. Bagi mereka, bentuk yang berubah bermaksud “benda yang berbeza”.
- “Penatlah nak kunyah daging ni…” (Atau mengemam nasi lama-lama) → Keterbatasan Fizikal: Rahang mereka masih kecil dan otot mulut mereka betul-betul keletihan untuk menghancurkan makanan yang liat atau berserat kasar. Mengemam bukanlah tanda protes, tetapi tanda otot mereka perlukan rehat.
- “Perut adik dah penuh sampai leher!” (Atau mula bermain lenyek-lenyek biskut) → Isyarat Appetite Self-Regulation: Perut mereka yang sekecil genggaman tangan itu memang sudah benar-benar penuh. Aktiviti bermain menunjukkan fokus kognitif mereka telah bertukar secara semula jadi daripada fasa makan kepada fasa meneroka.
Solusi CELOTEH: Amalkan pembahagian tanggungjawab
Falsafah CELOTEH mencadangkan formula pembahagian tanggungjawab sebagai jalan penyelesaian terbaik demi keharmonian di meja makan [1]. Melalui kaedah ini, peranan kita dipecahkan secara adil mengikut kesesuaian psikologi dan fisiologi:
- Tanggungjawab ibu bapa dan pendidik: Menentukan APA jenis makanan berkhasiat yang disediakan, DI MANA ruang makan yang tenang dan BILA waktu makan yang konsisten.
- Hak anak-anak: Menentukan SAMA ADA mereka mahu makan atau tidak serta BERAPA BANYAK kuantiti yang mampu diterima oleh perut kecil mereka. [1]
Janganlah kita cepat mengalah atau menyangka anak menolak makanan selamanya jika mereka menggeleng pada kali pertama. Fitrah deria rasa dan mulut mereka memerlukan pendedahan secara berulang serta masa untuk menyesuaikan diri dengan tekstur baharu.
Melalui pembahagian peranan yang jelas ini, suasana meja makan tidak lagi bertukar menjadi medan perang. Ibu bapa bebas daripada stres memaksa, manakala anak-anak pula berasa emosi mereka dihormati.
Kesimpulan
Meja makan sepatutnya menjadi zon selamat yang penuh dengan kasih sayang, bukannya medan pertempuran untuk memuaskan ego orang dewasa. Jangan hukum anak-anak kita hanya kerana lidah mereka terlalu sensitif, ketakutan mereka pada menu asing, atau kerana perut mereka masih kecil.
Menghormati kapasiti tubuh mereka hari ini adalah asas utama untuk mereka membesar dengan emosi yang sihat, stabil dan bahagia. Semoga melalui Projek CELOTEH ini, kita dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja sihat fizikalnya, malah sejahtera juga jiwanya.
Namun, dalam kebingungan mak ayah berhadapan dengan “peperangan” deria anak di meja makan ini, rupa-rupanya ramai yang mula mengambil jalan pintas dengan menghidangkan gajet sebagai “ubat bius” visual supaya anak duduk diam.
Benarkah tindakan ini membantu, atau ia sebenarnya sedang merosakkan perkara lain yang lebih besar pada minda anak? Nantikan kupasannya dalam penulisan artikel keenam Siri CELOTEH.
Dr Nurzalinda Zalbahar
Pensyarah Kanan & Nutritionist
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM &
Ahli Jawatankuasa Advokasi Kanak-kanak, Wanita IKRAM Pusat
Dr Safiya Amaran
Pakar Perubatan Kesihatan Awam &
Ahli Jawatankuasa Advokasi Kanak-kanak
Wanita IKRAM Pusat
Nota: Artikel ini ialah artikel kelima Siri CELOTEH oleh Wanita IKRAM Malaysia.
Rujukan
[1] Taylor, C. M., & Emmett, P. M. (2019). Picky eating in children: causes and consequences. The Proceedings of the Nutrition Society, 78(2), 161–169.
[2] Mennella, J. A., Finkbeiner, S., & Reed, D. R. (2012). The proof is in the pudding: children prefer lower fat but higher sugar than do mothers. International Journal of Obesity, 36(10), 1285–1291.
[3] Drewnowski, A. (2000). Plenary lecture: Sensory control of energy density at different life stages. Proceedings of the Nutrition Society, 59(2), 239-244.
[4] Mennella, J. A., et al. (2011). Early salt consumption of children is related to preference for salty taste in childhood. The American Journal of Clinical Nutrition, 95(1), 158–166.
[5] National Health Service (NHS) UK. (2023). Salt: the facts – Vitamins and minerals guidelines for children’s kidney health.




