Keganasan Rumah Tangga: Apa Peranan Kita Menanganinya?

ganas rumah tangga

Keganasan rumah tangga (domestic violence) (kadangkala turut dipanggil dengan beberapa istilah lain termasuk intimate partner violence) berlaku secara berleluasa di peringkat global mahupun tempatan. 

Kajian menunjukkan lima negara Muslim yang banyak merekodkan keganasan rumah tangga termasuklah Bangladesh, Uganda, Somalia, Turkiye dan Tajikistan dengan prevalens kira-kira 36%. (Kamaruddin, Abdullah & Ramzy (2015)

Di Malaysia, keganasan rumah tangga telah menjadi isu yang berleluasa dan berakar umbi dalam masyarakat tanpa mengira budaya atau kaum. Ia boleh berlaku dalam masyarakat Melayu, Cina, India atau suku etnik lain sama ada beragama Islam mahupun bukan Islam. 

Sekitar 3,768 kes keganasan rumah tangga melibatkan mangsa berusia 36 hingga 45 tahun direkodkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Jun tahun 2025 berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM). (Sinar Harian, 2025)

Selangor merekodkan 687 kes, diikuti Perak melibatkan 653 kes, Johor (440), Kedah (379), Sabah (289), Sarawak (277), Kelantan (234), Pulau Pinang (157), Terengganu (146), Negeri Sembilan (141), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (120), Pahang dan Melaka masing-masing 103 kes serta Perlis (39) (Sinar Harian, 2025). Daripada jumlah tersebut, 73 peratus atau 2,751 kes merupakan mangsa wanita, manakala 27 peratus atau 1,017 kes melibatkan mangsa lelaki.

Walaupun statistik menunjukkan kebanyakan kes berlaku dalam kalangan wanita, namun ia tidak bermakna kaum Adam tidak perlu diberi perhatian apabila isu keganasan rumah tangga berlaku.

Stigma ini harus dibuang sama sekali dengan beranggapan hanya wanita sahaja berhak dilindungi sekiranya isu ini terjadi dan menganggap kaum lelaki kena kuat dan mampu berdikari sekiranya mereka menjadi mangsa. Maka dengan statistik di atas, isu keganasan rumah tangga yang kian meruncing, walaupun telah berada dalam pascapandemik, tidak boleh dipandang enteng. 

Saban hari kita mendengar ada sahaja kes perceraian berlaku di media massa walaupun usia perkahwinan tidak sampai pun lima tahun. Antara puncanya ialah seseorang mangsa (perempuan atau lelaki) tidak lagi betah untuk mempertahankan rumah tangga akibat sering kali menjadi mangsa pukul bantai, maki hamun atau menanggung hutang pasangan. 

Sebuah perkahwinan sepatutnya menjadi sebuah ikatan yang suci dan pasangan berasa selamat sebagaimana firman Allah SWT: 

ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡض وَبِمَآ أَنفَقُواْ مِنۡ أَمۡوَٰلِهِمۡۚ

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.” (Surah an-Nisa’: 34)

Suami yang sewajarnya menjadi pemimpin dalam sesebuah keluarga perlu menjadi contoh dan teladan yang baik terhadap pasangan dan anak-anak (Muhammad Abdul Hadi, 2021). Rasulullah SAW diriwayatkan pernah bersabda:

كُلُّكُمْ ‌رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالإِمَامُ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ فِي أَهْلِهِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

“Setiap daripada kalian adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang imam (ketua negara) adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya dan seorang lelaki dalam keluarga adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap pimpinannya (ahli keluarganya).” (HR Bukhari, 2409)

Jenis-jenis keganasan

Yang berikut adalah beberapa jenis keganasan yang boleh memberi kesan kepada wanita dan kanak-kanak secara tidak seimbang, menyebabkan kemudaratan fizikal, emosi dan psikologi yang ketara (Siti Noorkhairina, 2024):

1. Keganasan Fizikal: Sebarang sikap atau tindakan yang menyebabkan kesakitan, kecederaan atau ketidakupayaan pada tubuh seseorang atau kepada punca kematian. Contoh: menampar, memukul, menendang dan memukul.

2. Keganasan Seksual: Aktiviti seksual tanpa persetujuan mutlak. Contoh: gangguan seksual, memaksa seseorang melakukan hubungan seksual atau melakukan hubungan seksual dengan cara yang luar biasa atau tidak disukai.

3. Keganasan Emosi (Psikologi): Sebarang sikap atau tindakan yang mengakibatkan ketakutan, kehilangan keyakinan atau mengalami gangguan psikologi yang teruk. Contoh: menuduh, merendah-rendahkan, penghinaan berterusan, ancaman bahaya, ancaman untuk mengambil anak.

4. Mengawal Tingkah Laku: Termasuk mengasingkan seseorang daripada keluarga dan rakan, memantau pergerakan mereka dan menyekat akses kepada sumber kewangan, pekerjaan, pendidikan atau rawatan perubatan.

Punca keganasan rumah tangga masih berleluasa

Punca keganasan rumah tangga boleh diklasifikasikan kepada tiga (3) jenis (Siti Noorkhairina, 2024): 1. Faktor individu; 2. Faktor perhubungan dan 3. Faktor masyarakat seperti kupasan berikut:

1. Faktor individu

  • Perkahwinan pada usia muda: Sesetengah individu yang berkahwin pada usia muda mungkin tidak bersedia untuk menggalas tanggungjawab lalu bertindak luar kawalan terhadap pasangan apabila berlaku krisis. 
  • Pengaruh dadah dan alkohol: Pasangan yang kerap mabuk atau mengambil dadah berisiko untuk bertindak luar kawalan kerana hilang paras kesedaran. Risiko untuk mencederakan pasangan adalah tinggi hanya kerana isu kecil.
  • Sejarah hidup: Seseorang yang membesar dengan ibu bapa/penjaga yang melakukan keganasan rumah tangga cenderung untuk mengalami gangguan personaliti. Mereka berkemungkinan mencederakan pasangan masing-masing sekiranya emosi marah gagal dikawal ketika marah.

 

Namun begitu, peranan spiritual, terapi psikososial dan pendidikan agama mungkin dapat membantu seseorang pulih daripada sejarah silam keganasan rumah tangga untuk bertenang apabila diprovokasi.

2. Faktor perhubungan

  • Bertukar pasangan: Lelaki atau wanita yang saling bertukar pasangan cenderung  untuk berdepan dengan keganasan rumah tangga akibat sikap pasangan yang selalunya akan cemburu dan menjadi baran apabila pasangan mereka keluar dengan lelaki/wanita lain. (Jabatan Agama Islam Selangor, 2024)
  • Kedudukan kewangan yang tidak stabil: Pasangan yang berkahwin atau tinggal serumah (co-habitant) dan gagal mengurus kewangan dengan baik berisiko untuk berhutang. (Jabatan Agama Islam Selangor, 2024)

 

Ada yang sanggup mencuri duit pasangan, menggadai barang kemas dan paling teruk, berhutang dengan along. Penderaan emosi boleh berlaku ke atas mangsa kerana sentiasa hidup dalam ketakutan, ketidakpastian dan tiada jaminan kestabilan.

3. Faktor masyarakat

  • Struktur patriarki/matriarki: Norma masyarakat tradisional di Malaysia sering mengekalkan ketidaksamaan jantina, dengan wanita disosialisasikan untuk menerima peranan bawahan atau perlu patuh kepada suami.

 

Normalisasi penguasaan lelaki ini menyumbang kepada keganasan rumah tangga secara berterusan disebabkan persepsi suami menanggung keperluan rumah tangga dan pasangan atau anak-anak tiada hak untuk mempersoalkan tingkah laku negatif. 

Perkara yang sama turut boleh berlaku kepada lelaki yang berkahwin dengan wanita berpangkat besar dan bersifat autokratik (menguasai) sehingga maruahnya direndah-rendahkan oleh isteri.  

  • Salah tafsiran agama dan budaya: Salah tafsir teks agama dan gabungan budaya kadangkala boleh membenarkan atau mengekalkan keganasan rumah tangga. Sebagai contoh, kekeliruan dalam mentafsir ajaran Islam dikenal pasti sebagai faktor penyumbang. (Kamaruddin, Abdullah & Ramzy (2015)
  • Campur tangan ibu bapa/penjaga pemangsa:  Kadangkala campur tangan ibu bapa/penjaga pemangsa dalam membela perilaku yang tidak bermoral menyebabkan seseorang semakin berani dan bermaharajalela melakukan keganasan rumah tangga.

 

Akhirnya, mangsa berada dalam situasi tersepit dan tidak mampu bersuara kerana individu yang berpengaruh dalam hidup mereka tidak memainkan peranan yang sepadan untuk memberi rasa selamat.

Jelas sekali tindakan ganas terhadap wanita dan kanak-kanak bercanggah dengan kepentingan menjaga maruah dan nyawa yang menjadi tunjang syariat Islam dalam prinsip maqasid syariah. Lebih-lebih lagi, jika kejadian tersebut berlaku dalam sebuah ikatan perkahwinan yang sah dari segi syarak dan undang-undang.

Strategi untuk mengatasi keganasan rumah tangga

Terdapat pelbagai strategi yang boleh dilaksanakan sama ada di peringkat kerajaan, individu, rakan, keluarga atau ahli masyarakat dalam membanteras isu keganasan rumah tangga seperti berikut:

Peranan Kerajaan

  • Memperkukuh rangka kerja undang-undang dan memastikan pelaksanaan yang lebih baik dalam menangani isu keganasan rumah tangga melalui akta seperti Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (DVA), Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) dan Akta Antigangguan Seksual 2022. (Jabatan Agama Islam Selangor, 2024; Li, Zakaria & Zubir, 2024; Ummu Atiyah, 2022)
  • Menteri di kabinet seperti Teresa Kok dan Chew Mei Fun pernah mencadangkan supaya pendidikan keganasan rumah tangga diintegrasikan ke dalam kurikulum sekolah dan pelancaran kempen kesedaran awam boleh membantu mencegah keganasan serta menggalakkan intervensi awal. (Ummu Atiyah, 2022)
  • YB Napsiah Omar turut menegaskan bahawa kepentingan pemerkasaan ekonomi dan sosial wanita adalah penting untuk memecahkan kitaran penderaan (Ummu Atiyah, 2022). Program yang menyediakan latihan profesional, bantuan undang-undang dan sokongan psikologi adalah berkesan dalam memupuk kebebasan dan daya tahan. (Li, Zakaria & Zubir, 2024)
  • Tempat perlindungan dan campur tangan krisis memainkan peranan penting dalam menyediakan keselamatan dan sokongan segera. Walau bagaimanapun, pemulihan jangka panjang memerlukan sokongan kesihatan mental yang berterusan, pemerkasaan ekonomi dan pendidikan. (Li, Zakaria & Zubir, 2024)

 

Peranan individu/rakan/ keluarga

  • Mangsa sering bergantung pada rangkaian sosial tidak formal, seperti keluarga dan rakan, untuk sokongan emosi dan praktikal. Walau bagaimanapun, stigma dan tekanan masyarakat boleh mengehadkan keberkesanan rangkaian ini.

 

Peranan masyarakat

  • Pendekatan berorientasikan rangkaian yang melibatkan ahli komuniti dan sistem sokongan tidak formal boleh meningkatkan keberkesanan intervensi dan menyediakan jaringan keselamatan yang lebih kukuh kepada mangsa yang terselamat. (Li, Zakaria & Zubir, 2024)
  • Media dan kempen kesedaran awam adalah penting dalam membentuk sikap masyarakat dan mengurangkan stigma sekitar keganasan rumah tangga. Media boleh bertindak sebagai penentu agenda untuk menonjolkan keseriusan isu serta mempengaruhi penggubalan dasar serta polisi terutamanya isu keganasan rumah tangga dan isu-isu lain (keganasan terhadap kanak-kanak, remaja serta orang tua dan isu rogol/sodomi). (Li, Zakaria & Zubir, 2024)
  • Pasukan perubatan di Malaysia seperti jururawat, doktor perubatan, pakar psikologi dan psikiatri serta kaunselor bertauliah boleh memainkan peranan penting dalam merawat, melaporkan serta merujuk mangsa keganasan rumah tangga kepada pihak berkepentingan dalam komuniti dengan tujuan perlindungan dan pemulihan. (Campos, Carvalho dan Valentim, 2025; Currie, et. al., 2025; Loncar and Scott, 2023; Yosep, et. al., 2024)

 

Pemerkasaan pasukan kesihatan dalam bidang keganasan rumah tangga perlu dilaksanakan dengan lebih meluas supaya mereka mempunyai autoriti dalam membantu mangsa yang terlibat seperti situasi di luar negara melalui latihan dalam perkhidmatan. (Campos, Carvalho dan Valentim, 2025; Currie, et. al., 2025)

Perlu pendekatan holistik

Kesimpulannya, menangani keganasan rumah tangga di Malaysia memerlukan pendekatan holistik yang menggabungkan pembaharuan undang-undang, pendidikan masyarakat dan sistem sokongan berasaskan komuniti.

Dengan mencabar norma budaya yang tertanam lama dan demi memperkasakan mangsa, masyarakat boleh memainkan peranan penting dalam mengurangkan keganasan rumah tangga dan menyokong mangsa yang terselamat.

Prof. Madya Dr. Siti Noorkhairina Sowtali
Kulliyyah Kejururawatan (KON)
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Rujukan

Campos, C. M., Carvalho, M. I., & Valentim, O. M. (2025). Mental health nurses’ role in caring for women in situation of domestic violence: a scoping review. Archives of Psychiatric Nursing, 152006.

Currie, J., Nelson, C., Papas, L., Quinlan, T., Reddan, K., & Hollingdrake, O. (2025). A Mixed Methods Evaluation of a Nurse‐Led Domestic and Family Violence Service. Journal of Advanced Nursing, 81(12), 8885-8896.

Jabatan Agama Islam Selangor (Disember 27, 2024). Banteras Keganasan Terhadap Wanita. Khutbah Jumaat 27 Disember 2024M / 25 Jumadal Akhirah 1446H. 

Kamaruddin, Z., Abdullah, R., & Ramzy, I. (2015). Managing Domestic Violence: Islamic Religious Perspective. Journal of Dharma, 40(2), 189-210.

Li, H., Zakaria, N., & Zubir, A. (2024). Identification of Recovery Pathways for Children and Women Victims of Domestic Violence among Malaysian. Journal of Human Security, 20(1), 61-71.

Loncar, N., & Scott, K. L. (2023). “The Average Counsellor Wouldn’t Know”: Exploring How General Health Practitioners Understand and Respond to Domestic Violence. Canadian journal of nursing research, 55(2), 153-164.

Muhammad Abdul Hadi, I. (Ogos 5, 2021). Bayan Linnas Siri Ke-238 : Keganasan Rumah Tangga Dalam Tempoh PKP

Norizzati, S.AVA. & Hasmah, Z. (2020). The Portrayal of Interpersonal Violence in Malaysian Independent Online Media. International Journal of Psychosocial Rehabilitation, 24(02), 1689-1702.

Sinar Harian. (Ogos 20, 2025). 3,768 kes keganasan rumah tangga direkod setakat Jun 2025

Siti Noorkhairina, S. (December 10, 2024). Lecture Notes: Social Issues in NURA 4311 Issues, Challenges and Future Trends in Nursing.

Ummu Atiyah, A. Z. (2022). Substantive Representation in Women Issues. In Women in the House. Leadership in the Malaysian Parliament. IIUM Press. Gombak. Malaysia.

Yosep, I., Mardhiyah, A., Hazmi, H., Fitria, N., Lukman, M., Yamin, A., & Pahria, T. (2024). A scoping review of nursing interventions for reducing the negative impacts of domestic violence among women. BMC nursing, 23(1), 834.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia