Nafkah Isteri: Adakah Skincare Wajib Ditanggung?

nafkah isteri

“Abang, pencuci muka dah habis.”

“Belilah. Kan awak kerja.”

“Bukankah itu nafkah?”

“Nafkah makan, pakaian dan rumah sahaja. Skincare bukan nafkah.”

Dialog seperti ini mungkin kedengaran remeh. Namun di sebalik sebotol pencuci muka atau pelembap, timbul satu persoalan fiqh yang menarik: Sejauh manakah tanggungjawab nafkah seorang suami terhadap keperluan penjagaan diri isterinya?

Adakah semua yang dinamakan skincare perlu ditanggung suami atau sebahagiannya merupakan perbelanjaan kecantikan yang boleh diuruskan sendiri oleh isteri?

Nafkah bukan hanya duit poket

Apabila disebut nafkah, ada yang membayangkan sejumlah wang yang diserahkan kepada isteri setiap bulan. Sedangkan dalam fiqh, nafkah mempunyai pengertian yang lebih luas. Ia merangkumi penyediaan keperluan kehidupan yang menjadi tanggungjawab suami menurut syarak. Allah SWT berfirman:

وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.” (Al-Baqarah: 233)

Perkataan  بِالْمَعْرُوفِ  (bil-ma‘ruf) penting dalam memahami nafkah. Kehidupan manusia sentiasa berkembang dan bentuk keperluannya berbeza mengikut zaman, tempat dan keadaan. Oleh itu, konsep ma‘ruf memberikan ruang untuk menilai sesuatu keperluan berdasarkan kebiasaan masyarakat yang baik dan munasabah.

Para fuqaha turut membincangkan keperluan membersihkan tubuh, rambut, pakaian serta menghilangkan bau yang kurang menyenangkan sebagai sebahagian daripada perbahasan nafkah.

Perbincangan “skincare” oleh ulama

Kitab fiqh klasik tentunya menggunakan istilah dan barangan yang wujud pada zaman tersebut. Walaupun istilah cleanser, moisturiser, sunscreen atau serum belum digunakan, fuqaha telah membincangkan barangan yang mempunyai fungsi hampir sama.

Al-Khatib al-Syirbini ketika membincangkan nafkah isteri dalam Mughni al-Muhtaj menyatakan:

وَيَجِبُ لَهَا عَلَيْهِ آلَةُ تَنْظِيفٍ مِنَ الْأَوْسَاخِ الَّتِي تُؤْذِيهَا

Maksudnya secara umum: Suami wajib menyediakan bagi isterinya alat untuk membersihkan kotoran yang mengganggunya.

Beliau memberikan contoh seperti sikat, minyak yang digunakan untuk rambut dan badan, bahan untuk mencuci rambut serta bahan menghilangkan bau badan. Penentuan jenis dan kadarnya pula turut mengambil kira kebiasaan atau uruf masyarakat.

Perbahasan ini menunjukkan bahawa penjagaan kebersihan diri isteri mempunyai tempat dalam perbahasan nafkah. Maka keperluan asas seperti sabun, syampu dan barangan penjagaan diri boleh dilihat dalam kerangka tanggungjawab nafkah, sesuai dengan fungsi, keperluan dan uruf semasa.

Nafkah skincare wajib atau tidak?

Perkataan skincare hari ini merangkumi pelbagai jenis produk. Sebahagiannya berfungsi membersihkan dan menjaga keadaan asas kulit, manakala sebahagian yang lain bertujuan meningkatkan kecantikan atau memenuhi pilihan peribadi. Oleh itu, fungsi sesuatu produk menjadi ukuran yang lebih tepat berbanding namanya semata-mata.

Pencuci muka yang digunakan bagi kebersihan harian lebih hampir kepada konsep ālat at-tanzīf yang dibincangkan fuqaha. Produk asas tertentu yang diperlukan untuk penjagaan kulit juga boleh dinilai berdasarkan keadaan seseorang dan uruf semasa.

Bagi serum premium, krim pencerah, rawatan spa, produk anti-aging atau produk kecantikan tambahan, kedudukannya lebih hampir kepada perhiasan dan pilihan kecantikan. Fuqaha Syafi‘iyyah sendiri membezakan antara keperluan membersihkan diri dengan bahan yang digunakan khusus untuk perhiasan dan kecantikan.

Mudahnya, produk penjagaan diri boleh dinilai melalui beberapa persoalan: Apakah fungsinya? Sejauh mana ia diperlukan? Apakah kebiasaan masyarakat setempat? Dan apakah kemampuan suami?

“Tapi, abang nak saya sentiasa cantik.”

Bagaimana pula jika suami sendiri menggalakkan isterinya berhias, menjaga penampilan atau menggunakan sesuatu produk agar kelihatan menarik baginya? 

Situasi ini membawa perbincangan kepada ruang yang lebih luas daripada soal kewajipan semata-mata. Hubungan suami isteri dibina melalui kerjasama, komunikasi dan saling menggembirakan. Apabila sesuatu penampilan menjadi kesukaan bersama, perbelanjaannya juga boleh dibincangkan dengan semangat perkongsian dan ihsan.

Perkahwinan akan terasa lebih indah apabila persoalan “siapa kena bayar?” berkembang menjadi “apa yang kita perlukan dan bagaimana kita menguruskannya bersama?”

Kalau isteri bekerja?

Pendapatan isteri merupakan hak miliknya. Pada masa yang sama, kewajipan nafkah suami kekal berdasarkan ketetapan syarak. Apabila isteri dengan reda menggunakan pendapatannya untuk membantu keluarga, sumbangan itu menjadi sebahagian daripada kebaikan dan kerjasama dalam rumah tangga.

Begitu juga halnya dalam urusan kecantikan. Isteri yang memilih produk premium atau rawatan tambahan boleh menyesuaikan pilihannya dengan kemampuan keluarga dan keutamaan perbelanjaan. Allah SWT berfirman:

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ

Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya.” (At-Talaq: 7)

Ayat ini meletakkan kemampuan sebagai salah satu ukuran penting. Kemampuan setiap keluarga berbeza. Begitu juga keperluan setiap isteri. Syariat memberikan ruang supaya nafkah dilaksanakan secara adil dan munasabah mengikut keadaan.

RM30 atau RM300?

Di sinilah konsep ma‘ruf menjadi sangat praktikal. Jika keperluan penjagaan diri boleh dipenuhi dengan produk yang sesuai dan munasabah, itulah ruang perbincangan yang baik antara suami dan isteri. Bagi keluarga yang mempunyai kemampuan lebih besar, pilihannya mungkin lebih luas. Ukuran nafkah akhirnya melihat keperluan, fungsi, uruf dan kemampuan.

Perbahasan fuqaha tentang nafkah kekal relevan walaupun barangan yang digunakan manusia berubah. Mereka mungkin belum mengenali botol cleanser, toner dan moisturiser seperti hari ini, tetapi prinsip yang dibina membantu kita menilai keperluan moden dengan adil.

Daripada hukum kepada ihsan

Rumah tangga dibina dengan memahami hak dan tanggungjawab, kemudian disempurnakan dengan kasih sayang dan ihsan. Fiqh memberikan garis panduan supaya hak setiap pihak terpelihara, manakala akhlak mengajar pasangan untuk saling memberi, memahami dan menggembirakan. Allah SWT berfirman:

وَمِنْ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًا لِّتَسْكُنُوٓا۟ إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً

Maksudnya: “Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untuk kamu pasangan daripada jenis kamu sendiri supaya kamu berasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan antara kamu kasih sayang dan rahmat.” (Ar-Rum: 21)

Inilah keluarga yang ingin dibina oleh Islam. Keluarga yang memahami hak, melaksanakan tanggungjawab dan hidup dengan mawaddah serta rahmah. Suami berusaha menyediakan nafkah mengikut kemampuan, manakala isteri memahami keadaan suami dan mengurus keperluan dengan penuh hikmah.

Pembinaan masyarakat yang baik juga bermula dari rumah. Keluarga yang dipandu syariat, saling menghormati dan menjaga kebajikan ahlinya akan melahirkan insan yang membawa nilai rahmah itu ke tengah masyarakat.

Sebab itu urusan sekecil nafkah sekalipun bukan sekadar soal wang. Ia sebahagian daripada amanah membina keluarga yang kukuh dan seterusnya menyumbang kepada masyarakat yang sejahtera.

Ustazah Hasliza Talib
Pensyarah
Jabatan Kefahaman Islam dan Bahasa Arab
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia