Keganasan Rumah Tangga: Terlindungkah Keluarga?

Keganasan Rumah Tangga: Terlindungkah Keluarga? | IKRAM

Sesebuah rumah tangga yang bahagia sudah tentu di dalamnya terdapat nilai-nilai keharmonian seperti saling menghormati, bertolak ansur dan saling memahami.

Tanpa nilai-nilai harmoni ini, mana mungkin sesebuah rumah tangga dapat diterjemahkan sebagaimana yang telah disebutkan dalam al-Quran seperti sakinah (ketenangan), mawaddah (kebahagiaan) dan rahmah (kasih sayang).

Tiga elemen ini merupakan pokok asas dalam membina sesebuah rumah tangga yang berjaya. Firman Allah SWT dalam Surah ar-Rum ayat 21 yang bermaksud:

“Dan di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu perasaan kasih sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.”

Malangnya, apabila institusi kekeluargaan yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan, bertukar keadaan menjadi tempat keganasan rumah tangga seolah-olah berada dalam neraka jahanam.

Menurut Portal MyHealth, keganasan rumah tangga boleh dimaksudkan sebagai perlakuan keganasan terhadap pasangan atau bekas pasangan. Ia terdiri daripada fizikal dan gangguan seksual, keganasan pertuturan (maki hamun dan cacian), ugutan, gangguan/pengabaian emosi dan kewangan.

Berdasarkan definisi berikut, keganasan rumah tangga tidak tertakluk kepada fizikal semata-mata. Ia boleh berlaku juga dalam bentuk pertuturan maki hamun, psikologi dan emosi perasaan.

Untuk rekod, sebanyak 7,468 kes keganasan rumah tangga dilaporkan pada tahun 2021. Berbanding pada tahun sebelumnya tahun 2020, sebanyak 5,260 kes dilaporkan. Ini bermakna, peningkatan sebanyak 2,208 kes dilaporkan.

Meskipun begitu, statistik ini juga tertakluk kepada laporan yang diterima. Bagaimana pula yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa? Oleh itu, kita sudah tentu tidak boleh memandang sekadar angka semata-mata kerana realitinya mungkin ramai lagi yang terkesan dengan kes ini, namun takut untuk tampil membuat laporan.

Bagi membendung gejala keganasan ini, sudah pasti ia berbalik kepada diri sendiri, baik sebagai seorang suami mahupun seorang isteri, memahami dan menghayati semula tanggungjawab membina rumah tangga yang harmoni. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisaa’ ayat 34 yang bermaksud:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”

Begitu juga dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang imam (ketua negara) adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya dan seorang lelaki dalam keluarga adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap pimpinannya (ahli keluarganya).”

Berdasarkan dua dalil ini, ia sudah cukup untuk kita menyatakan bahawa peranan seorang suami sebagai ketua keluarga sangat besar amanah dan tanggungjawab bagi melindungi anak dan isterinya daripada sebarang kecelakaan.

Malah, sebagai seorang suami juga, ia bertanggungjawab memberikan nafkah zahir dan batin termasuklah dalam soal membahagiakan anak isterinya selari dengan syariat. 

Demikian juga seorang suami yang baik adalah mereka yang paling baik terhadap isterinya. Hal ini sepertimana dalam sebuah hadis riwayat Ibnu Majah, daripada Ibnu Abbas RA, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Sebaik-baik daripada kalangan kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya. Dan aku adalah yang terbaik terhadap isterinya.”

Imam Muhammad Nuruddin al-Sindi dalam kitab Hasyiah al-Sindi, beliau menyatakan bahawa hadis ini membawa maksud pergaulan yang mesra antara ahli keluarga merupakan salah satu daripada perkara yang dituntut dalam agama.

Maka, sesiapa yang bersikap mesra dengan ahli keluarganya tergolong dalam kalangan yang terpilih berdasarkan sifat ini. Barangkali orang yang bersifat sedemikian (dikira) bersamaan dengan perkara-perkara baik yang lain sehingga dia dikatakan seorang yang baik secara mutlak.

Demikian juga menurut Imam asy-Syaukani dalam kitabnya Nail al-Awthar, beliau menyatakan Rasulullah SAW memberi nafkah dan keperluan secukupnya kepada ahli keluarganya mengikut kemampuan baginda Nabi.

Rasulullah SAW menyediakan untuk isteri-isteri baginda tempat tinggal, makanan, pakaian dan semua keperluan dengan mencukupi dengan tidak berlebihan. Ini bersesuaian dengan kehidupan Rasulullah SAW yang memilih zuhud dan tidak bermewah-mewah.

Dengan apa tujuan sekalipun, Islam sangat melarang kita untuk melakukan kekerasan dan keganasan termasuklah dalam soal mendidik anak isteri.

Islam sangat melarang kita sebagai suami mendidik dengan cara kekasaran dan boleh mendatangkan kecederaan fizikal dan emosi. Ini sepertimana dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila seseorang kamu berperang, jauhilah daripada (mencederakan) muka.”

Imam al-Nawawi dalam kitab Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn Hajjaj menyatakan bahawa:

“Hadis ini menyebutkan secara jelas mengenai larangan memukul muka. Ini kerana ia sesuatu yang lembut yang menghimpunkan segala keelokan. Anggota-anggota pada muka itu sangat berharga dan lembut juga sering terdedah.”

“Memukul muka boleh merosakkannya atau boleh mengurangkannya atau boleh mencacatkannya atau boleh menghodohkannya. Kecacatan pada wajah itu buruk kerana ia jelas zahir yang tidak mungkin untuk ditutupi.”

Demikian tegasnya Islam melarang umatnya untuk berkelakuan kasar sesama manusia lebih-lebih lagi dalam soal memukul pada bahagian muka yang padanya terhimpun kecantikan dan keelokan.

Adapun dalam soal mendidik isteri yang derhaka kepada suami, Islam telah pun memberikan garis panduan sebagai jalan keluar kepada kemelut rumah tangga ini. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah an-Nisaa’ ayat 34 yang bermaksud:

“Hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).”

Ini merupakan garis panduan oleh Islam bagi tujuan mendidik isteri yang derhaka. Ia tersusun dengan tertib dan peringkatnya. Dimulakan dengan usaha menasihati dengan hikmah, jika masih berdegil, maka kita dianjurkan untuk berpisah tempat tidur.

Sekiranya masih berdegil juga, maka Islam menyuruh kita untuk memukul dengan pukulan yang tidak mendatangkan kecederaan. Pukulan tersebut juga adalah bertujuan untuk mendidik dan bukannya untuk melepaskan baran diri kita.

Sesungguhnya sesebuah rumah tangga itu dibina bagi mencapai maksud ketenangan, kebahagiaan dan kasih sayang. Kerukunan rumah tangga haruslah dipelihara oleh suami dan isteri.

Seorang suami yang juga merupakan seorang ketua keluarga seharusnya lebih matang dan bijaksana mengemudi rumah tangga dengan penerapan nilai-nilai harmoni bertepatan dengan kehendak dan tuntutan syarak.

Jangan sesekali membiarkan diri kita dikuasai oleh nafsu amarah dan emosi yang tidak bertepian, kelak akan mengakibatkan kemusnahan sesebuah rumah tangga tersebut. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.

Muhammad Faidhi Azis
Ketua Rakan Hidayah Perlis

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia