Pajak Gadai ar-Rahn: Cara Bijak Urus Krisis Kewangan

Pajak gadai

Memasuki tahun 2026, landskap ekonomi global dan domestik kian mencabar dengan ketidaktentuan kos sara hidup serta risiko kesihatan yang dinamik. 

Di sebalik kerancakan pembangunan, satu persoalan besar timbul: Sejauh manakah masyarakat kita benar-benar bersedia menghadapi badai musibah yang tidak terduga? 

Namun, apa yang lebih membimbangkan pada tahun ini ialah gendang peperangan yang kembali bertalu di beberapa pelosok dunia, mencetuskan ketidaktentuan nilai mata wang fiat dan lonjakan harga komoditi.

Dalam situasi ketidaktentuan geopolitik yang menjejaskan rantaian ekonomi, sejarah sentiasa berulang, masyarakat akan segera berpaling kepada emas. Emas bukan sekadar perhiasan, tetapi merupakan Safe Haven (Tempat Perlindungan Selamat) yang paling ampuh. Di Malaysia, trend membeli dan menjual emas kini dipacu oleh faktor geopolitik tersebut.

Persoalannya, adakah masyarakat Islam di Malaysia mengetahui bahawa sistem pajakan Islam (ar-Rahn) merupakan platform yang patuh syariah dan telah pun wujud bagi memberikan solusi kepada kepada keributan kewangan dan alternatif kepada sistem pajakan konvensional?

Ar-Rahn dalam perspektif Islam dan pandangan ulama

Secara literal, ar-Rahn bermaksud menahan sesuatu harta sebagai jaminan kepada hutang. Dalam perspektif Islam, ia adalah kontrak sosial yang bertujuan memberikan kemudahan pinjaman kepada mereka yang memerlukan tanpa unsur eksploitasi.

Berbeza dengan pajak gadai konvensional yang berpaksikan riba, ar-Rahn di Malaysia beroperasi atas dua kontrak utama yang telah disahkan oleh para ulama:

  1. Qard (Pinjaman Tanpa Faedah): Institusi memberikan pinjaman wang kepada pelanggan mengikut nilai marhun (emas) tanpa mengenakan sebarang bunga atau faedah.
  2. Ujrah (Upah Simpan): Caj yang dikenakan hanyalah bagi kos pengurusan, keselamatan dan perlindungan takaful ke atas emas yang disimpan.

Ia selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Jika kamu dalam perjalanan (dan berurus niaga secara hutang) sedangkan kamu tidak mempunyai seorang penulis, maka hendaklah kamu adakan suatu barang jaminan yang dipegang (oleh yang berpiutang). Akan tetapi jika sebahagian kamu mempercayai sebahagian yang lain, maka hendaklah yang dipercayai itu menunaikan amanatnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya; dan janganlah kamu (para saksi) menyembunyikan persaksian. Dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya; dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Baqarah: 283)

Praktis pengoperasi ar-Rahn didasari pandangan pihak berautoriti seperti Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang telah memberikan garis panduan yang ketat bagi memastikan instrumen ini bebas daripada unsur riba, gharar (ketidakpastian), dan zulm (kezaliman).

Ulama di Malaysia menegaskan bahawa kadar upah simpan tidak boleh dikaitkan dengan jumlah pinjaman secara langsung yang boleh membawa kepada riba jahiliah. Sebaliknya, ia mestilah berdasarkan nilai pasaran emas yang dicagarkan.

Pandangan ini penting bagi memastikan kontrak ar-Rahn kekal sebagai mekanisme bantuan (ta’awun) dan bukannya alat komersial yang menindas pelanggan yang dalam kesempitan.

Ar-Rahn sebagai pemacu ekonomi mikro 

Pakar kewangan Islam di Malaysia melihat ar-Rahn bukan sekadar tempat “memajak barang kemas”, tetapi juga sebagai instrumen pengurusan kecairan (liquidity management) yang kritikal bagi usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurut data pemantauan institusi kewangan bagi tahun 2025/2026, terdapat lonjakan dalam penggunaan ar-Rahn sebagai modal pusingan perniagaan. Pakar berpendapat bahawa ar-Rahn menyediakan akses kewangan yang lebih pantas berbanding pinjaman bank tradisional yang memerlukan dokumentasi rumit.

Dalam suasana peperangan global yang menyebabkan rantaian bekalan terganggu, keupayaan untuk mendapatkan tunai segera melalui emas adalah kunci kepada kelangsungan perniagaan kecil di Malaysia.

Selain itu, pakar menekankan peranan ar-Rahn dalam Inklusi Kewangan. Ia membolehkan golongan B40 dan M40 memiliki “talian hayat” tanpa perlu terjebak dengan pinjaman tidak berlesen (along) yang merosakkan institusi kekeluargaan.

Isyarat wahyu dan falsafah AISAR dalam ar-Rahn

Islam tidak pernah mengajar umatnya berserah secara melulu tanpa usaha yang sistematik. Pengurusan risiko melalui emas dan ar-Rahn sebenarnya mempunyai asas yang kuat dalam sirah. Nabi Yusuf a.s. melalui Surah Yusuf (ayat 47-48) membuktikan kepentingan merancang pada waktu senang untuk kegunaan waktu sukar.

Kerangka AISAR IKRAM turut menitikberatkan perihal perlindungan diri dan perlindungan harta melalui perbahasan maqasid syariah yang menjadi neraca rujukan kepada setiap individu Muslim. 

Emas, peperangan dan realiti statistik 2026

Sejarah membuktikan setiap kali konflik besar meletus, harga emas akan melambung tinggi. Pada tahun 2026, kita melihat trend masyarakat Malaysia lebih cenderung untuk “membeli” emas sebagai perlindungan aset. Data semasa menunjukkan penembusan produk emas digital dan fizikal meningkat ketara.

Namun, cabaran sebenar timbul apabila masyarakat perlu menjual emas tersebut ketika memerlukan tunai. Di sinilah ar-Rahn bertindak sebagai “penyelamat.” Daripada menjual emas pada waktu harga tidak menentu, ar-Rahn membolehkan pemilik mengekalkan aset mereka sementara mendapatkan tunai.

Statistik menunjukkan sekitar 85% emas yang dipajak di institusi ar-Rahn berjaya ditebus semula, membuktikan ia adalah mekanisme yang efektif untuk membantu rakyat menguruskan krisis kewangan jangka pendek tanpa kehilangan aset simpanan mereka.

Kekurangan pengetahuan sering menjadi faktor utama mengapa masyarakat masih sangsi dengan instrumen kewangan Islam. Di sinilah peranan institusi agama dan akademik menjadi ejen perubahan. Teks khutbah Jumaat perlu lebih konsisten dalam menyentuh isu muamalat dan ar-Rahn bagi menyantuni masyarakat secara rohani dan intelek.

Universiti utama seperti UIAM, USIM dan UiTM juga telah mula mengintegrasikan modul kewangan Islam secara komprehensif untuk melahirkan generasi yang celik ar-Rahn. Langkah ini penting bagi memastikan ilmu ini diterjemahkan kepada tindakan sebaik sahaja mahasiswa melangkah ke alam kerjaya.

Manifestasi keadilan ekonomi Islam

Ar-Rahn bukan sekadar tempat menggadai, ia adalah manifestasi keadilan ekonomi Islam. Di tengah-tengah ancaman peperangan dan ketidaktentuan ekonomi dunia, ar-Rahn menyediakan jalan keluar yang bermaruah bagi umat Islam.

Perancangan perlindungan diri dan harta bukan bermaksud menolak takdir, tetapi ia adalah usaha untuk tidak meninggalkan keturunan yang lemah.

Sudah tiba masanya kita mengubah persepsi. Perlindungan melalui ar-Rahn bukan bebanan, tetapi pelaburan untuk dunia dan akhirat.

Sesungguhnya kesedaran untuk menguruskan harta dengan cara yang patuh syariah adalah cerminan keindahan Islam sebagai Rahmatan lil ‘Alamin, agama yang membawa rahmat, perlindungan dan kesejahteraan kepada seluruh umat manusia dalam apa jua situasi dunia.

Dr Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman (SRFP)
Koordinator MBA, MIBF & Program Eksekutif
Arshad Ayub Graduate Business School, UiTM Shah Alam

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia