Ketika masyarakat sedang dahagakan naratif Islam yang menenangkan, mendidik dan menyatukan ummah, amat mendukacitakan apabila muncul ucapan yang didakwa menghina para sahabat Rasulullah SAW, khususnya Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. dan Saidina Umar al-Khattab r.a., daripada seorang tokoh yang memegang jawatan tinggi agama dalam parti politik.
Jika benar ucapan tersebut seperti yang tersebar luas, maka ia bukan semata-mata isu politik kepartian, tetapi isu adab terhadap generasi terbaik umat Islam.
Dalam tradisi Ahli Sunah Waljamaah, para sahabat Nabi SAW bukan manusia biasa. Mereka ialah generasi yang dipilih Allah untuk mendampingi Rasulullah SAW, menyebarkan Islam, mempertahankan dakwah, bahkan mengorbankan nyawa dan harta demi agama.
Menyentuh maruah mereka dengan kata-kata hina bukan perkara kecil. Ia membuka ruang fitnah terhadap sejarah Islam dan merosakkan kefahaman masyarakat awam, khususnya generasi muda yang sedang belajar mengenal agama.
Saidina Abu Bakar r.a.dikenali sebagai seorang sahabat yang sangat lembut hati, pemurah dan dermawan. Beliaulah yang membebaskan Bilal bin Rabah r.a. daripada perhambaan dengan hartanya sendiri.
Beliaulah yang menemani Rasulullah SAW ketika hijrah dalam detik paling genting. Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda bahawa jika Baginda mengambil seorang sahabat karib selain Allah, maka Abu Bakarlah orangnya.
Bagaimana mungkin seorang manusia yang dipuji setinggi itu oleh Rasulullah SAW digambarkan sebagai “pemeras orang miskin?” Naratif seperti ini bukan sahaja tidak beradab, malah mencederakan penghormatan umat terhadap sejarah Islam.
Begitu juga halnya dengan Saidina Umar r.a. Sebelum Islam, beliau memang hidup dalam masyarakat jahiliah seperti masyarakat Arab Quraisy lain. Namun Islam datang mengubah manusia. Itulah mukjizat tarbiah Rasulullah SAW.
Umar yang keras menjadi pemimpin agung yang adil sehingga digeruni dunia Rom dan Parsi. Beliau tidur di bawah pokok tanpa pengawal kerana rakyat percaya kepada keadilannya.
Menyebut beliau dengan ungkapan yang mengaitkan zina dan merampas wanita sesuka hati tanpa disiplin ilmu yang benar adalah sesuatu yang amat berat untuk dipertanggungjawabkan di sisi agama.
Konsep displin ilmu
Inilah pentingnya masyarakat memahami konsep tabayyun dan disiplin ilmu dalam berbicara tentang agama. Dalam pendekatan Asas Islam Rahmah (AISAR), antara asas penting ialah membina masyarakat yang bercakap dengan ilmu, berakhlak dalam berbeza pandangan dan menjadikan rahmah sebagai asas dakwah.
Islam tidak mendidik umatnya membina populariti melalui penghinaan. Islam juga tidak mengajar bahawa semangat politik menghalalkan ucapan yang mencarik maruah agama.
Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila ucapan seperti ini datang daripada seseorang yang pernah memegang gelaran “Ketua Ulama”. Gelaran itu membawa amanah besar. Masyarakat akan melihat bahawa ucapan seseorang tokoh agama mencerminkan kefahaman kelompok yang diwakilinya.
Sebab itu, mana-mana gerakan Islam perlu sangat berhati-hati. Jangan sampai rakyat mula bertanya, “Jika beginilah bahasa pemimpin agamanya, bagaimana pula kefahaman pengikutnya?” Persoalan ini sangat bahaya kepada imej dakwah Islam secara keseluruhan.
Jangan tambahkan kebencian sesama umat Islam
Lebih mendukacitakan, ucapan menghina Saidina Abu Bakar r.a. dan Saidina Umar r.a. sering dikaitkan dalam sejarah dengan kelompok ekstrem Syiah yang menolak dan mencela sebahagian besar sahabat Nabi SAW.
Walaupun tidak wajar terus menghukum individu atau parti tertentu sebagai Syiah tanpa bukti yang sahih, masyarakat tentu akan melihat persamaan naratif apabila penghinaan terhadap dua khalifah agung ini mula dinormalisasikan dalam ceramah umum.
Persepsi masyarakat Melayu Islam terhadap perkara ini sangat sensitif kerana kecintaan kepada para sahabat adalah sebahagian daripada akidah Ahli Sunah Waljamaah.
Namun dalam masa yang sama, masyarakat juga perlu matang. Jangan sampai isu ini dijadikan alasan untuk menambah kebencian sesama umat Islam. Teguran mesti dibuat dengan ilmu, hikmah dan ketegasan yang berakhlak.
Jika benar berlaku kesilapan, maka jalan terbaik ialah memperbetul fakta, memohon maaf secara terbuka dan kembali kepada disiplin ilmu Islam yang sebenar. Budaya mempertahankan kesalahan hanya kerana kepentingan parti akan merosakkan jiwa masyarakat.
Ilmu, rahmah dan hikmah
AISAR sentiasa menekankan bahawa umat Islam perlu dibina dengan budaya ilmu, rahmah dan hikmah. Dalam dunia media sosial hari ini, satu ucapan boleh menjadi racun kepada jutaan manusia. Sebab itu, tokoh agama perlu menjadi contoh dalam tutur kata.
Ceramah agama bukan pentas menghina tokoh Islam atau membina persepsi murahan demi tepukan penyokong. Ceramah agama sepatutnya menjadi medan mendidik jiwa manusia agar lebih dekat dengan Allah, lebih mencintai Rasulullah SAW dan lebih menghormati generasi sahabat Baginda.
Kita juga perlu sedar bahawa musuh Islam sentiasa mencari ruang untuk melihat umat Islam berpecah. Apabila pemimpin Islam sendiri dilihat saling menghina dan merendahkan simbol-simbol besar agama, masyarakat awam akan semakin keliru.
Anak muda akan mula hilang hormat kepada agamawan. Lebih bahaya, mereka mungkin melihat agama hanya sebagai alat politik dan medan maki hamun.
Adab dalam beragama
Justeru, sudah sampai masanya semua pihak kembali kepada adab Islam. Berbeza pandangan politik itu biasa, tetapi maruah sahabat Nabi SAW bukan bahan jenaka, bukan modal ceramah dan bukan alat propaganda.
Saidina Abu Bakar r.a. dan Saidina Umar r.a. ialah manusia yang telah dijamin kemuliaannya dalam sejarah Islam. Kita mungkin tidak mampu menjadi sehebat mereka, tetapi sekurang-kurangnya janganlah menjadi manusia yang merendahkan kedudukan tinggi mereka.
Masyarakat Malaysia memerlukan naratif Islam yang mendamaikan, bukan yang membakar emosi. Kita perlukan pendekatan dakwah yang mengangkat ilmu, adab dan rahmah sebagaimana dibawa Rasulullah SAW.
Inilah semangat AISAR, iaitu membina kefahaman Islam yang benar, sederhana dan menyatukan manusia dengan kasih sayang. Jika masyarakat terus dididik dengan budaya menghina, memperlekeh dan mencaci tokoh agama, maka yang akan rosak bukan sahaja politik, tetapi jiwa umat itu sendiri.
Akhirnya, mempertahankan para sahabat Nabi SAW bukan soal fanatik individu. Ia tentang menjaga kehormatan sejarah Islam dan adab terhadap generasi yang telah membawa cahaya Islam kepada seluruh dunia.
Semoga masyarakat Malaysia menjadi umat yang lebih matang, berilmu dan berakhlak dalam menilai sesuatu isu, agar negara ini terus bergerak menuju masyarakat rahmah, Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur.
Atriza Umar
Pagawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia




