KUALA LUMPUR – Malaysia memasuki era kerajaan perpaduan yang menyaksikan persaingan serta kerjasama antara pelbagai parti politik dalam satu kerangka politik baharu, menurut kenyataan bersama dalam satu sidang media pada Sabtu, 9 Mei lalu.
“Semua perkembangan ini menunjukkan bahawa Malaysia masih berada dalam fasa peralihan demokrasi yang belum matang.”
“Walaupun berlaku perubahan dalam susunan politik, pembaharuan terhadap struktur pentadbiran dan budaya politik negara masih belum dilaksanakan secara menyeluruh,” tambah kenyataan itu lagi.
Sidang media bersama itu diadakan sempena ulang tahun ke-8 peristiwa “509” yang menandakan kali pertama berlakunya pertukaran kerajaan Persekutuan dalam sejarah negara, anjuran Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).
Ia bertujuan bagi menilai keadaan politik semasa negara, di samping mengumumkan langkah penting seterusnya, yang turut mendapat sokongan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), BERSIH dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), serta Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR), yang turut hadir dalam sidang media tersebut.
Kenyataan bersama itu juga menzahirkan kebimbangan bahawa pelbagai reformasi institusi yang sekian lama dituntut rakyat masih belum dilaksanakan secara menyeluruh dan meyakinkan.
“Antaranya termasuk pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, pemerkasaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, penggubalan undang-undang pembiayaan politik, pengukuhan kebebasan institusi awam, serta mekanisme semak dan imbang terhadap kuasa eksekutif.”
“Pada masa yang sama, isu kaum dan agama masih terus dieksploitasi sebagai modal politik manakala budaya naungan politik serta kronisme masih terus menebal dalam budaya politik negara,” tegas mereka.
Menurut mereka, keadaan tersebut akhirnya menyebabkan semakin ramai rakyat mula hilang keyakinan terhadap usaha reformasi negara.
“Apa yang lebih membimbangkan ketika ini bukan lagi sekadar persaingan politik antara parti, tetapi sikap semakin apati (tidak peduli) terhadap politik dan proses demokrasi dalam kalangan masyarakat.”
“Semakin ramai rakyat mula hilang minat terhadap urusan awam, hilang kepercayaan terhadap politik, dan semakin tawar hati terhadap proses reformasi,” ujar mereka.
Tambah mereka lagi, sebahagian perbahasan awam pula semakin menjauh daripada wacana rasional, sebaliknya semakin dipengaruhi sentimen populis, polemik emosi dan penyebaran maklumat yang tidak tersusun.
Bahkan, isu-isu institusi yang sepatutnya dibahaskan secara matang sering dipermudah menjadi polemik politik murahan, manakala ruang awam pula semakin dipengaruhi budaya media sosial yang lebih mengutamakan sensasi dan reaksi segera.
Dalam kenyataan bersama itu, mereka bimbang sekiranya keadaan ini terus berlarutan, ia akan memberi kesan yang lebih mendalam terhadap perkembangan demokrasi negara.
“Krisis terbesar dalam demokrasi bukanlah kewujudan perbezaan pandangan, tetapi apabila rakyat mula berputus asa untuk mengambil bahagian dalam urusan negara.”
“Apabila rakyat semakin menjauhkan diri daripada politik akibat rasa kecewa dan hilang harapan, keadaan sebegini akhirnya hanya menguntungkan ahli politik oportunis yang bergantung pada sentimen perkauman, retorik populis serta keadaan rakyat yang semakin menjauh daripada politik demi mengekalkan pengaruh mereka.”
Mereka juga mengingatkan, pembinaan demokrasi tidak berakhir hanya dengan satu pilihan raya, dan peristiwa “509” lapan tahun lalu hanyalah titik permulaan yang membuka ruang kepada reformasi, bukannya jaminan bahawa reformasi itu akan berlaku secara automatik.
Mereka menegaskan bahawa masa depan Malaysia tetap bergantung kepada sejauh mana masyarakat sivil terus berperanan untuk mengambil bahagian, menjalankan pemantauan serta mendesak reformasi institusi secara berterusan.
Presiden IKRAM yang turut hadir, Hj Badlishah Sham Baharin berkata, proses membina negara memerlukan kesabaran, kerjasama dan komitmen jangka panjang daripada seluruh rakyat, serta pembinaan negara yang harmoni dan demokratik mesti berasaskan nilai, etika dan budaya dialog yang matang.

“Dalam suasana politik semasa, masyarakat sivil juga perlu kembali membina ruang wacana awam yang lebih sihat dan matang. Hari ini, perbincangan awam terlalu dipengaruhi oleh emosi dan maklumat bersifat ringkas, sedangkan perbahasan mengenai pembinaan institusi dan hala tuju negara semakin terpinggir.”
Tambah kenyataan itu, tanpa budaya perbincangan awam yang rasional dan mendalam, demokrasi akhirnya hanya akan terhenti pada mobilisasi emosi tanpa benar-benar membina budaya demokrasi yang matang dan sihat.
Semua NGO yang hadir dalam sidang media itu menyatakan komitmen untuk menganjurkan sebuah forum awam pada pertengahan Julai ini, menghimpunkan para akademik, penganalisis politik, wakil pertubuhan masyarakat sivil serta orang ramai, yang akan diumumkan perinciannya dalam masa terdekat.
Forum itu dibuat bagi membincangkan cabaran demokrasi, masalah institusi dan hala tuju reformasi negara pada masa hadapan. Ia bertujuan untuk mengembalikan fokus perbincangan masyarakat kepada isu reformasi institusi dan pembinaan negara.
Akhirnya, pertubuhan-pertubuhan yang bersama dalam sidang media itu menyeru rakyat Malaysia supaya terus keluar mengundi secara aktif dalam pilihan raya negeri serta Pilihan Raya Umum ke-16 yang akan datang, demi mempertahankan pencapaian demokrasi yang telah dibina dengan penuh usaha dan pengorbanan.
“Laungan Demokrasi bukan sekadar wujud ketika musim pilihan raya, tetapi merupakan satu proses jangka panjang yang menuntut kesabaran, penyertaan dan kesedaran rakyat. Hanya dengan penyertaan rakyat yang berterusan, agenda reformasi negara mempunyai harapan untuk terus bergerak ke hadapan.”
Selain Hj Badlishah, hadir bersama mewakili IKRAM ke sidang media itu ialah Timbalan Presiden, Jusni Yusoff dan Naib Presiden, Dr Sabariah Baharun.
Turut hadir Presiden KLSCAH, Ngan Teng Ye dan AJK; Bendahari BERSIH, Alexzander Bernard Johnson; Pengerusi GBM, IR. Stanley Yong Yew Wei dan wakil Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR), Faisal Mohidin.
Baca kenyataan penuh: Ulang Tahun ke-8 “509”




