Selamat Hari Ibu 2026: Seteguh KASIH Ibu

Selamat Hari Ibu 2026: Seteguh KASIH Ibu | IKRAM

Bersempena dengan sambutan Hari Ibu pada 10 Mei 2026, Wanita IKRAM Malaysia ingin merakamkan penghargaan yang setulusnya kepada seluruh insan bergelar ibu, yang merupakan tonggak utama keluarga serta pembina generasi masa hadapan.

Tahun ini, tema “Seteguh KASIH Ibu” mengangkat kekuatan kasih sayang seorang ibu yang merentasi sempadan bangsa, agama dan latar kehidupan. Walau berbeza rupa dan budaya, pengalaman menjadi seorang ibu menyatukan kita melalui detik kehamilan, kelahiran serta pengorbanan masa, tenaga dan emosi dalam membesarkan anak-anak.

Menjadi ibu adalah sebuah perjalanan yang penuh makna. Ia mengajar erti pengorbanan tanpa syarat, kesabaran yang panjang serta kasih sayang yang tidak bertepi. Namun dalam keindahan itu, terselit cabaran, khususnya apabila seorang ibu terpaksa menyeimbangkan peranan sebagai penjaga, pendidik dan penyumbang ekonomi dalam situasi sosial yang semakin kompleks.

Pengiktirafan peranan ibu dalam Dasar Negara

Wanita IKRAM Malaysia menegaskan bahawa pengiktirafan terhadap peranan ibu wajar diterjemahkan dalam bentuk dasar dan pelaksanaan yang menyeluruh. Dalam konteks ini, beberapa penambahbaikan dalam kerangka undang-undang Malaysia harus terus diperkukuh:

1. Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022)

a) Cuti Bersalin: 

Peningkatan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari merupakan langkah penting dalam menyokong pemulihan fizikal dan emosi ibu selepas kelahiran. Majikan perlu mengambil serius pelaksanaan hak ini demi mewujudkan persekitaran kerja yang lebih prihatin dan mesra keluarga.

b) Cuti Paterniti: 

Pemberian cuti paterniti selama tujuh hari merupakan permulaan yang baik dalam mengiktiraf peranan bapa selepas kelahiran anak. Namun, tempoh tersebut masih terhad untuk menyokong pemulihan ibu dan penyesuaian awal keluarga. Justeru, pertimbangan wajar harus diberikan kepada peningkatan cuti paterniti secara berperingkat kepada 14 hari, di samping menggalakkan penglibatan aktif bapa dalam penjagaan awal bayi dan sokongan emosi kepada ibu.

c) Aturan Kerja Fleksibel (Seksyen 60P & 60Q):

Hak pekerja untuk memohon kerja fleksibel harus dilihat sebagai peluang memperkukuh keseimbangan kerja-keluarga tanpa menjejaskan prospek kerjaya wanita.

d) Perlindungan daripada Diskriminasi:

Larangan pemberhentian kerja kerana kehamilan mesti dikuatkuasakan dengan tegas bagi melindungi hak ibu bekerja.

2. Akta Gangguan Seksual 2022 (Akta 840)

Penguatkuasaan undang-undang ini harus dijadikan asas kepada pembentukan persekitaran kerja yang selamat dan bebas gangguan, khususnya kepada wanita dan ibu yang bekerja. Komitmen majikan terhadap keselamatan emosi dan maruah wanita adalah prasyarat kepada budaya kerja yang sihat.

3. Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984

Usaha memperluas dan memperkukuh akses kepada pusat jagaan anak (taska) berkualiti di tempat kerja perlu menjadi sebahagian daripada dasar sokongan keluarga negara. Hal ini dapat mengurangkan tekanan ibu bekerja, di samping memastikan kebajikan anak-anak terpelihara.

Sokongan Dasar Sosial Kerajaan Madani

Wanita IKRAM Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas inisiatif Kerajaan MADANI yang memperkenalkan elaun pascabersalin yang merupakan satu langkah positif mengiktiraf keperluan pemulihan menyeluruh ibu selepas melahirkan anak. Polisi ini wajar diperluas kepada lebih ramai penerima dan digabungkan dalam agenda perlindungan sosial nasional yang lebih komprehensif.

Seperti ungkapan “It takes a village to raise a child,” (membesarkan seorang anak memerlukan sokongan seluruh komuniti), peranan ibu tidak boleh dipikul secara bersendirian. Ia menuntut dukungan bersepadu daripada keluarga, masyarakat, majikan serta institusi negara agar kesejahteraan ibu dan perkembangan anak dapat dipelihara secara menyeluruh.

Seruan kepada para ibu 

Wanita IKRAM menyeru semua ibu untuk terus memperbaharu niat dalam setiap pengorbanan, sambil mengekalkan hak terhadap kesejahteraan diri dari aspek fizikal, emosi dan spiritual. Menjadi ibu bukan bererti kehilangan diri, tetapi menemukan kekuatan dan ketenangan yang sebenar.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Siapakah yang paling berhak mendapatkan perlakuan baik daripadaku?” Maka baginda menjawab, “Ibumu, kemudian ibumu, kemudian ibumu, kemudian bapamu.” (HR Muslim, 2548)

Hadis ini menggambarkan betapa tinggi kedudukan seorang ibu dalam Islam yang diangkat sebanyak tiga kali sebelum disebutnya bapa – satu pengiktirafan agung terhadap jasa dan kasih seorang ibu.

Akhirnya, Wanita IKRAM Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ibu yang terus kuat dalam diam, memberi tanpa meminta, dan berdiri walau dalam keletihan. Semoga setiap ibu dikurniakan kekuatan, ketenangan dan ganjaran yang berlipat ganda atas setiap kasih yang dicurahkan.

Selamat Hari Ibu.

Seteguh KASIH Ibu.

Prof. Dr. Norhasmah Sulaiman
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia