Anak Remaja: 4 Strategi Bina “Makna” Hidup Dalam Diri

isu remaja

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita melihat satu fenomena yang semakin ketara dalam kalangan anak-anak remaja yang seolah-olah hidup tanpa arah tujuan. Masa mereka banyak dihabiskan dengan telefon pintar. 

Mereka tenggelam dalam dunia media sosial yang melalaikan, malah media sosial itu juga sering menjadi punca gangguan emosi serta psikologi. 

Ada yang seronok menonton orang bermain permainan video (game streaming), ada yang asyik melihat kehidupan orang lain, gambar-gambar orang melancong, makan dan posing sana sini, dan tidak kurang juga yang melayari pelbagai kandungan tanpa arah yang jelas.

Akibatnya, aktiviti yang benar-benar membina diri seperti membantu keluarga, menyumbang kepada masyarakat atau mengasah kemahiran hidup semakin diketepikan.

Walaupun remaja ini kelihatan lebih banyak tahu, namun perkembangan kemahiran fizikal dan praktikal (psikomotor) mereka tidak seiring. Lebih membimbangkan, pembentukan emosi dan sikap (afektif) juga semakin tidak stabil dan bercelaru.

Lantaran itu, muncul satu bentuk “kematangan” yang ganjil dalam kalangan anak-anak ini, apabila mereka dilihat ingin bebas membuat pilihan hidup sebelum benar-benar bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang dewasa.

Mereka juga menuntut kebebasan, keseronokan tanpa batas dan hubungan sosial tanpa kawalan ibu bapa. Ibu bapa yang menegur atau melarang dianggap mencampuri urusan peribadi dan tidak supportive.

Di sebalik semua fenomena inilah, saya berpendapat terdapat satu masalah yang jarang diberi perhatian secara serius dalam mana-mana perbincangan, sama ada wacana keibubapaan, sosial bahkan agama sekalipun.

Masalah yang saya maksudkan ini tidak lain dan tidak bukan ialah kekosongan jiwa, atau lebih tepat lagi, tiada “makna” yang sebenar dalam kehidupan.

Apa itu “makna”?

Apabila membincangkan tentang “makna”, ramai yang beranggapan ia adalah suatu yang besar atau luar biasa seperti kejayaan, pencapaian tinggi atau gaya hidup yang dilihat hebat oleh orang lain. Namun, makna tidak semestinya datang dalam bentuk yang sedemikian.

Secara asasnya, makna ialah sebab mengapa seseorang melakukan sesuatu dan terus melakukannya. Ia bukan sekadar apa yang kita capai, tetapi MENGAPA PERKARA ITU PENTING DALAM HIDUP KITA. Dalam erti kata lain, makna terletak pada hubungan antara tindakan, nilai yang dipegang dan tujuan hidup seseorang.

Seseorang itu mungkin telah mencapai banyak perkara dalam hidup, semua perkara yang dimahukan dapat, tetapi masih berasa kosong kerana apa yang dilakukan tidak selari dengan nilai dan tujuan dirinya.

Sebaliknya, ada juga individu yang menjalani kehidupan sederhana, melakukan perkara-perkara kecil seperti membantu keluarga atau menghormati jiran, namun dia dapat merasakan kehidupannya penuh dan bererti.

Di sinilah pentingnya bagi kita, sebagai ibu bapa, menerapkan perbezaan antara keseronokan, pencapaian dan makna. Keseronokan memberikan kepuasan sementara, pencapaian memberikan pengiktirafan, tetapi makna memberikan sebab untuk kita terus hidup dan bertahan, walaupun dalam keadaan sukar.

Dengan kata lain, sekiranya kita terus mengejar keseronokan dan pencapaian tanpa makna, kita akan bosan dengan apa yang telah kita capai. Tetapi orang yang melakukannya dengan makna akan terus bertahan, membuat pencapaian demi pencapaian tanpa berasa jemu.

Kita perlu sedar, makna yang kita bincangkan ini bukanlah sesuatu yang datang secara automatik dengan usia atau diwarisi daripada ibu bapa, tetapi ia merupakan sesuatu yang perlu dibina, sama ada oleh diri sendiri mahupun dengan bantuan orang tua, melalui pengalaman, pilihan dan komitmen terhadap nilai yang diyakini.

Mekanisme pembinaan makna

Mungkin ramai tertanya-tanya, bagaimana “makna” dibina? Jika kita sebagai ibu bapa sering kali gagal memahami apa itu “makna” dan bagaimana cara mendapatkannya, sudah tentu mustahil untuk kita bina makna itu dalam diri anak-anak remaja kita!

Maka dari itu, perlu kita fahami apakah sebenarnya mekanisme pembinaan makna dalam diri kita dan juga anak-anak remaja. Jika dimudahkan erti “makna”, boleh disimpulkan bahawa makna terbina daripada dua paksi berikut: 

1) Rasional

2) Empati 

Apakah yang dimaksudkan dengan rasional dan empati di sini? Rasional merujuk kepada KEUPAYAAN MEMAHAMI mengapa sesuatu itu perlu dilakukan berdasarkan nilai dan tujuan hidup yang tertentu.

Empati pula ialah keupayaan untuk memahami dan merasai keadaan orang lain, sehingga seseorang itu terdorong untuk berbuat baik bukan hanya kerana kewajipan, tetapi kerana KESEDARAN KEMANUSIAAN yang hidup dalam dirinya.

Dalam pembinaan rasional, kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada norma peribadi yang rendah sifatnya (seperti keseronokan dan pencapaian yang telah disebutkan tadi) atau norma masyarakat yang lazimnya hanya menyediakan panduan asas tentang baik dan buruk, tetapi tidak semestinya mampu memberikan tujuan hidup yang mendalam dan konsisten. Masih ada norma yang lebih tinggi, iaitu norma agama yang diyakini masyarakat. 

Di sinilah pentingnya peranan rasional yang dibina berasaskan norma agama, khususnya dalam kerangka Islam kerana dalam kerangka Islam, rasional dibina berasaskan kesedaran bahawa setiap tindakan mempunyai kaitan dengan tanggungjawab kepada Allah SWT dan kesan di akhirat.

Sehubungan itu, rasional yang dibina bukan sekadar logik biasa, tetapi satu kefahaman yang menghubungkan tindakan manusia dengan tujuan penciptaannya. Dengan kata lain, sesuatu perbuatan itu bukan hanya dinilai pada kesan duniawi, tetapi juga pada nilai di sisi Allah SWT.

Dengan itu, makna tidak lagi bergantung kepada penilaian manusia yang terbatas, tetapi bersandar kepada sumber yang lebih tinggi dan tekal.

Jika seseorang hanya mencari apresiasi masyarakat, dia akan berhadapan dengan realiti bahawa manusia berbeza-beza, sering sibuk dengan urusan sendiri, malah tidak terlepas daripada sifat cemburu dan persaingan.

Apresiasi yang diberikan juga terbatas, bersifat sementara dan mudah berubah. Sebaliknya, apresiasi daripada Allah SWT tidak terbatas. Apresiasi Allah SWT dizahirkan melalui reda, pahala dan janji syurga yang kekal abadi.

Di sinilah makna menjadi lebih stabil, kerana ia tidak lagi bergantung kepada penilaian manusia yang berubah-ubah.

مَنِ الْتَمَسَ رِضَا اللهِ بِسَخَطِ النَّاسِ، رَضِيَ اللهُ عَنْهُ وَأَرْضَى النَّاسَ عَنْهُ، وَمَنِ الْتَمَسَ رِضَا النَّاسِ بِسَخَطِ اللهِ، سَخَطَ اللهُ عَلَيْهِ وَأَسْخَطَ عَلَيْهِ النَّاسَ

Barang siapa mencari reda Allah walaupun manusia tidak menyukainya, nescaya Allah akan memberikannya keredaan dan manusia juga akan suka kepadanya. Tetapi sesiapa yang mencari reda manusia melalui kemurkaan Allah, nescaya Allah akan memurkainya dan manusia juga akan benci kepadanya.” (HR at-Tirmizi [2414] dan Ibnu Hibban [278], Hasan)

Meskipun begitu, pembinaan makna tidak lengkap jika hanya tertumpu kepada hubungan dengan Tuhan semata-mata. Unsur kedua yang perlu dibina ialah empati, iaitu keupayaan untuk memahami dan merasai keadaan orang lain. Melalui empati, seseorang bukan sahaja berbuat baik kerana tuntutan agama, tetapi juga kerana kesedaran kemanusiaan yang hidup dalam dirinya.

Sifat empati inilah yang akan menyempurnakan hubungan sesama manusia dan menjadikannya bermakna. Ia menjadikan amalan seperti membantu, memberi dan berkhidmat kepada orang lain bukan sekadar tanggungjawab, tetapi sesuatu yang benar-benar dirasai maknanya.

Dalam kerangka Islam, sifat empati ini diasaskan atas konsep ukhuwah (persaudaraan agama) yang sangat halus dan mudah meresap ke dalam jiwa. Konsep ukhuwah bukan sahaja mampu menstabilkan hubungan sesama manusia, bahkan menjadikan mereka saling terikat, saling menyokong dan saling menghormati.

المُسْلِمُ أَخُو المُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ، وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللهُ فِي حَاجَتِهِ، وَمَنْ فَرَجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَجَ اللهُ عَنْهُ بِهَا كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ القِيَامَةِ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللهُ يَوْمَ القِيَامَةِ

Seorang Muslim itu adalah saudara kepada Muslim yang lain, tidak boleh dia menzaliminya atau membiarkannya dizalimi. Barang siapa menunaikan hajat saudaranya, nescaya Allah akan menunaikan hajatnya; barang siapa melepaskan seorang Muslim daripada kesusahan, nescaya Allah akan melepaskannya pula daripada kesusahan hari kiamat; barang siapa menutup aib seorang Muslim, pastilah Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat.” (HR Muslim, 2580)

Gabungan antara rasional yang berasaskan agama dan empati terhadap manusia inilah akhirnya yang akan membentuk satu struktur makna yang seimbang; kukuh dari segi prinsip dan hidup dari segi penghayatan.

Empat strategi praktikal membina makna dalam diri anak remaja 

Setelah memahami bahawa makna terbina daripada kedua-dua paksi utama iaitu rasional yang berasaskan agama dan empati, perkara yang penting untuk kita faham seterusnya ialah kaedah bagaimana untuk menanam kedua-dua paksi ini dalam diri anak remaja kita supaya perbincangan tidak hanya bersifat teori, bahkan dapat dipraktikkan.

  1. Membina rasional melalui kefahaman tujuan hidup 

Anak-anak remaja perlu dibimbing untuk memahami bahawa setiap tindakan dalam hidup mempunyai kaitan dengan tujuan penciptaan mereka sebagai HAMBA ALLAH SWT. Ia bukan sekadar pengajaran teori, tetapi perlu disampaikan secara berperingkat melalui perbualan harian, teladan kehidupan dan refleksi terhadap pengalaman silam.

Apabila anak memahami bahawa belajar, membantu dan berbuat baik kepada orang lain bukan sekadar untuk pencapaian kepentingan dunia, tetapi sebagai tanggungjawab kepada Allah SWT, maka rasional hidup mereka menjadi lebih jelas dan terarah. Mereka tidak lagi hanya bertindak berdasarkan dorongan sesaat, tetapi berdasarkan kefahaman yang lebih tinggi. 

Ibu bapa perlu membiasakan anak-anak mereka mengucapkan kata-kata seperti “Kita buat ni kerana Allah, supaya Allah suka, Allah reda dengan kita, barulah kita dapat pahala” agar ungkapan ini meresap ke dalam jiwa anak-anak lalu membentuk hala tuju yang jelas, yang seterusnya memandu mereka ke arah rasional agama yang lebih stabil. 

Kadang-kadang, kita lebih mudah mengungkapkan ucapan seperti ini kepada anak-anak kecil sahaja, tetapi kita lupa bahawa anak-anak remaja sebenarnya lebih memerlukan sentuhan kata-kata yang lembut dan mesra seperti ini, kerana mereka juga masih dalam proses membina kefahaman, emosi dan identiti diri.

Dari segi psikologi dalam fasa remaja, mereka akan banyak mempersoalkan pelbagai hal seperti tujuan hidup, nilai yang perlu dipegang dan arah yang ingin dituju.

Jika ibu bapa gagal membimbing dengan bahasa yang dekat dan menyentuh jiwa, mereka akan mencari jawapan daripada sumber lain yang belum tentu benar atau seimbang.

Oleh itu, kata-kata yang ringkas tetapi konsisten, yang mengaitkan tindakan dengan keredaan Allah SWT, sebenarnya memainkan peranan besar dalam membentuk kerangka rasional yang kukuh dalam diri remaja.

  1. Memberi pengalaman tanggungjawab yang melibatkan orang lain

Empati tidak boleh diajar melalui ucapan semata-mata, tetapi perlu dialami dan dirasai sendiri oleh individu tersebut. Oleh itu, anak-anak remaja perlu diberi peranan yang melibatkan orang lain, seperti membantu keluarga, menjaga adik atau terlibat dalam aktiviti kebajikan dan sosial. 

Melalui pengalaman inilah, mereka belajar bahawa tindakan mereka memberi kesan kepada orang lain. Mereka sendiri akan melihat bagaimana menyampaikan bantuan kepada orang yang memerlukan akan melahirkan kegembiraan kepada semua pihak.

Anak-anak remaja ini, jika dilibatkan dalam kerja amal dan kemanusiaan, akan merasai keperitan orang yang dibantu dan kemudahan apabila mendapat bantuan.

Dari situlah lahirnya kesedaran kemanusiaan dalam diri mereka bahawa hidup bukan hanya tentang diri sendiri, tetapi juga tentang memberi dan berkongsi. Inilah asas pembinaan empati yang sebenar.

Ibu bapa mungkin boleh terlibat secara aktif dengan mana-mana pertubuhan sosial (NGO) yang membantu masyarakat agar anak-anak remaja boleh turut sama dalam aktiviti tersebut.

Terdapat banyak pertubuhan sosial berasaskan agama dan kemanusiaan yang sentiasa memerlukan tenaga kerja, bukan saja untuk menggerakkan program bantuan, tetapi juga untuk mengurus, menyusun dan melaksanakan pelbagai bentuk khidmat masyarakat.

Melalui penglibatan ini, anak-anak remaja bukan sahaja melihat realiti kehidupan yang sebenar, malah berpeluang berinteraksi dengan golongan yang memerlukan serta memahami kesusahan orang lain secara langsung.

Pengalaman seperti ini sukar diperoleh melalui pembelajaran teori semata-mata, tetapi sangat berkesan dalam membina empati dan kesedaran kemanusiaan dalam diri mereka.

Dalam masa yang sama, ibu bapa juga boleh mengaitkan setiap pengalaman ini dengan nilai agama, seperti membantu kerana Allah SWT, meringankan beban orang lain sebagai satu amanah dan mengharapkan ganjaran di akhirat.

Gabungan pengalaman praktikal dan kefahaman ini akan menjadikan amalan membantu bukan sekadar aktiviti, tetapi satu sumber makna yang hidup dalam diri anak-anak remaja yang masih membina jati diri mereka.

  1. Mengawal pendedahan kepada dunia maya dan menguatkan pengalaman dunia nyata

Dunia media sosial sering membentuk persepsi yang tidak realistik tentang kehidupan, kejayaan dan kebahagiaan manusia. Jika tidak dikawal, ia akan mengganggu pembinaan rasional dan melemahkan empati remaja.

Hal ini kerana media sosial selalunya hanya memaparkan sisi terbaik daripada kehidupan seseorang seperti keseronokan dan kemewahan, tanpa memperlihatkan usaha, kesusahan dan kegagalan yang menjadi realiti sebenar hidup.

Gambaran yang terpilih dan ditapis ini akhirnya akan mewujudkan satu dunia ilusi yang seolah-olah sempurna, lalu membentuk jangkaan yang tidak realistik dalam diri remaja.

Akibat daripada jangkaan yang tidak realistik tersebut, remaja akan terperangkap dalam perbandingan sosial yang tidak sihat, merasakan diri mereka ketinggalan atau tidak cukup baik dan mula menilai kehidupan berdasarkan ukuran luaran semata-mata.

Lebih membimbangkan lagi, interaksi dalam dunia maya yang bersifat pantas dan dangkal boleh mengurangkan kepekaan emosi terhadap orang lain, kerana mereka tidak benar-benar berhadapan dengan pengalaman manusia yang sebenar.

Oleh sebab itu, ibu bapa sangat perlu mengawal pendedahan kepada dunia maya serta memastikan anak-anak remaja lebih banyak terlibat dengan pengalaman dunia sebenar seperti aktiviti fizikal, interaksi bersemuka dan berada dalam situasi yang memerlukan mereka berfikir serta bertindak secara langsung.

Dunia nyata inilah sebenarnya yang akan membentuk kefahaman rasional yang sebenar dan menghidupkan empati dalam diri anak-anak.

  1. Ibu bapa menjadi model dalam kehidupan seharian anak

Akhir sekali, ibu bapa sendiri sebenarnya perlu menjadi contoh dan teladan yang baik kepada anak-anak remaja. Mereka tidak akan belajar makna melalui nasihat semata-mata, tetapi melalui apa yang mereka lihat setiap hari.

Apabila ibu bapa membuat keputusan berdasarkan nilai agama (rasional), dan melayan kerenah manusia dengan ihsan dan empati, anak akan menyerap kedua-dua paksi ini secara semula jadi. Inilah pendidikan makna yang paling berkesan bagi mereka, bukan melalui kata-kata, tetapi melalui model kehidupan. 

Sebelum saya tujukan kata-kata ini kepada pembaca, terlebih dahulu saya nyatakan kepada diri sendiri keperluan untuk MEMBUAT PERUBAHAN SEGERA. Kita perlu faham bahawa kerosakan remaja hari ini tidak datang secara terasing, bahkan ia bermula dengan kerosakan masyarakat itu sendiri.

Apabila nilai mula menjadi longgar, apabila makna hidup tidak lagi jelas dan apabila agama hanya tinggal pada ritual tanpa penghayatan yang sebenar, generasi yang lahir daripada suasana ini akan membawa kekeliruan yang sama, malah cenderung dalam bentuk yang lebih kompleks.

Kita sering melihat gejala pada anak-anak, tetapi jarang bertanya apakah yang telah kita bina di sekeliling mereka. Kita menegur sikap mereka, tetapi terlupa bahawa mereka sedang memerhati cara kita hidup, cara kita membuat keputusan dan apa yang kita anggap penting dalam kehidupan.

Pembinaan makna dalam diri anak-anak remaja sepatutnya tidak boleh bermula dengan mereka semata-mata, tetapi perlu bermula dengan diri kita sendiri: Bagaimana kita memahami hidup? Apa yang kita kejar? Kepada siapa kita sandarkan segala harapan?

Jika kita sendiri masih kabur tentang makna, maka jangan hairan jika anak-anak kita membesar dalam kekaburan yang sama.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ

“Wahai orang-orang yang beriman, lindungilah DIRI KAMU SENDIRI dan keluarga kamu daripada api neraka yang mana bahan bakarnya ialah manusia dan batu-batan…” (Surah at-Tahrim: 6)

Dr Amer Hudhaifah Hamzah

Ahli Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia