Pengambilan alkohol merupakan isu kesihatan awam global yang memberi kesan signifikan terhadap keselamatan jalan raya. Pemanduan di bawah pengaruh alkohol (driving under the influence, DUI) telah dikenal pasti sebagai antara punca utama kemalangan jalan raya, kecederaan serius dan kematian di seluruh dunia(1).
Walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan, impak memandu dalam keadaan di bawah pengaruh alkohol terhadap pengguna jalan raya yang lain sangat membimbangkan. Justeru, gesaan perlu dibuat ke atas pelbagai pihak berwajib bagi menuntut penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas dan berkesan demi keselamatan pengguna jalan raya.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, perbuatan memandu dalam keadaan mabuk merupakan satu jenayah besar di sisi syarak dan undang-undang negara, malah bercanggah dengan prinsip Maqasid Syariah yang menekankan pemeliharaan nyawa, akal serta kesejahteraan masyarakat(14).
Ayat al-Quran terdahulu mengharamkan arak yang dibuat daripada anggur sahaja, tetapi pengharaman tersebut termasuklah semua benda yang memabukkan. Ini berdasarkan hadis daripada Nabi SAW:
كُلُّ شَرَابٍ أَسْكَرَ فَهُوَ حَرَامٌ
Maksudnya: “Semua yang memabukkan adalah haram.” (HR Bukhari (5263) dan Muslim (2001))
Hadis ini jelas menekankan bahawa bagi segala benda yang memabukkan walau apa pun namanya, hukum meminumnya adalah sama dengan hukum arak, iaitu haram kerana bercanggah dengan prinsip Maqasid Syariah, terutamanya dalam memelihara akal (hifz al-‘aql) dan nyawa (hifz al-nafs).
Oleh itu, pengharaman tersebut mestilah sama atas semua minuman yang memabukkan tanpa perbezaan walau apa jua asalnya. Fatwa menegaskan memandu dalam keadaan mabuk merupakan jenayah besar dan menghidangkan arak dalam majlis rasmi dilarang untuk menjaga maruah Islam(13).
Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan penting membanteras gejala pemanduan dalam keadaan mabuk termasuk melalui penguatkuasaan undang-undang, pendidikan masyarakat, promosi kesihatan, kesedaran individu, program rehabilitasi dan penggunaan teknologi (alcohol ignition interlock device).
Kini tiba masanya untuk memandang bagaimana negara barat seperti Norway, Finland, Sweden, Hungary, Republik Czech dan Romania serta negara Asia seperti China, yang bukan negara Islam, mampu menguatkuasakan undang-undang secara tegas terhadap pemandu mabuk.
Sebarang bentuk pelaksanaan kajian dalam isu ini amat penting sebagai pembuktian berdasarkan fakta (evidence-based practice) untuk sebarang penambahbaikan sedia ada.
Faktor risiko pemanduan mabuk
Kajian antarabangsa menunjukkan bahawa antara faktor yang menyumbang secara signifikan kepada kemalangan jalan raya adalah seperti jantina, jenis pekerjaan, kedudukan geografi, faktor pegangan agama dan faktor sosial seperti ibu bapa atau rakan yang mengambil alkohol serta tekanan hidup(2)(8)(9)(15)(16).
Kajian di negara-negara ASEAN menunjukkan golongan dewasa muda lelaki termasuk pelajar universiti paling ramai terlibat dengan pengambilan alkohol secara berlebihan (binge drinking)(8)(16)(18). Faktor kurang pengalaman memandu serta pemanduan pada waktu malam juga meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.
Dari aspek pekerjaan, pemandu kenderaan komersial seperti pemandu lori dan bas merupakan kumpulan berisiko tinggi yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya juga. Kajian sistematik oleh Bragazzi et al. (2018) menunjukkan bahawa pengambilan alkohol dalam kalangan pemandu lori serta bas berkait rapat dengan keselamatan pekerjaan dan risiko kemalangan(9).
Kadangkala golongan ini turut disabitkan dengan pengambilan barangan larangan seperti dadah berbahaya yang boleh menjejaskan kesihatan mental dan fokus pemanduan.
Walaupun hanya segelintir yang menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab dengan memandu ketika mabuk, namun ia boleh menjejaskan reputasi dan persepsi masyarakat terhadap pemandu bas dan lori.
Saban hari kita mendengar punca kemalangan jalan raya akibat dilanggar lori atau bas dengan alasan masalah brek. Namun setelah disiasat oleh pihak berkuasa, punca kemalangan maut adalah akibat pengambilan alkohol atau dadah.
Selain itu, kajian di Malaysia, Cheah (2015) mendapati bahawa golongan bukan Melayu mempunyai kecenderungan lebih tinggi untuk mengambil alkohol. Faktor anutan agama turut mempengaruhi tindakan seseorang untuk menjadi lebih bertanggungjawab dalam tindak-tanduk mereka.
Prinsip pencegahan pengambilan arak turut ditekankan dalam pelbagai agama. Contohnya dalam ajaran Kristian melalui Bible, Kitab Proverbs 20 ayat 1 menyatakan bahawa “Arak memperdaya manusia dan menjadikan seseorang itu tidak bijaksana.” Dalam Ephesians 5 ayat 18 pula disebut, “Janganlah kamu mabuk dengan minuman keras kerana itu membawa kepada kerosakan moral.” (5)
Manakala dalam ajaran Buddha, larangan terhadap arak terkandung dalam lima sila utama. Sila kelima menuntut penganutnya menjauhi minuman yang memabukkan kerana ia membawa kepada kelalaian. Dalam Sigalovada Sutta, dinyatakan bahawa arak menjadi punca kepada pelbagai keburukan seperti kehilangan harta, pertengkaran, penyakit dan hilang maruah diri(5).
Agama Hindu pula dalam Manusmriti dan Atharva Veda, menekankan minuman memabukkan dikaitkan dengan kejatuhan moral dan pencemaran kesucian diri. Begitu juga dalam agama Sikh, melalui Guru Granth Sahib dan panduan hidup Rehat Maryada, pengambilan alkohol adalah dilarang kerana ia menjejaskan kesedaran dan disiplin diri(5).
Walaupun terdapat variasi dalam setiap anutan dan amalan spiritual, prinsip menjauhi perkara yang merosakkan tetap ditekankan. Maka secara umum, pengambilan alkohol sememangnya dilarang oleh setiap agama akibat kesan mudarat yang lebih tinggi daripada manfaat.
Isu utama berkaitan pengambilan alkohol dan keselamatan jalan raya
Isu pemanduan mabuk masih menjadi cabaran apabila faktor-faktor penyumbang ini sukar dikawal sama ada melalui penguatkuasaaan undang-undang atau modifikasi tingkah laku serta kesedaran para penganut dalam masyarakat terhadap larangan pengambilan bahan-bahan yang berbahaya seperti alkohol.
Kemalangan jalan raya berkaitan alkohol memberikan beban besar kepada sistem kesihatan dan ekonomi negara. Kos rawatan, kehilangan produktiviti serta kematian pramatang memberi kesan jangka panjang kepada pembangunan negara(17).
Di peringkat global dan kebangsaan, penggunaan teknologi baharu seperti sistem pengesanan alkohol berasaskan imej dan peranti pengunci enjin berasaskan alkohol (alcohol ignition interlock device) membuka peluang untuk meningkatkan penguatkuasaan(1)(15).
Namun begitu, penguatkuasaan penggunaan teknologi masih belum menyeluruh atau tidak konsisten kerana berhadapan dengan cabaran seperti kekurangan sumber dan tenaga kerja terlatih(6)(12)(15).
Di samping itu, tahap kesedaran masyarakat tentang had kandungan alkohol dalam darah (BAC) masih lagi rendah, khususnya dalam kalangan pemandu muda. Maka, Allsop (2020) serta Jiang et al., (2018) turut menekankan program rehabilitasi dilaksanakan ke atas golongan yang rentan ini.
Antara langkah lain yang telah diambil oleh kerajaan Malaysia pula adalah dengan mengetatkan dasar percukaian dan kawalan. Langkah ini telah berjaya mengurangkan penggunaan alkohol(16).
Pada masa yang sama, terdapat kajian yang membuktikan intervensi kesihatan melalui pendidikan kesihatan awam telah menunjukkan keberkesanan dalam mengurangkan pengambilan alkohol di Sabah(11).
Secara umum, untuk mengurangkan isu kemalangan jalan raya yang berpunca daripada pengambilan alkohol ini, kita sangat memerlukan penguatkuasaan undang-undang yang tegas, penggunaan teknologi yang terbukti melalui kajian serta promosi kesihatan seperti merujuk kepada Garis Panduan Program Intervensi Pengesanan Masalah Penggunaan Alkohol di Komuniti (2013), Kementerian Kesihatan Malaysia dengan konsisten terutamanya di kawasan-kawasan berisiko tinggi.
Cadangan dasar dan penambahbaikan
- Peningkatan Sumber Penguatkuasaan: Kerajaan terutamanya agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu melaksanakan pelan strategik dalam meningkatkan pelaburan berkaitan mutu latihan dan penggunaan teknologi perlu dalam penguatkuasaan secara proaktif(12). Kekerapan sekatan jalan raya terhadap pemandu mabuk di kawasan berisiko tinggi lebih bermanfaat daripada mengambil intervensi hanya apabila kemalangan telah berlaku.
- Pengukuhan Undang-undang dan Hukuman: Hukuman yang lebih tegas dapat meningkatkan kesan pencegahan terhadap pemanduan di bawah pengaruh alkohol seperti yang dilaksanakan di negara maju seperti benua Eropah(1). Inisiatif kerajaan dengan memperuntukkan Seksyen 44 APJ 1987 dan Seksyen 45 APJ 1987 di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) boleh disambut baik oleh kementerian berkaitan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya memantapkan program advokasi dalam kalangan kakitangan kepada masyarakat tentang kepentingan tidak memandu ketika mabuk.
- Peningkatan Pengumpulan Data: Data yang lebih komprehensif dapat membantu dalam merancang dasar yang lebih berkesan(6). Inisiatif kerajaan dengan kerjasama bersama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) adalah amat baik. Namun begitu, memperpanjang kolaborasi dengan beberapa pakar dari universiti di Malaysia dalam inovasi intervensi teknologi dalam penguatkuasaan, penggubalan dasar dan advokasi mencegah pemanduan ketika berada di bawah paras alkohol yang tinggi merupakan strategi yang boleh diambil oleh pihak kerajaan.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, pengambilan alkohol merupakan faktor utama yang menjejaskan keselamatan jalan raya dan kesihatan awam. Pendekatan menyeluruh yang merangkumi penguatkuasaan undang-undang, pendidikan masyarakat dan intervensi berteknologi adalah penting untuk menangani isu ini dengan kerjasama padu beberapa kementerian di Malaysia.
Selain itu, ahli masyarakat perlu sedar bahawa mereka merupakan kunci utama dalam mengurangkan kemalangan jalan raya berkaitan alkohol. Usaha bersepadu antara pelbagai pihak amat diperlukan bagi memastikan keselamatan jalan raya dan kesejahteraan masyarakat dapat dipertingkatkan.
Akhir kata, jadilah pengguna jalan raya yang bertanggungjawab dan bersikap empati. Jangan memandu ketika mabuk (Don’t drink and drive)!
Prof. Madya Dr. Siti Noorkhairina Sowtali
Kulliyyah Kejururawatan (KON)
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Panel Maqasid As-Shariah, Research Management Centre, IIUM (tahun 2017)
Rujukan:
- Allsop, R. (2020). Drink driving as the commonest drug driving—A perspective from Europe. International Journal of Environmental Research and Public Health, 17(16), 5674.
- Bragazzi, N. L., Dini, G., Toletone, A., et al. (2018). Patterns of harmful alcohol consumption among truck drivers: Implications for occupational health and work safety from a systematic review and meta-analysis. International Journal of Environmental Research and Public Health, 15(6), 1121.
- Cheah, Y. K. (2015). Socioeconomic determinants of alcohol consumption among non-Malays in Malaysia. Hitotsubashi Journal of Economics, 56(2), 55–72.
- Cheah, Y. K., Abdul Adzis, A., Abu Bakar, J., & Applanaidu, S. D. (2020). Sociodemographic determinants of Malaysian household’s use of and expenditure on alcohol: A regional comparison. Drugs: Education, Prevention and Policy, 27(6), 472–480.
- E-wacana. (April 6, 2026). Pengharaman arak, rahmah Tuhan untuk kesejahteraan sejagat.
- Jia, K., Fleiter, J., King, M., et al. (2016). Alcohol-related driving in China: Countermeasure implications of research conducted in two cities. Accident Analysis and Prevention, 95(Part A), 252–261.
- Jiang, H., Xiang, X., Hao, W., et al. (2018). Measuring and preventing alcohol use and related harm among young people in Asian countries: A thematic review. Global Health Research and Policy, 3(1), 11.
- Kejriwal, M. (2025). Alcohol consumption among university students in ASEAN countries: A systematic review and meta-analysis. Cambridge Prisms: Global Mental Health, 12, e25.
- Kekelidze, Z. I., Polyansky, D. A., Shport, S. V., & Soloviev, A. G. (2020). Alcohol as a risk factor for accidents among bus drivers. Ekologiya Cheloveka (Human Ecology), 27(3), 45–52.
- Kementerian Kesihatan Malaysia. (2013). Garis Panduan Program Intervensi Pengesanan Masalah Penggunaan Alkohol di Komuniti.
- Khiun, L. T. L., Lamiri, W. R., Payus, A. O., et al. (2025). The effect of health education and brief intervention on alcohol consumption in Sabah, East Malaysia. Malaysian Journal of Medicine and Health Sciences, 21(2), 150–158.
- Lenk, K. M., Scholz, N., Erickson, D. J., et al. (2023). Alcohol enforcement in the United States from 2010 to 2019. Journal of Studies on Alcohol and Drugs, 84(3), 456–467.
- Mohamad, R. (September 25, 2017). Bayan Linnas Siri Ke-117: Hindari Bahaya Arak.
- Mukhriz, M. H. (Mac 31, 2026). Memandu mabuk satu jenayah besar, bercanggah Maqasid Syariah – Mufti WP.
- Seong, L. J., Yogarayan, S., Razak, S. F. A., & Mogan, J. N. (2024). Drunk detection using thermal-based face images. In Proceedings of the 2024 International Conference on Intelligent Cybernetics Technology and Applications (ICICyTA) (pp. 210–215). IEEE.
- Sornpaisarn, B., Shield, K., Manthey, J., et al. (2020). Alcohol consumption and attributable harm in middle-income South-East Asian countries: Epidemiology and policy options. International Journal of Drug Policy, 83, 102856.
- Srinath, R., & Sendilvelan, S. (2018). Alcohol perception and its economic impact: A study among males in rural areas. Pertanika Journal of Social Sciences and Humanities, 26(3), 1623–1636.
- Taib, N. M., Nawi, M. S. M., Robinson, F., & Rahim, S. S. S. A. (2025). Evaluation of alcohol risk screening and intervention using AUDIT-10 in Kota Kinabalu, Sabah. Indonesian Journal of Public Health, 20(1), 45–54.




