Gencatan Senjata AS-Iran: Tidak Realistik untuk Israel?

genjatan

Perang Amerika melawan Iran bukan perang satu lawan satu. Sebaliknya, ia adalah perang Amerika bersama sekutunya, rejim Zionis, dua negara yang mempunyai kekuatan ketenteraan tertinggi di dunia. Amerika Syarikat juga dibantu oleh negara Arab yang membolehkan keperluan logistik dipenuhi bagi memudahkan serangan terhadap Iran.

Pada 2 April lalu, Donald Trump secara jelas menyampaikan ucapan terima kasih kepada Arab  Saudi, Qatar, UAE, Kuwait dan Bahrain kerana membantu Amerika. Tiada satu pun daripada lima negara tersebut menafikan ucapan terima kasih yang disampaikan oleh Trump. 

Manakala Iran pula, sejak tertubuhnya kerajaan baharu selepas kejatuhan Shah pada tahun 1979, tidak mempunyai sekutu kuat. Iran sentiasa berada dalam keadaan terdedah kepada ancaman daripada Amerika Syarikat, rejim Zionis dan negara Arab. 

Tidak dinafikan Iran mempunyai rakan strategik seperti Syria pada zaman Hafiz al-Asad dan Libya pada zaman Muammar Gaddafi dalam usaha pembinaan roket balistik, dan secara tidak langsung juga dengan China, Rusia dan Korea Utara dari aspek perniagaan tertentu serta persenjataan secara umum dan terhad. 

Namun begitu, Syria di bawah pentadbiran keluarga al-Asad telah tumbang di tangan para  pejuang Haiah Tahrir asy-Syam dan Libya juga mengalami nasib yang sama akibat campur tangan Amerika Syarikat dan Barat. 

China pula mempunyai pelaburan bernilai berbilion dolar Amerika Syarikat di negara haram Zionis, manakala Rusia dalam masa yang sama tidak sepenuhnya bersama Zionis dan tidak sepenuhnya memusuhinya kerana mempunyai kepentingan bersama. Oleh itu, hakikatnya Iran berseorangan berbanding Amerika Syarikat dari segi kekuatan kerjasama antara negara. 

Realiti kekuatan Hizbullah dan Houthi 

Ramai menganggap Hizbullah dan Houthi adalah sekutu Iran. Hakikatnya, mereka hanyalah organisasi ketenteraan yang tidak mewakili keseluruhan negara. Hizbullah berada di selatan Lubnan dan Houthi pula di bahagian barat Yaman.

Kedua-duanya tidak mempunyai kapasiti  ketenteraan yang mencukupi untuk mencabar kedaulatan mana-mana negara Arab yang mempunyai kekuatan udara, darat dan laut yang jauh lebih kuat. 

Walaupun kita berbangga dengan kemusnahan yang berlaku di Tel Aviv, Haifa, Beersheba dan sekitar 19 pangkalan tentera Amerika Syarikat di negara Arab akibat serangan Iran, kerugian  yang dihadapi Iran juga besar. 

Dari segi politik, barisan pimpinan utama seperti Ali Khamenei, menteri pertahanan, ketua turus angkatan tentera, ketua keselamatan utama dan ramai lagi telah terkorban. Ia jelas menunjukkan kebocoran perisikan yang sangat membahayakan Iran. 

Selain itu, kemusnahan yang melibatkan nyawa orang awam juga tinggi, dengan sekitar 2,000 orang terkorban, termasuk di sekolah kanak-kanak perempuan, fasiliti nuklear dan petrokimia, tempat pemprosesan minyak, hospital dan sebagainya.

Semua ini adalah perkara yang telah dijangka kerana Iran selama 47 tahun dikenakan lebih 8,000 sekatan antarabangsa. Mereka tidak boleh dengan mudah membeli senjata untuk menyerang atau mempertahankan diri daripada serangan musuh. 

Sudah tentu mereka mudah ditembusi oleh ejen perisikan Mossad dan serangan tentera udara musuh. Mereka juga selama berpuluh tahun diburukkan oleh media Barat sebagai negara pengganas dan tidak menghormati wanita. Semua ini menjadikan Iran sebuah negara yang terasing daripada masyarakat antarabangsa, khususnya daripada negara bukan Islam. 

Selat Hormuz satu-satunya senjata Iran untuk menekan Trump 

Oleh itu, satu-satunya cara Iran untuk menekan Amerika Syarikat dan rejim Zionis bukan melalui ketenteraan seperti yang dijangka oleh ramai pihak, tetapi melalui sekatan Selat Hormuz. Ia merupakan satu-satunya langkah yang ada bagi Iran untuk memastikan Amerika Syarikat teragak-agak meneruskan serangan. 

Hal ini kerana jika Selat Hormuz disekat, dunia tidak akan menyalahkan Iran, sebaliknya Amerika Syarikat sebagai punca utama. Selat ini sebelum ini terbuka kepada semua tanpa sebarang halangan sehingga 28 Februari sebelum tercetusnya perang ini. 

Keadaan ini menjadi kerugian strategik dan menjejaskan sokongan politik kepada Amerika Syarikat sehingga Perancis, Sepanyol dan beberapa negara besar lain berunding sendiri dengan Iran untuk melalui Selat Hormuz. 

Keadaan ini menyebabkan Amerika Syarikat tidak menemui jalan keluar untuk menamatkan konflik yang sedang berlaku. Sekiranya serangan ketenteraan diteruskan, negara haram Zionis akan terus dibedil oleh roket balistik dari Iran, Hizbullah dan Houthi.

Begitu juga negara Arab lain yang turut terkesan akibat serangan Iran kerana masih membenarkan pangkalan tentera Amerika Syarikat bertapak dan serangan dilancarkan dari negara mereka. 

Tambahan pula, serangan Amerika Syarikat secara rawak terhadap kepentingan rakyat awam Iran menyebabkan rakyat semakin bersatu untuk menentang pengaruh Amerika Syarikat. Mereka memahami bahawa jika Amerika Syarikat menang, mereka bukan sahaja akan dijajah, malah menjadi mangsa kekejaman tanpa batas seperti yang berlaku di Iraq dari tahun 2003  hingga 2011. 

Gencatan senjata tidak menjamin keamanan sebenar 

Amerika Syarikat menerima syarat gencatan senjata yang ditawarkan oleh Iran walaupun hakikatnya syarat tersebut sukar diterima oleh rejim Zionis dan Amerika Syarikat sendiri

Penerimaan ini bukanlah penerimaan penuh, tetapi sekadar langkah permulaan ke arah gencatan senjata dan pembukaan Selat Hormuz untuk tempoh dua minggu.

Namun, tidak sampai 24 jam selepas pengumuman Trump mengenai gencatan senjata, rejim Zionis telah melancarkan 100 serangan ke seluruh Lubnan, menyebabkan sekurang-kurangnya 254 orang terbunuh atau syahid. 

Serangan ini bukan sekadar serangan biasa, tetapi merupakan isyarat daripada penjajah Zionis bahawa syarat-syarat Iran tidak akan dilaksanakan.

Jika dilaksanakan dan segala syarat dipenuhi, rejim Zionis akan kalah sepenuhnya di selatan Lubnan kerana mereka tidak mampu mengalahkan pasukan Hizbullah di sana. 

Selain itu, jika pangkalan ketenteraan Amerika Syarikat meninggalkan rantau Arab, rejim ini akan lebih terdedah kepada ancaman Iran tanpa bantuan Amerika Syarikat dari segi pertahanan udara dan perisikan. Hal ni merupakan kekalahan besar bagi rejim Zionis, malah boleh menggugat  kewujudan mereka di rantau Asia Barat. 

Zionis punca sebenar 

Sekali lagi, kekacauan yang berlaku ketika ini bukan disebabkan oleh Donald Trump semata-mata. Presiden Amerika Syarikat hanyalah alat, manakala punca sebenar adalah rejim Zionis. Rejim inilah yang melobi Amerika Syarikat untuk memulakan peperangan ini sejak puluhan tahun lalu. 

Tujuannya adalah untuk memastikan tiada kuasa yang lebih kuat dan mampu mencabar mereka di rantau Asia Barat, sekali gus memudahkan penguasaan terhadap tanah-tanah Arab seperti yang dirancang dalam konsep Israel Raya. 

Oleh itu, tanggungjawab untuk menggagalkan usaha ini terletak di bahu umat seluruh dunia. Ulama terkemuka seperti Syeikh Ahmad Raisuni sendiri menyatakan pada awal konflik ini bahawa beliau bersama Iran. 

Konflik ini sepatutnya tidak terbatas kepada perbezaan mazhab atau sejarah lampau Iran di Syria yang pernah disaksikan oleh penulis pada tahun lalu. Sebaliknya, ia merupakan usaha yang perlu diselesaikan bersama melalui kekuatan politik, ekonomi, ketenteraan dan sosial. 

Ustaz Megat Aiman Hakim Megat Shariffudin 

Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia