Keputusan peperiksaan pelajar semakin meningkat, namun persoalan besar tetap menghantui: Adakah akhlak mereka turut berkembang? Inilah dilema utama pendidikan negara yang sering tenggelam dalam perdebatan tentang silibus baharu, teknologi terkini atau ranking peperiksaan.
Hakikatnya, tujuan pendidikan bukan sekadar melahirkan pelajar pintar di atas kertas, tetapi insan holistik – berilmu, berakhlak, berjiwa merdeka dan seimbang, seperti yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Nilai merentas kurikulum
Di sekolah rangkaian IKRAM-MUSLEH, pembinaan karakter tidak dijadikan subjek tambahan. Sebaliknya, nilai ini diintegrasikan dalam semua mata pelajaran melalui pendekatan character-infused curriculum.
Guru Matematik menekankan amanah dan ketelitian, guru Sains membimbing murid melihat kebesaran ciptaan Tuhan, manakala guru Sejarah menghidupkan teladan kepimpinan dan keadilan. Guru bukan sekadar pengajar, tetapi Uswah Hasanah – teladan akhlak yang mendidik melalui perbuatan, bukan hanya kata-kata.
Ekosistem tarbiah
Pembinaan karakter tidak boleh bergantung kepada sekolah semata-mata. Ia memerlukan ekosistem menyeluruh melibatkan guru, ibu bapa, masyarakat dan budaya sekitar. IKRAM-MUSLEH menekankan kesinambungan nilai antara rumah, sekolah dan komuniti.
Matlamat akhirnya ialah melahirkan pelajar self-regulated – individu yang tetap berakhlak walaupun tanpa pengawasan, membuat keputusan bermoral atas kesedaran dalaman.
Bahaya “nifak akademik”
Ada cadangan menjadikan pembinaan nilai sebagai subjek dengan peperiksaan dan markah tertentu. Namun pendekatan ini berisiko melahirkan generasi yang berpura-pura berakhlak demi gred.
Fenomena ini, yang saya istilahkan sebagai “nifak akademik”, merosakkan keikhlasan dan membunuh nilai daripada menjadi amalan hati. Karakter tidak boleh diukur melalui ujian bertulis, tetapi melalui tindakan, amalan berterusan dan hubungan sosial.
Penilaian karakter mesti bersifat formatif – pemerhatian guru, portfolio sahsiah, refleksi murid dan dialog pembimbingan.
Kokurikulum sebagai makmal nilai
Nilai ini tidak berkembang hanya melalui teori. Bilik darjah memberi kefahaman, tetapi kokurikulum menyediakan ruang untuk mempraktikkannya. Aktiviti seperti kem kepimpinan, projek khidmat masyarakat, pasukan beruniform dan kelab kesukarelawanan menjadi “makmal nilai” yang berkesan.
Murid belajar empati ketika membantu golongan kurang berkemampuan, disiplin melalui aktiviti fizikal dan kerjasama dalam tugasan kumpulan. Seperti yang saya tekankan, bilik darjah membina kefahaman, tetapi kokurikulum membina manusia.
Tarbiah digital
Generasi kini membesar dalam dunia digital. Media sosial membentuk bahasa, tingkah laku dan pandangan mereka. Justeru, pendidikan karakter mesti merangkumi literasi digital dan adab digital.
IKRAM-MUSLEH mengamalkan Digital Tarbiyyah, melatih murid menjadi pengguna media beretika – bijak menilai maklumat, tidak menyebarkan fitnah, beradab ketika berkomunikasi dan memahami tanggungjawab moral sebagai warga digital. Guru pula berperanan sebagai “teladan digital” agar murid melihat bagaimana nilai diaplikasikan di alam maya.
Penilaian holistik
Untuk menilai sahsiah, IKRAM-MUSLEH menggunakan Pentaksiran Konstruk Pelajar Musleh (PKPM). Sistem ini menilai pelajar dalam dimensi disiplin, amanah, kepimpinan, tanggungjawab sosial dan ciri-ciri Muwasofat Tarbiah. Fokusnya bukan menghukum, tetapi membimbing agar setiap murid berkembang sesuai dengan potensi diri.
Penutup
Malaysia tidak memerlukan lebih ramai pelajar yang hanya cemerlang di atas kertas. Kita perlukan pemimpin masa depan yang berintegriti, berempati, berdisiplin dan mampu membuat keputusan beretika. Pembinaan karakter adalah asas kepada aspirasi Malaysia Madani – masyarakat beradab, progresif dan sejahtera.
Jika kita berani mengembalikan nilai dan akhlak ke pusat pendidikan, insya-Allah kita akan berjaya melahirkan generasi masa depan yang bukan sahaja pintar, tetapi benar-benar manusia.
Dr. Omar Yaakob
Pengerusi Rangkaian Sekolah IKRAM-MUSLEH




