Perang Iran: Sedia Hadapi Krisis Ekonomi Menuju 2027?
Geopolitik dunia tidak pernah berada dalam keadaan sesukar ini. Apabila bom pertama jatuh di Tehran pada penghujung Februari lalu, ramai menyangka ia sekadar “pertunjukan jaguh” Donald Trump untuk mengukuhkan pengaruh Amerika Syarikat di persada kuasa dunia.
Hakikatnya, memasuki April 2026, realitinya jauh lebih pahit. Pengesahan kematian Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, jauh panggang dari api menamatkan sengketa. Sebaliknya ia telah membuka kotak Pandora yang bakal mengheret ekonomi dunia ke satu fasa “perang keletihan” yang panjang.
Bagi rakyat Malaysia yang masih dalam emosi raya, kita harus bersiap siaga. Meskipun menurut laporan JP Morgan, negara Malaysia antara negara di Asia yang bakal mengemudi krisis dengan baik berbanding jiran-jiran kita di Asia Tenggara. Pasti Malaysia akan merasai kesan jika konflik ini terus-menerus berpanjangan.
Tanda aras 60 hari: Trump dan Kongres AS
Dalam tempoh dua bulan akan datang menjelang bulan Jun, dunia bakal sekali lagi menonton drama pertarungan antara Kongres dan Pejabat Presiden Amerika Syarikat (AS). Di bawah War Powers Resolution 1973, mana-mana Presiden AS mempunyai tempoh masa 60 hari untuk mengerahkan tentera ke kancah peperangan tanpa restu rasmi daripada Kongres.
Pada 4 Mac yang lalu, Kongres dengan usul menghalang operasi Trump terhadap Iran gagal dengan 47 menyokong dan 53 menolak. Kongres yang dikuasai tipis Parti Republikan masih lagi bersetuju dengan perang Trump.
Trump dijangka akan mencabar had masa ini jika ada usul baru selepas dua bulan. Beliau tidak akan tunduk kepada kuasa Parlimen. Bagi Trump, mengundur tentera selepas 60 hari tanpa kemenangan mutlak adalah satu penghinaan kepada imej “America First“.
Jika Kongres berjaya meluluskan usul, Trump berisiko besar akan mengisytiharkan darurat nasional bagi memintas usul Kongres. Namun tindakan ini akan menyebabkan pasaran kewangan dunia jatuh sakit dan “demam” akibat ketidakstabilan politik di Washington.
Pilihan raya pertengahan penggal AS November 2026
Mengapa Trump begitu agresif? Jawapannya terletak pada Pilihan Raya Pertengahan Penggal (Midterm Elections) pada bulan November 2026 nanti.
Trump memerlukan naratif “Penyelamat” bagi memastikan parti Republikan mengekalkan penguasaan di Kongres. Beliau mahu membuktikan bahawa di bawah pimpinannya, AS mampu melumatkan ancaman nuklear Iran dan proksinya secara total.
Namun, ia adalah pertaruhan yang sangat berbahaya. Jika kempen ketenteraan ini gagal membuahkan hasil pantas menjelang November 2026, dan rakyat AS mula merasai kesan inflasi yang mencecah dua angka, pengundi AS mungkin akan “menghukum” beliau di peti undi.
Sekiranya Demokrat merampas semula Kongres, berkemungkinan Kongres akan menghentikan perang dengan lebih awal. Jika tidak, Trump akan meneruskan operasinya terhadap Iran.
Analisis: Game Theory dan perangkap “Pareto-Inferior”
Di sinilah kita perlu memahami konsep Pareto-Inferior dalam situasi perang. Ia adalah teori satu keadaan semua pihak memilih jalan yang paling merugikan, walaupun ada jalan bagi kedua-dua pihak untuk selamat.
Bayangkan dua buah lori yang berebut laluan di jambatan sempit. Jika kedua-duanya mengalah iaitu berdamai, mereka akan selamat. AS dan Israel boleh menghentikan serangan dan Iran boleh kembali ke meja rundingan. Situasi ini dinamakan “Pareto-Superior”.
Namun, oleh kerana ego dan tidak percaya satu sama lain, kedua-dua pemandu ini memilih untuk melanggar satu sama lain. Akhirnya, kedua-dua lori hancur dan pemandunya cedera parah. Dalam keadaan ini “semua orang rugi” walaupun ada jalan untuk “semua orang selamat”. Situasi inilah yang dipanggil Pareto-Inferior.
AS memulakan langkah awal dengan melancarkan lebih 13,000 bedilan udara. Logiknya mudah. Mereka mahu menghancurkan keupayaan Iran sebelum Iran sempat bertindak balas.
Namun, dalam situasi Pareto-Inferior, setiap bom yang dijatuhkan sebenarnya memakan diri sendiri. AS terpaksa membelanjakan trilion dolar simpanan mereka, menyebabkan hutang nasional mereka melonjak ke paras yang tidak mampan.
AS berjaya memusnahkan bangunan di Tehran, tetapi mereka gagal memusnahkan ideologi proksi Iran yang kini mula menyerang pangkalan AS di seluruh dunia. AS terperangkap dalam peperangan yang kosnya berpanjangan.
Di pihak Iran pula, menyedari mereka mereka tidak mampu menandingi teknologi udara AS, mereka telah memilih langkah nekad. Iran menutup laluan utama minyak dunia Selat Hormuz. Dalam Game Theory, tindakan ini dipanggil “Burning Bridges”.
Tehran sengaja mengucar-ngacirkan laluan perdagangan minyak dunia. Walaupun tindakan ini menyebabkan ekonomi Iran terganggu dan rakyat mereka menderita, hal ini memaksa AS dan negara sekutunya untuk turut merasai kepedihan yang sama.
Iran beranggapan: “Jika kami tidak boleh menjual minyak, maka tiada sesiapa di dunia ini boleh menikmati minyak yang murah.” Ia adalah tindakan rasional dalam situasi yang tidak rasional, memilih kehancuran bersama daripada menyerah kalah secara memalukan.
Hasilnya? Kedua-dua AS dan Iran berada dalam keadaan yang paling buruk. Ibaratnya begini, tiada siapa mahu berhenti dahulu kerana sesiapa yang berhenti menyerang akan dianggap “kalah”. Akhirnya, dunia terpaksa menanggung kesan daripada ego dua kuasa yang sedang bertarung ini.
Risiko berpanjangan sehingga sembilan bulan?
Mengapa kita menjangkakan perang ini jika berlarutan boleh mengakibatkan risiko berpanjangan sehingga sembilan bulan iaitu sehingga Januari 2027? Menurut telahan pakar geopolitik AS di Universiti Chicago, Prof. John Mearsheimer, perang ini tidak akan berakhir dalam masa singkat.
Pertama, Ketandusan Logistik Ketenteraan. Walaupun AS nampak gagah, simpanan peluru berpandu pintar dan aset teknologi tinggi mempunyai hadnya.
Data sejarah menunjukkan intensiti peperangan tahap “Epic Fury” biasanya akan mencapai titik tepu dalam tempoh enam hingga sembilan bulan. Selepas Januari 2027, AS tidak lagi mempunyai pilihan selain mengurangkan intensiti serangan kerana kekurangan stok senjata canggih.
Kedua, Kitaran Ekonomi Suku Tahun. Ekonomi global boleh menahan nafas dengan harga minyak $120 setong untuk satu atau dua suku tahun. Namun, masuk suku ketiga (bulan kesembilan), “oksigen” ekonomi bakal habis.
Syarikat pembuatan di Malaysia yang bergantung kepada bahan mentah import akan mula mengalami kerugian besar. Menjelang Januari 2027, apabila dunia tidak lagi mampu menyerap kos perang ini, satu bentuk rundingan terpaksa dilakukan.
Ketiga, Kestabilan Politik Iran. Selepas kehilangan Khamenei, rejim Iran memerlukan masa untuk konsolidasi kuasa. Sembilan bulan adalah tempoh “matang” untuk melihat sama ada kumpulan konservatif IRGC akan terus berkuasa atau kelompok teknokrat yang lebih pragmatik akan mengambil alih untuk menyelamatkan apa yang berbaki daripada negara itu.
Impak kepada Malaysia: Strategi “neutral agresif“
Bagi Malaysia, sembilan bulan ini adalah tempoh ujian yang amat getir. Malaysia adalah negara dagangan. Apabila laluan perdagangan Asia-Eropah terganggu, kos logistik akan melonjak.
Walaupun kita pengeluar gas dan minyak, kita tetap terpaksa berhadapan dengan “inflasi import”. Harga barang makanan yang diimport akan naik mendadak akibat kos pengangkutan yang tinggi.
Dalam konflik ini, Malaysia perlu mengamalkan doktrin “Aggressive Neutrality“. Kita tidak boleh sekadar menjadi pemerhati bisu. Malaysia perlu agresif menggunakan saluran diplomatik untuk mendesak gencatan senjata antara AS dan Iran sepertimana yang sedang diusahakan oleh Pakistan ketika ini.
Kesimpulan
Sudah tiba masanya kita mengamati isu perang di Asia Barat sebagai satu usaha untuk sentiasa bersiap sedia dan mengambil langkah berjaga-jaga. Tidak perlu menyebarkan ketakutan yang tiada asas dan bukti cerita.
Rakyat Malaysia dinasihati agar kekal berjimat cermat, tidak berbelanja mewah dan mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi.
Sangat dikhuatiri, meskipun peperangan ini bakal berakhir secara rasmi, kesannya akan masih dirasai selama beberapa bulan hingga awal 2027 nanti.
Auzaie SM
Penyelidik Geopolitik
Nusantara Academy for Strategic Research (NASR)




