Maklum Balas Kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Pemisahan Fungsi Peguam Negara-Pendakwa Raya Ketengahkan Empat Aspek Penambahbaikan
Kuala Lumpur, 2 April 2026: Cadangan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, melalui pengenalan Perkara 145A dan 145B Perlembagaan Persekutuan, merupakan peluang penting untuk memperkukuh kebebasan pendakwaan, mengurangkan risiko campur tangan eksekutif, dan memulihkan keyakinan awam terhadap sistem keadilan jenayah.
Kami, organisasi masyarakat sivil yang menandatangani kenyataan ini, menyambut baik pengenalan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 (“RUU”) sebagai satu langkah penting ke arah reformasi institusi yang telah lama dinantikan di Malaysia. Wakil kami telah dijemput menghadiri sesi libat urus bersama Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen mengenai Pindaan Perlembagaan berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya untuk memberikan pandangan dan maklum balas berkenaan RUU ini.
Namun, analisis terhadap kandungan RUU menunjukkan wujud beberapa kelompongan dan kelemahan asas yang memerlukan penambahbaikan substantif. Terdapat empat aspek yang menimbulkan kebimbangan berkaitan pemisahan fungsi Peguam Negara dan pewujudan Pendakwa Raya yang perlu ditambah baik, seperti yang digariskan di bawah:
1. Mekanisme Pelantikan Pendakwa Raya
Proses pelantikan pendakwa raya tidak boleh dikuasai oleh hanya satu pihak melalui kuasa budi bicara. Cadangan RUU ini memberikan kuasa budi bicara yang luas dan mengulangi status quo dengan memindahkan kuasa pelantikan pendakwa raya daripada Perdana Menteri (PM) kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Perkara ini mustahak bagi melindungi institusi diraja daripada konflik politik yang mungkin berlaku di masa hadapan.
Walaupun ada peruntukan di dalam cadangan RUU ini bagi YDPA mendapatkan syor daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP), namun pelantikan ahli-ahli SPKP yang secara langsung dan tidak langsung sebenarnya dilantik oleh YDPA atas nasihat PM, dilihat mengekalkan campur tangan eksekutif di dalam mekanisme pelantikan Pendakwa Raya.
Proses pelantikan pendakwa raya perlu dibuat dengan pelbagai lapisan bagi mewujudkan mekanisme semakan, kawalan serta kebertanggungjawaban yang lebih telus dan terbuka. Syor yang dicadangkan adalah untuk melibatkan Parlimen sebagai institusi yang mempunyai keabsahan demokratik bagi menyemak dan menapis calon-calon daripada SPKP sebelum diperkenan pelantikannya kepada YDPA.
2. Mekanisme Penamatan Pendakwa Raya
Mekanisme penamatan Pendakwa Raya perlu dirangka dengan matlamat yang seimbang untuk melindungi autonomi institusi daripada pengaruh politik dan mengelakkan pemusatan kuasa hanya kepada seorang Pendakwa Raya.
Secara praktikal dan realistik, sebarang tatacara pelantikan atau penamatan harus telus, diterbit, disemak dan diluluskan oleh Parlimen. Tempoh dan jaminan jawatan juga perlu ada tetapi tidak sehingga membolehkan seseorang memegang kuasa pendakwaan tanpa had yang munasabah. Tempoh seorang Pendakwa Raya perlu ditetapkan selama tujuh tahun dan umur bersara wajib pada 66 tahun (sambungan enam bulan), tanpa pilihan untuk memperbaharui tempoh tersebut.
Selain itu, satu Akta Pemberi Kuasa perlu diwujudkan bagi menggariskan kuasa dan peraturan-peraturan pembuatan keputusan, proses dan sebab penamatan Pendakwa Raya supaya tidak ada mana-mana pihak yang memegang kuasa mutlak ke atas status jawatan ini.
3. Mekanisme Kebertanggungjawaban Pendakwa Raya
Pendakwa Raya perlu diberikan kebebasan yang berimbang agar jawatan ini dapat bertindak secara bebas tanpa campur tangan atau arahan, mengekalkan budi bicara untuk mendapatkan perundingan apabila wajar, dan mempunyai mekanisme kebertanggungjawaban yang jelas kepada Parlimen dalam melaksanakan fungsi dan kuasa mereka.
Pendakwa Raya hendaklah diwajibkan membentangkan laporan tahunan kepada Parlimen bagi menjelaskan kes-kes yang berkepentingan awam yang berprofil tinggi. Pendakwa Raya juga hendaklah diwajibkan hadir apabila dikehendaki oleh jawatankuasa parlimen yang ditentukan untuk menjawab soalan berkenaan dasar, prestasi dan pentadbiran pendakwaan.
Selain itu, garis panduan yang jelas dan terbuka kepada akses awam hendaklah diwujudkan bagi mengawal keputusan pendakwaan, ambang pembuktian, rundingan pengakuan bersalah serta pemberhentian prosiding.
4. Penggubalan Akta Pemberi Kuasa (Enabling Act)
Satu Akta Pemberi Kuasa juga perlu digubal bagi menggariskan seluruh peranan Pendakwa Raya dan perkhidmatan yang berkaitan yang tidak dapat sepenuhnya dimasukkan ke dalam pindaan perlembagaan. Akta Pemberi Kuasa ini antara lain perlu memperincikan:
- Tugas utama perkhidmatan pendakwaan
- Syarat-syarat penggunaan kuasa pendakwaan
- Peraturan dan tatacara pelantikan serta perjawatan
- Kod etika dan kod tatalaku
- Penyelarasan hubungan Peguam Negara dan Pendakwa Raya
Kami menegaskan bahawa reformasi ini memerlukan kesepaduan antara pindaan RUU, penggubalan Akta Pemberi Kuasa dan pengawalan kuasa budi bicara perlembagaan.
Peluasan frasa “menurut budi bicara” tanpa kawalan berupaya menimbulkan risiko yang menjejaskan kebertanggungjawaban. Oleh itu, ketiga-tiga komponen ini mesti dilaksanakan secara saling melengkapi bagi memastikan prinsip perlembagaan diterjemahkan kepada pelaksanaan yang telus, terkawal dan berakauntabiliti.
Sekalipun RUU ini merupakan langkah penting, keberkesanannya bergantung kepada ketelitian dalam menangani isu pelantikan, penamatan dan akauntabiliti Pendakwa Raya. Tanpa penambahbaikan yang sewajarnya, reformasi berisiko kekal bersifat formal. Justeru itu, kami menggesa Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) untuk mempertimbangkan cadangan ini demi memastikan reformasi yang benar-benar bermakna dan efektif.
Susulan penyerahan dokumen kepada pihak BHEUU, kami juga berharap agar satu sesi pembentangan lisan dapat dipertimbangkan bersama pihak-pihak berkepentingan. Kami percaya bahawa sesi tersebut akan memberi ruang kandungan tersebut diperincikan serta menjawab sebarang persoalan yang memerlukan penjelasan lanjut oleh mana-mana pihak.
Dikeluarkan bersama oleh:
● BERSIH
● C4 Center
● Projek SAMA
● IDEAS
● IKRAM
● Rasuah Busters
● Maha Balakrishnan




