Kemeriahan Hari Raya: Hidupkan Roh Ziarah yang Pudar

Kemeriahan Hari Raya: Hidupkan Roh Ziarah yang Pudar | IKRAM

Masih terpahat dalam ingatan, gambaran sekumpulan kanak-kanak yang berlari-lari kecil menelusuri lorong kampung, baju baru berbau kedai, tidak kenal erti penat mahupun segan. 

Dari satu pintu ke pintu yang lain, rumah jiran, rumah cikgu, malah rumah orang lain yang namanya pun kita sendiri tidak pasti. Tuan rumah membuka pintu, senyuman sudah tersedia, terus menjemput masuk tanpa mempersoal siapa dan tujuan yang datang. Kita dilayan seperti tetamu yang telah lama dinanti.

Niat kanak-kanak itu memang sederhana, duit raya. Namun tanpa mereka sedar, sesuatu yang jauh lebih berharga sedang terjalin di setiap pintu yang diketuk. Mereka sedang membina jambatan antara jiwa-jiwa yang sebelum ini asing antara satu sama lain.

Itulah Syawal yang pernah kita warisi. Syawal yang kini perlahan-lahan semakin pudar rohnya.

Ziarah yang berubah wajah

Syawal masih disambut dengan meriah hari ini. Juadah masih memenuhi di meja, baju baru masih menjadi kemestian, rumah terbuka masih diadakan. Namun sesuatu telah berubah di sebalik keramaian itu, sesuatu yang tidak kelihatan pada mata tetapi terasa pada jiwa.

Ziarah kini terhad kepada kalangan yang “dikenali” sahaja. Jiran sebelah dinding pun tidak semestinya singgah. Ada yang datang pun tidak lama, duduk seketika sambil mata mencuri pandang skrin telefon, kemudian berlalu begitu sahaja. Tanpa kita sedari, prinsip “tak kenal, tak perlu ziarah” sudah meresap dalam diri.

Persoalannya, adakah ini Syawal yang Islam ajarkan?

Ziarah itu ibadat

Islam tidak pernah mensyaratkan perkenalan terlebih dahulu sebelum tangan dihulurkan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.” (Surah al-Hujurat: 10)

Sabda Rasulullah SAW turut mengingatkan: “Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hendaklah dia menghubungkan silaturrahim”. (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ziarah pada Syawal bukan sekadar adat turun-temurun yang boleh ditinggalkan begitu sahaja. Ziarah ialah ibadat, penyambung nadi ukhuwah Islamiah, yang tanpanya masyarakat kita akan terus lemah dari dalam walaupun nampak kukuh dari luar.

Ziarah cerminan penghayatan Islam yang menyeluruh

Amalan ziarah-menziarahi bukan berdiri secara sendiri. Amalan ini merupakan buah kepada penghayatan Islam yang menyeluruh. Hal ini dijelaskan melalui kerangka AISAR yang meletakkan lima tunjang dalam kehidupan seorang Muslim iaitu Akidah, Ibadah, Syariah, Akhlak dan Rahmah atau Dakwah.

Apabila akidah benar-benar meresap ke dalam jiwa, seseorang itu sedar bahawa setiap mukmin merupakan saudaranya tanpa mengira sama ada mereka berkenalan atau tidak. Ikatan iman jauh lebih dalam daripada ikatan kejiranan atau pertemuan di satu meja. Dengan keyakinan inilah, pintu rumah akan dibuka bukan atas dasar keselesaan, tetapi atas dasar keimanan.

Ibadah pula bukan sekadar solat dan puasa yang ditunaikan secara bersendirian. Ibadah yang benar-benar dihayati akan menyuburkan kepekaan jiwa terhadap orang-orang di sekeliling. Hati yang terlatih dengan ibadah akan lebih mudah tergerak untuk menghulur salam kepada jiran yang belum dikenali.

Syariah difahami bukan sebagai larangan semata-mata, malah sebagai panduan yang memelihara hak dan hubungan sesama insan, ziarah tidak lagi dirasai sebagai beban. Malah menjadi tanggungjawab yang dilaksanakan dengan lapang dada kerana syariah sendiri memandang tinggi amalan silaturahim.

Akhlak yang mulia pula tidak memilih siapa yang layak menerima layanan baik. Kanak-kanak yang dahulu berlari dari rumah ke rumah tanpa rasa segan itu adalah gambaran akhlak yang paling jujur, tulus, ikhlas tanpa mengharap balasan.

Tunjang Rahmah atau Dakwah menuntut kita agar kasih sayang itu tidak berkira. Rahmah yang sejati tidak berhenti pada ahli keluarga atau rakan karib sahaja

Rahmah merentas sempadan perkenalan, merangkul jiran, kenalan baru, malah orang yang baru sahaja kita temui di tangga masjid. Inilah roh dakwah yang paling halus, bukan melalui kata-kata, tetapi melalui langkah kaki yang sudi mengetuk pintu orang lain.

Kanak-kanak yang dahulu meronda satu kampung dengan langkah riang itu, tanpa mereka sedari, sedang menghidupkan kelima-lima tunjang AISAR dalam bentuknya yang paling ikhlas dan paling indah.

Sudah tiba masanya melangkah

Syawal masih panjang. Pintu masih boleh diketuk. Salam masih boleh dihulurkan walaupun kepada jiran yang namanya kita sendiri belum tahu. Beranikan diri melangkah, seperti kanak-kanak yang dahulu berlari tanpa rasa segan, tanpa mengira kenal atau tidak, tanpa menghitung apa yang akan diperoleh.

Hakikatnya, roh ziarah-menziarahi itu tidak hilang, hanya terpendam, menunggu kita yang sudi menghidupkannya semula.

Jiwa Syawal yang kita rindukan bukan pada mercun, bukan pada juadah, bukan pada sampul duit raya. Jiwa itu terletak pada langkah kaki yang berani mengetuk pintu dan hati yang ikhlas terbuka untuk menerimanya. 

Dan hati itu ialah yang ditempa oleh akidah yang teguh, ibadah yang khusyuk, syariah yang difahami, akhlak yang mulia dan rahmah yang tidak berkira.

Prof. Madya Dr. Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open Universiti Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia