Buli Siber di Media Sosial: Masa untuk Refleksi Diri

siber buli

Perkembangan teknologi komunikasi masa kini telah membawa perubahan ketara  terhadap bentuk interaksi sosial manusia, termasuklah dalam fenomena tingkah laku  agresif seperti buli.

Sekiranya pada masa lalu buli selalu berlaku dalam bentuk fizikal atau verbal secara bersemuka, namun perkembangan media sosial dan komunikasi dalam talian (online communication) telah melahirkan bentuk baharu yang dikenali sebagai buli siber. 

Peralihan ini tidak boleh dianggap perbezaan medium semata-mata, malah turut  mencerminkan mekanisme kuasa dalam medan sosial yang melangkaui had fizikal. 

Dalam bentuk tradisional, buli yang selalunya berlaku dalam ruangan sosial yang biasa dan boleh dikawal seperti sekolah, asrama, tempat kerja atau komuniti setempat, kini berubah ke dalam persekitaran digital yang mana sempadannya melangkaui sempadan fizikal.

Media sosial dan pelbagai platform komunikasi dalam talian lain membolehkan tindakan agresif berlaku tanpa kehadiran fizikal pelaku, bahkan mungkin berterusan tanpa had masa dan tempat. Keadaan ini menjadikan mangsa lebih sukar untuk mengelakkan diri daripada serangan yang berulang. 

Dalam senario ini, buli lebih mudah dilakukan meskipun tanpa unsur ketidakseimbangan kuasa yang berpunca daripada kelebihan fizikal, kedudukan sosial  atau sokongan kumpulan tertentu.

Faktor-faktor lain seperti anonymity (tidak dikenali) dan keupayaan dominasi digital seperti menyebarkan kandungan secara pantas atau kemahiran memanipulasi emosi pengguna media sosial lebih signifikan dalam konteks ini bagi pelaku buli siber.

Jika begitu, bukankah individu yang tidak mempunyai kelebihan fizikal atau kedudukan sosial yang tinggi dalam dunia nyata masih berpotensi menjadi pelaku agresif kerana risiko konfrontasi secara langsung yang hampir tiada?

Penting kesedaran sosial terhadap bahaya buli siber 

Meskipun buli siber tidak melibatkan sentuhan fizikal yang mencederakan, tetapi kesan psikologinya sering lebih bersifat mendalam dan berpanjangan. Hal ini berkait rapat  dengan sifat komunikasi digital yang membolehkan penghinaan atau serangan tersebar kepada audiens yang besar dalam masa yang singkat.

Tambahan pula, kandungan digital  berbentuk gambar, video atau mesej memalukan boleh kekal lebih lama dalam talian dan diulang kongsi (share) oleh pengguna lain tanpa had. 

Keadaan ini menyebabkan pengalaman mangsa bukan sahaja bersifat peribadi dan tersorok, malah boleh ditonton dan dikonsumsi secara meluas sehingga mencetuskan penilaian dan penghakiman  masyarakat yang tidak sedar akan bahaya buli siber. 

Satu lagi faktor penting ialah sifat komunikasi digital yang cenderung mengurangkan unsur kemanusiaan dalam interaksi.

Berbeza dengan komunikasi  bersemuka yang merangsang empati melalui ekspresi muka, bahasa tubuh dan reaksi emosi mangsa, interaksi dalam talian yang berlaku melalui teks, imej atau simbol yang tidak memaparkan sepenuhnya keadaan emosi mangsa boleh menyebabkan mudah bagi pelaku untuk meluahkan kata-kata yang bersifat menghina tanpa menyedari kesannya terhadap orang lain.

Implikasinya sekali lagi menyebabkan ketidaksedaran mengenai isu buli siber ini cenderung meningkatkan bilangan pelaku tanpa diri mereka sendiri menyedari hal tersebut. 

Dengan perkembangan semasa yang mana masyarakat semakin berhubung secara meluas dengan tempoh yang lebih lama dalam talian, buli sangat berpotensi mengambil bentuk yang lebih kolektif.

Tanpa disedari, serangan terhadap individu atau pihak tertentu kadangkala berlaku secara beramai-ramai melalui penyertaan pengguna lain dalam ruangan maya sehingga menimbulkan fenomena penghinaan awam atau tekanan sosial berskala besar hingga mengakibatkan impak mendalam dan teruk terhadap mangsa.

Untuk menghukum perlakuan sebegini juga sangat sukar kerana sempadan antara kritikan sosial yang sah dan tindakan buli menjadi semakin susah untuk dibezakan. Oleh itu, penting bagi masyarakat untuk menyedari bahaya fenomena buli siber. 

Jika diambil satu contoh bagaimana buli siber memberi kesan psikologi yang besar terhadap mangsa, lihatlah kes Rajeswary Appahu, atau lebih dikenali sebagai Esha, yang pernah aktif di TikTok.

Ironinya akhbar Time melaporkan, beliau telah ditemui meninggal dunia pada 5 Julai 2024, kira-kira sehari selepas membuat laporan polis mengenai ancaman dan gangguan yang diterimanya di media sosial.

Sebelum tragedi tersebut, Esha dilaporkan menjadi sasaran serangan berterusan di platform digital yang menyebabkan beliau dihujani dengan kata-kata hinaan, ugutan bunuh dan rogol serta pelbagai bentuk gangguan yang disaksikan oleh ramai pengguna Internet. 

Tindakan melampau warga digital itu bukan sahaja menyerang diri Esha, malah turut menyentuh soal keluarga dan maruah peribadinya. 

Kes ini telah menggoncang masyarakat kerana ia menunjukkan bahawa kata-kata  yang dilontarkan di alam maya tidak pernah benar-benar hilang, malah setiap penghinaan, ugutan dan sindiran yang disebarkan kepada ribuan pengguna lain akhirnya akan melekat dalam minda mangsa sebagai tekanan psikologi yang sangat berat dan mengganggu.

Apatah lagi bagi sesetengah “komen” atau “gurauan Internet”, bagi mangsa mungkin menjadi beban emosi yang berlarutan setiap saat. Bagi kes Esha, tekanan  tersebut berlaku secara terbuka di hadapan khalayak digital yang besar, menjadikan penderitaan itu seolah-olah keseronokan bagi seluruh pengguna Internet.

Tragedi ini akhirnya menjadi luka besar dalam pengalaman bersosial masyarakat moden di Malaysia kerana ia membuktikan betapa serius kesan buli siber hingga menggugat kesejahteraan mental dan mencetus keperluan pengukuhan undang-undang menangani buli siber. 

Apa kata Islam mengenai buli siber?

Berdasarkan kes Esha yang diceritakan di atas, saya mahu menarik perhatian pembaca  dengan satu persoalan:  

“Adakah kita atau ahli keluarga kita pernah terlibat dengan buli siber?”

Jika jawapannya adalah “ya”, maka perlu ditanya lagi:  

“Apakah kesan tindakan kita atau ahli keluarga kita itu terhadap mangsa buli siber?” Nauzubillah, kita tidak mahu perbuatan kita, meskipun dianggap kecil, dapat memberi kesan mendalam sehingga mangsa mungkin bunuh diri.

Jika mangsa membunuh diri disebabkan salah satunya ialah perbuatan kita, kita mungkin akan memikul dosa membunuh walaupun secara tidak langsung. Allah SWT melalui surah Qaf ayat 18 telah berfirman: 

Tidaklah seseorang itu mengucapkan sesuatu perkataan melainkan di sisinya ada malaikat Raqib dan ‘Atid (yang sentiasa mencatat amalan baik dan buruk).” (Qaf: 18) 

Peringatan ini bermaksud setiap mesej, komen atau hantaran di media sosial juga tidak  terlepas daripada kategori perkataan yang akan dipertanggungjawabkan suatu hari nanti.  Oleh sebab itu, setiap Muslim sangat dituntut untuk menimbang kesan kata-katanya  sebelum menulis atau berkongsi sesuatu di ruangan digital. 

Islam melarang keras perbuatan menghina, mengejek dan memalukan orang lain.  Meskipun larangan Islam tidak secara langsung membabitkan fenomena buli siber yang  berlaku secara bertulis dan di ruangan sosial maya, akan tetapi kesan daripada perbuatan itu adalah sama dengan perbuatan menghina dan mengejek secara verbal.

Maka secara langsung, hukumnya boleh dianggap sama. Telah diriwayatkan daripada at-Tirmidzi dan Ahmad bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

Seseorang mukmin itu tidak seharusnya dikenali sebagai seorang yang suka bertelagah, saling melaknat, bercakap jijik atau berlidah jahat.” (HR al-Tirmizi (1977), Ahmad (3839))

Tidakkah cukup bagi kita, Rasulullah SAW menjadi teladan yang baik dalam berkomunikasi dengan manusia, termasuklah terhadap orang Yahudi yang menyakiti baginda?

Telah diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah SAW pernah melalui sekumpulan Yahudi yang memusuhi baginda, lalu kumpulan Yahudi itu berkata secara mengejek: “السَّامُ عليك يا أبا القاسمِ“.

Ucapan ini sebenarnya merupakan permainan bunyi yang mempersendakan ucapan salam umat Islam. Orang Islam biasa mengucapkan “As-Salamu ‘Alaykum” yang bermaksud “Sejahtera ke atas kamu”, namun mereka menukar sebutannya kepada “As-Samu ‘Alaykum”, yang membawa maksud  “Kecelakaan ke atas kamu”. Lantas, apakah jawab baginda?

Di sini, kita mempelajari sesuatu yang indah daripada hikmah Rasulullah SAW. Walaupun baginda diejek dengan cara yang licik tersebut, Rasulullah SAW tidak bersegera marah atau melontarkan kata-kata kasar, sebaliknya hanya menjawab dengan penuh bijaksana dan berhati-hati: Wa‘alaykum(dan ke atas kamu juga), tanpa menyebut sama ada “sejahtera” ataupun “kecelakaan”.

Bahkah isteri baginda, iaitu Aisyah r.a., yang  turut ada ketika itu berasa marah, tetapi telah ditegur dengan tegas oleh Rasulullah SAW dengan berkata: 

مَهْ يا عائشة، فإن الله لا يحب الفحش والتفحش

Cukuplah wahai Aisyah, sesungguhnya Allah SWT tidak suka kata-kata dan perbuatan keji.” (HR Muslim, 2165)

Peristiwa ini menunjukkan bahawa Allah SWT dan Rasulullah SAW tidak suka kata-kata keji meskipun kepada musuh Islam. Rasulullah SAW lebih gemar memilih jalan yang  penuh hikmah, tenang dan beradab dalam setiap kata-kata baginda dan hal ini wajar menjadi panduan penting bagi umat Islam dalam menguruskan komunikasi harian, termasuklah dalam ruangan digital pada masa ini

Ramadan sebagai fasa perubahan kepada kita dan keluarga kita 

Secara keseluruhannya, perkembangan daripada buli fizikal kepada buli siber yang dapat dilihat serius pada hari ini menunjukkan bahawa fenomena buli pada asasnya berkait dengan dinamika kuasa dalam masyarakat.

Teknologi digital tidak mencipta dorongan  tersebut, tetapi sekadar mengubah medium, memperluas skala dan mempercepat penyebarannya, sekali gus memperbesarkan impak tanpa kita sedari.

Sehubungan itu, memahami perubahan ini penting agar masyarakat lebih peka terhadap implikasi sosial, psikologi dan budaya yang timbul dalam era komunikasi digital kini

Dalam suasana bulan Ramadan yang mulia, kesedaran ini sepatutnya menjadi lebih mendalam bagi seluruh umat Islam. Kita perlu sedar Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga latihan untuk menahan lidah, tulisan dan emosi daripada perkara yang sia-sia, apatah lagi jika perkara itu berpotensi menyakitkan orang lain.

Jika dalam kehidupan harian kita dituntut meninggalkan kata-kata yang buruk, maka  tuntutan itu menjadi lebih besar apabila komunikasi berlaku di ruang siber yang boleh disaksikan oleh ribuan manusia.

Setiap komen, hantaran atau sindiran yang ditulis di media sosial berpotensi menjadi dosa yang berpanjangan apabila ia tersebar luas dan terus dibaca oleh orang lain. 

Ramadan seharusnya menjadi waktu untuk kita membersihkan diri daripada budaya komunikasi yang merosakkan, termasuk perbuatan menghina, mengejek atau menyebarkan kebencian di alam maya.

Umat Islam digalakkan menjadikan puasa sebagai benteng akhlak, yang mendidik diri supaya menahan kemarahan dan memilih kata-kata yang baik.

Dalam masa yang sama, doa pada waktu malam, khususnya dalam qiyam serta tahajud setiap malam Ramadan, menjadi ruang untuk memohon perlindungan Allah SWT agar diri dan ahli keluarga dipelihara daripada fitnah zaman akhir yang semakin mencabar melalui teknologi dan media digital. 

Semoga dengan kesedaran ini, komunikasi dalam talian tidak lagi menjadi medan  untuk melampiaskan emosi negatif atau merendah-rendahkan orang lain. Sebaliknya, biarlah teknologi itu menjadi ruang bagi kita untuk menyebarkan kebaikan, nasihat dan hikmah.

Ramadan mengingatkan kita bahawa setiap perkataan yang ditulis dan setiap mesej yang dihantar tetap berada dalam pengetahuan Allah SWT, dan hanya komunikasi yang beradab serta penuh ihsan yang akan membawa keberkatan kepada diri, keluarga dan masyarakat. 

Tidakkah engkau melihat bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu:  kalimah yang baik adalah sebagai pohon yang baik, pangkalnya (akarnya) tetap teguh, dan pucuknya menjulang ke langit?” (24) 

“Pokok itu mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya, dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mengambil pengajaran).” (25)

“Dan bandingan kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi, tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup. (26).

Allah menetapkan (pendirian) orang-orang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat, dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim. (Sesungguhnya) Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-Nya.” (27) (Surah  Ibrahim: 24-27) 

Dr Amer Hudhaifah Hamzah

Ahli Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia