Tinggal seminggu sahaja lagi tahun 2025 akan melabuhkan tirainya. Setiap kali tiba hujung tahun, kita akan membuat kira-kira kewangan bagi menutup “buku kira-kira” tahun semasa dan membuat perancangan untuk kewangan tahun hadapan.
Selain daripada membuat simpanan rekod-rekod kewangan untuk tujuan pengemaskinian cukai, pelaksanaan zakat turut dituntut untuk disemak sama ada telah diselesaikan tanggungjawab agama tersebut atau masih lagi tertangguh.
Penulisan artikel lalu telah membahaskan perbincangan jenis-jenis zakat yang boleh dikeluarkan daripada jenis zakat harta. Untuk penulisan kali ini, fokus diberikan kepada zakat pendapatan daripada jenis gaji memandangkan zakat jenis ini menyumbang kepada pembayaran zakat yang tinggi di pusat pungutan zakat.
Walau bagaimanapun, masih ramai di luar sana yang keliru dengan kewajipan membayar zakat pendapatan mahupun kekeliruan tentang kaedah pembayaran zakat berkaitan pendapatan.
Asal-usul zakat pendapatan
Asal-usul zakat pendapatan adalah daripada pengertian mal al-mustafad yang dirujuk kepada sesuatu yang diperoleh oleh seseorang dan memiliki pemilikan baru sewaktu dalam haul bersumberkan sumber yang diakui oleh syarak.
Terdapat beberapa kategori zakat mal al-mustafad iaitu hasil perdagangan dan ternakan, pendapatan daripada perkhidmatan profesional, pendapatan daripada kerja bermajikan dan pendapatan luar jangka.
Kewajipan zakat mal al mustafad adalah berdasarkan dalil umum daripada al-Quran dan as-Sunnah seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 267 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada hasil yang baik yang kamu usahakan dan sebahagian daripada apa yang kami telah keluarkan dari bumi untuk kamu.”
Tafsiran ulama seperti Abdullah ibn Abbas, Ali bin Talib dan at-Tabari terhadap perkataan “ma kasabtum” dalam firman Allah SWT tersebut merujuk kepada maksud orang yang mengusahakan sesuatu dengan bersusah payah atau senang untuk mengumpulkan emas dan perak. Selain itu, terdapat juga hadis nabi SAW yang bermaksud:
“Wajib kepada setiap orang Islam menunaikan zakat. Jika mereka bertanya, wahai Nabi Allah, sekiranya kami tidak mempunyai harta, bagaimana? Jawab baginda Nabi SAW: Berusahalah dengan sepenuh tenaga bagi menyara diri, kemudian bayarlah zakat.” (Riwayat al-Bukhari dan al-Nasai’)
Kewajipan zakat diperhatikan dalam hadis tersebut dan tidak hanya tertakluk kepada keuntungan harta modal atau zakat wajib tetapi turut merangkumi seluruh usaha dan pekerjaan, pendapatan dan perkhidmatan yang dilakukan.
Walaupun pada zaman Nabi SAW zakat pendapatan tidak diwajibkan secara langsung, namun kita boleh menganalisis pengamalan konteks kerja serta upah dan bentuk pembayaran upah yang telah dilaksanakan.
Upah pada ketika itu dibayar dalam bentuk dinar dan dirham dan dari situ datangnya kewajipan untuk membayar zakat emas dan perak.
Dalam konteks hari ini, gaji dibayar dalam Ringgit Malaysia, maka fiqh zakat perlu berjalan seiring dengan zaman. Justeru, fatwa di Malaysia telah mewajibkan zakat pendapatan daripada bentuk upah pekerjaan yang dilakukan dan dibayar dengan wang Ringgit Malaysia.
Kita juga boleh sama-sama fikirkan, jika seorang petani yang bekerja keras di bendang wajib membayar zakat pertanian hasil padi setiap kali menunai, wajarkah Ketua Pegawai Eksekutif kilang padi berpendapatan RM20,000 tidak dikenakan zakat pendapatan?
Berdasarkan senario tersebut, al-Imam Yusuf al-Qaradawi melalui kitab Fiqh Zakat menekankan isu ketidakadilan dan sewajarnya dikeluarkan ijtihad yang selari dengan tuntutan semasa.
Kedudukan haul dan nisab zakat pendapatan
Ulama empat mazhab menetapkan haul setahun untuk zakat pendapatan sebagaimana disebutkan dalam hadis riwayat at-Tirmizi:
”Sesiapa yang mendapat perolehan harta, tidak dikenakan zakat atas harta perolehannya sehingga sempurna haulnya di sisi Tuhannya.”
Nisab zakat pendapatan telah diqiaskan dengan zakat emas iaitu 85 gram emas. Oleh kerana gaji dan pendapatan berbeza atau berubah-ubah, al-Imam Yusuf al-Qaradawi mengemukakan dua alternatif iaitu:
- Nisab dikira bermula seseorang mendapat upah. Oleh itu, kewajipan zakat bermula pada waktu yang sama jika nisab mencukupi. Keadaan ini berlaku bagi orang yang mempunyai pendapatan yang besar sehingga melebihi nisab seperti golongan profesional.
- Nisab ditentukan apabila keseluruhan gaji atau pendapatan dikumpulkan pada waktu tertentu. Pengumpulan berlaku dalam tempoh satu tahun untuk mencapai nisab.
Menurut al-Imam Yusuf al-Qaradawi lagi, 2.5% akan dikenakan bagi zakat pendapatan apabila cukup nisab. Kaedah pembayaran zakat boleh dilakukan secara terus setelah menerima harta atau melewatkan pembayaran zakat sehingga penghujung haul beserta dengan harta-harta pendapatan yang lain.
Walau bagaimanapun, ia disyaratkan jika pemilik harta tidak bimbang hartanya akan habis dibelanjakan sewaktu menunggu tibanya haul. Imam Nawawi turut membenarkan bayaran zakat disegerakan sebelum tiba haul apabila harta tersebut mencukupi nisabnya.
Dalam menentukan bentuk pendapatan yang dikenakan zakat pula, para ulama berpandangan bahawa zakat pendapatan dikenakan ke atas pendapatan bersih setelah ditolak hutang (perkara yang wajib dibayar pada tahun semasa), sebarang bentuk pembiayaan (kos untuk mendapatkan hasil pendapatan) dan keperluan-keperluan asas.
Oleh sebab zakat diletakkan di bawah pentadbiran agama Islam negeri, terdapat kaedah pentaksiran yang berbeza. Justeru, setiap individu boleh merujuk terus kepada laman sesawang pengurusan zakat di negeri masing-masing.
Pemeliharaan harta dan pembelaan orang miskin
Syariah sering menitikberatkan perihal keadilan dan agihan kekayaan agar tidak timbul sifat hasad dan permusuhan dalam kalangan manusia. Jika dilihat dari sudut fiqh keutamaan, zakat pendapatan yang dibayar secara bulanan atau tahunan dapat memastikan kecukupan dana zakat untuk disalurkan secara konsisten kepada golongan fakir dan miskin.
Hal ini selaras dengan ciri-ciri syariah seperti digariskan dalam buku AISAR terbitan IKRAM iaitu nilai ijabiyyah (positif). Penekanan daripada nilai ini adalah usaha untuk melihat kehidupan berasaskan pandangan ijabiyyah (positif), iaitu selalu melakukan kebaikan dan menghidari keburukan.
Selain itu, zakat merupakan instrumen harta untuk membersihkan jiwa dan harta fizikal, seterusnya bagi memastikan kekayaan itu tidak berlegar dalam kalangan orang-orang kaya semata-mata.
Oleh hal yang demikian, dari sudut teknikal, pembayaran zakat melalui sistem tanpa menunggu haul dan atas dasar analogi zakat hasil seperti pertanian seperti yang dikemukakan dalam fatwa kontemporari adalah relevan jika dilihat dalam sistem gaji pada hari ini.
Kewajipan zakat pendapatan tidak dilihat semata-mata atas dasar ketaatan tetapi merupakan sumbangan besar ke atas kestabilan ekonomi umat.
Kefahaman dan rasa tanggungjawab yang direalisasikan dalam bentuk penunaian zakat pendapatan mampu menterjemahkan nilai keagamaan yang tinggi dan mencapai kehidupan sosial yang seimbang.
Dr. Wan Mohd. Al Faizee Wan Ab. Rahaman
Pensyarah Kanan & Koordinator MBA & MIBF
Arshad Ayub Graduate Business School, UiTM, Shah Alam




