Setiap tahun pada 3 Disember, dunia memperingati Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Antarabangsa, yang telah diisytiharkan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1992 melalui Resolusi 47/3. Sambutan ini bertujuan meningkatkan kesedaran global tentang hak, maruah dan kesejahteraan golongan OKU.
Sambutan tahun 2025 membawa tema “Masyarakat Inklusif OKU, Kunci Kemajuan Sosial” yang menekankan bahawa kemajuan sosial hanya boleh dicapai apabila masyarakat benar-benar inklusif dan memberi peluang kepada OKU untuk menyumbang, bukan sekadar aspirasi. Di Malaysia, sambutan ini memberi peluang untuk menilai sejauh mana pembelaan OKU dijadikan agenda penting dalam agenda Negara Rahmah.
Agenda Negara Rahmah berteraskan prinsip keadilan, kemanusiaan, kesaksamaan dan pemerkasaan insan. Prinsip ini tidak akan tercapai sepenuhnya sekiranya golongan OKU terus terpinggir dalam dasar, program dan penerimaan masyarakat.
Oleh itu, pembelaan OKU perlu dilihat sebagai hak yang mesti diberikan dan merupakan tanggungjawab bersama, bukan sekadar menghamparkan inisiatif kebajikan yang bersifat sementara. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujarat, ayat 13:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”
Ayat ini menegaskan bahawa nilai seseorang di sisi Allah adalah berdasarkan ketakwaan, bukan bangsa, warna kulit atau kekurangan fizikal dan menekankan kesaksamaan semua manusia. Ayat-ayat ini menjadi asas hukum dan etika dalam Islam untuk memastikan OKU diberi layanan yang baik, dihormati, tidak dipinggirkan dan mereka diberi kedudukan istimewa.
Isu OKU dan peranan masyarakat sivil
Isu OKU bukanlah perkara kecil. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, kira-kira 15 peratus penduduk dunia menghadapi pelbagai bentuk ketidakupayaan, sama ada fizikal, sensori, intelektual atau mental.
Namun, kadar pendaftaran OKU di Malaysia jauh lebih rendah daripada angka sebenar. Jurang ini menunjukkan kekurangan kesedaran, stigma sosial dan kelemahan sistem sokongan yang menyebabkan ramai OKU tidak dikenal pasti atau tidak mendapat hak mereka sepenuhnya.
Tambahan pula, salah faham tentang ketidakupayaan masih wujud. Banyak orang hanya melihat OKU sebagai masalah fizikal, sedangkan ia termasuk juga isu kesihatan mental, pembelajaran dan neurologi.
Salah faham ini menjejaskan akses OKU kepada pendidikan, pekerjaan dan penyertaan sosial. Kesedaran masyarakat amat penting supaya OKU diterima sepenuhnya sebagai sebahagian daripada pembangunan negara.
Peranan masyarakat sivil, terutama pertubuhan bukan kerajaan seperti Pertubuhan IKRAM Malaysia, sangat penting dalam menyokong usaha kerajaan. IKRAM aktif mengangkat isu OKU melalui advokasi, pendidikan masyarakat, sokongan kepada penjaga OKU serta penganjuran program kesedaran, dialog dasar dan aktiviti di peringkat komuniti.
Melalui usaha ini, golongan OKU bukan sahaja mendapat perhatian terhadap hak dan kesejahteraan mereka, tetapi turut diberi peluang untuk menyumbang kepada pembangunan negara. Peranan IKRAM selari dengan tema 2025, iaitu membina masyarakat inklusif OKU untuk kemajuan sosial.
Program-program yang dijalankan termasuk bengkel kepimpinan OKU, latihan kemahiran, pendedahan kepada teknologi bantuan dan sesi perkongsian pengalaman OKU sebagai pemimpin dalam pelbagai bidang.
Pembelaan menyeluruh dan bersepadu
Dalam kerangka Negara Rahmah, pembelaan OKU perlu dijalankan secara menyeluruh dan bersepadu. Sistem pentadbiran dan institusi perlu diperkukuh supaya isu OKU tidak hanya dilihat dari sudut kebajikan, tetapi juga sebagai agenda pembangunan.
Mekanisme pemantauan, penilaian dasar secara berterusan dan pengukuran pencapaian yang jelas perlu diwujudkan bagi memastikan hak OKU benar-benar dilaksanakan dan tidak sekadar wujud di atas kertas. Misalnya, kadar pengambilan OKU dalam sektor awam dan swasta perlu dipantau, dan dasar inklusif mesti diterapkan di semua peringkat organisasi.
Selain itu, pembangunan infrastruktur dan persekitaran mesra OKU harus diberi keutamaan. Accessibility (ketercapaian) termasuk kemudahan fizikal seperti bangunan, pengangkutan, ruang awam dan juga akses digital, maklumat dan perkhidmatan awam perlu diberi perhatian serius. Tanpa persekitaran yang mudah diakses, OKU akan terus menghadapi halangan yang menyekat potensi mereka.
Teknologi sokongan seperti peranti bantuan, aplikasi digital dan perisian khas boleh membantu OKU lebih mudah terlibat dalam pendidikan, pekerjaan dan kehidupan seharian. Pemanfaatan teknologi juga membuka peluang OKU untuk mengembangkan bakat kreatif dan inovatif, contohnya dalam bidang media, keusahawanan dan sains teknologi.
Pemerkasaan OKU melalui pendidikan, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan yang adil juga penting. Pendidikan inklusif yang melibatkan pelajar OKU bersama pelajar lain membantu membentuk kesedaran awal tentang kepelbagaian kemampuan serta memupuk sikap hormat dan toleransi.
Kepimpinan, sokongan dan kesejahteraan OKU
Peluang kepimpinan OKU dalam sekolah, universiti dan komuniti wajar diberikan supaya mereka dapat mengembangkan bakat, keyakinan diri dan kemahiran membuat keputusan. Aktiviti seperti program mentor-menti, kelab kepimpinan OKU dan latihan awam dapat melahirkan generasi OKU yang berdikari, berkeyakinan dan mampu memimpin dalam pelbagai sektor.
Sokongan kepada penjaga, sukarelawan dan komuniti yang terlibat juga sangat penting. Mereka membantu memastikan kesejahteraan, sokongan emosi dan pembangunan potensi OKU. Dengan pengiktirafan, latihan dan bantuan kewangan, usaha pembelaan OKU akan lebih berkesan.
Kesejahteraan OKU bergantung kepada kerjasama semua pihak dalam membina sistem sokongan yang merangkumi pendidikan, kesihatan, ekonomi dan sosial. Penjaga yang terlatih dapat mengurus keperluan OKU dengan lebih baik, sementara sukarelawan membantu meningkatkan kesedaran masyarakat dan mengurangkan stigma sosial.
Lebih jauh lagi, golongan OKU perlu diberi peluang menyertai aktiviti sosial, sukan dan kebudayaan. Penyertaan ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan diri, tetapi juga membina jaringan sosial dan membuka ruang kepimpinan.
Aktiviti berasaskan komuniti ini membolehkan OKU berkongsi pengalaman, memupuk kreativiti dan mengasah bakat mereka. Dengan pendekatan sebegini, masyarakat akan melihat OKU bukan sebagai golongan yang memerlukan simpati semata-mata, tetapi sebagai individu yang berdaya saing dan berpotensi menyumbang kepada negara.
Tingkatkan pembelaan
Kesimpulannya, meningkatkan pembelaan golongan OKU dalam agenda Negara Rahmah memerlukan pendekatan yang lebih daripada sekadar kebajikan; ia memerlukan hak, keadilan dan pemerkasaan.
Negara yang benar-benar Rahmah ialah negara yang memastikan tiada seorang pun warganya tertinggal dalam pembangunan. Golongan OKU berhak hidup bermaruah, diberi peluang menyumbang dan merealisasikan potensi diri sepenuhnya.
Tema Hari OKU Antarabangsa 2025 mengingatkan kita bahawa masyarakat inklusif OKU adalah asas kemajuan sosial, dan setiap usaha memperkasakan OKU adalah pelaburan jangka panjang bagi kesejahteraan semua.
Dr Mohd Yusri Ibrahim
Ahli Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)




