SEREMBAN – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) buat julung kalinya mengadakan Mini Karnival Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2025 bersempena Kempen Integriti dan Antirasuah (KIAR) 2025, sebagai usaha memperluas advokasi integriti dan pembanterasan rasuah secara lebih dekat bersama masyarakat.
Mini karnival yang berlangsung di AEON Mall Seremban 2 ini merupakan anjuran bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, Rasuah Busters dan AEON Mall Seremban 2, dengan sokongan belasan organisasi sebagai rakan strategik KIAR 2025.
Karnival bermula seawal jam 11.00 pagi menampilkan pelbagai reruai pameran daripada IKRAM, Rasuah Busters, SPRM dan Institut Integriti Malaysia (IIM), masing-masing membawa mesej advokasi berkaitan pembanterasan rasuah dan pemerkasaan nilai integriti daripada sudut peranan dan pendekatan tersendiri.
Turut memeriahkan karnival ialah jualan buku oleh Karangkraf Mall, zon komik dan seni lukisan yang diuruskan oleh IKRAMTeens Malaysia, serta zon rekreasi kanak-kanak yang dikendalikan oleh IKRAM Negeri Sembilan.
Zon kanak-kanak ini menyediakan aktiviti mewarna, sand art, permainan tradisional dan persembahan badut, sekali gus menjadikan pendekatan pendidikan integriti lebih mesra keluarga dan inklusif.


Permainan interaktif & Pocket Talk SPRM
Aktiviti di pentas utama dimulakan pada jam 12.00 tengah hari dengan permainan kad Build My Town (BMT) yang dikendalikan oleh C4 Center. Permainan ciptaan tempatan ini direka bagi membantu pemain memahami peranan seorang Ahli Parlimen dalam menegakkan tadbir urus yang baik, berintegriti serta menolak amalan rasuah.
Melalui pendekatan simulasi dan interaktif, konsep integriti, pembuatan dasar dan kesan rasuah diterjemahkan dalam bentuk yang lebih mudah difahami, menyeronokkan dan dekat dengan realiti kehidupan masyarakat.
Pada jam 1.30 tengah hari, karnival diteruskan dengan sesi Pocket Talk bersama komuniti yang disampaikan oleh Ketua Unit Pendidikan Masyarakat SPRM Negeri Sembilan, Pemangku Penguasa Mohd Adib Othman.
Dalam perkongsian tersebut, beliau menjelaskan pengenalan rasuah, bentuk-bentuk rasuah yang sering berlaku dalam kehidupan seharian serta kesan amalan rasuah terhadap individu dan negara. Sesi ini turut disusuli dengan kuiz interaktif bersama pengunjung bagi menguji tahap kefahaman serta menggalakkan penglibatan aktif masyarakat.


Peranan masyarakat bersama SPRM
Majlis perasmian Mini Karnival HARA 2025 bermula pada jam 2.00 petang dengan kehadiran Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail, diiringi Presiden IKRAM, Haji Badlishah Sham Baharin.
Dalam ucapan perasmian, beliau menegaskan bahawa SPRM sentiasa komited untuk berada dekat bersama masyarakat dan boleh dihubungi melalui saluran rasmi seperti telefon dan e-mel bagi melaporkan sebarang salah laku rasuah. Langkah ini penting bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar kepada masyarakat dan negara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada IKRAM dan Rasuah Busters atas penganjuran Mini Karnival HARA sebagai platform advokasi awam serta simbol kerjasama berterusan antara masyarakat sivil dan agensi penguatkuasaan dalam membanteras rasuah.

Gimik perasmian & persembahan seni
Gimik perasmian menampilkan Pengarah SPRM Negeri Sembilan bersama Ahli Jawatankuasa Pusat IKRAM, Dr Sabariah Baharun, merangkap Pengarah Mini Karnival HARA 2025, dan Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Puan Nurhayati Nordin, dengan mengibarkan Bendera KIAR sebagai simbolik komitmen IKRAM, Rasuah Busters serta organisasi-organisasi rakan sokongan KIAR dalam mendukung agenda integriti dan pembanterasan rasuah.
Bendera tersebut kemudiannya ditegakkan sebagai simbol bahawa agenda keadilan, integriti dan penolakan rasuah dalam apa jua bentuk dan situasi perlu terus diangkat dan diperkukuhkan, termasuk di ruang awam dan dalam kehidupan seharian masyarakat. Majlis turut disusuli dengan sesi bergambar bersama para pengunjung.


Majlis perasmian turut diserikan dengan persembahan deklamasi sajak oleh Encik Umar Mokhtar Abdullah, Juara Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Negeri Sembilan 2024 yang turut dikenali dengan gelaran Deklamator Kebangsaan, membawakan karya “Rasuah Yang Membarah” tulisan Minah Ahmad dan “Jerit Rakyat Dalam Perut Kuasa” karya Alkhair Aljohore.
Selain itu, persembahan bicara berirama bertajuk “Ayuh Fahami: Budi Pekerti, Malaysia Madani, Rasuah Dihindari” oleh murid-murid Sekolah Kebangsaan Felcra Bukit Kepong, Johan Pertandingan Bicara Berirama Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2024 dan 2025, turut mencuri perhatian pengunjung. Program ini juga diserikan dengan sesi cabutan bertuah yang melibatkan para pengunjung karnival.
Perluas kefahaman masyarakat
Majlis disudahi dengan kunjungan Pengarah SPRM Negeri Sembilan ke reruai-reruai pameran serta sesi ramah mesra bersama pempamer dan pengunjung. Mini Karnival HARA 2025 berjaya menarik kehadiran kira-kira 300 orang pengunjung dari seluruh Seremban dan kawasan sekitar, merangkumi pelbagai lapisan masyarakat.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan kolaborasi, rakan strategik Kempen KIAR, tetamu jemputan, mahasiswa, serta ibu bapa dan anak-anak yang hadir dan memberi sokongan padu terhadap penganjuran karnival ini.
Penganjuran Mini Karnival HARA 2025 membuktikan bahawa pendekatan advokasi integriti yang bersifat inklusif, santai dan mesra keluarga mampu memperluas kefahaman masyarakat bahawa usaha membanteras rasuah bukan sekadar tanggungjawab agensi penguatkuasaan, tetapi amanah bersama seluruh warga.




