SERI KEMBANGAN – Salah sebuah sekolah IKRAM Musleh, Sekolah Menengah Islam Al-Amin Bestari d’Merlimau melakar satu lagi detik bermakna apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Pendidikan Kepimpinan Swasta oleh Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.
Anugerah tersebut disampaikan kepada Pengetua sekolah itu, Ustaz Md Zubir Osman dalam Majlis Apresiasi Pendidikan JPN Melaka 2025 yang berlangsung pada Isnin, 24 November lalu di Hotel Mudzaffar, Ayer Keroh.
Penganugerahan itu mengiktiraf komitmen kukuh, kepimpinan berwibawa dan usaha konsisten yang ditunjukkan oleh SMI Al-Amin Bestari d’Merlimau dalam memperkasa pendidikan berteraskan nilai Islam serta pembangunan pelajar secara holistik.
Penghormatan tersebut sekali gus menandakan keyakinan pihak berkuasa pendidikan negeri terhadap sumbangan sektor pendidikan swasta dalam membantu memajukan kualiti pendidikan Melaka.
Musleh Integrated Education Berhad (MIEB) menyifatkan penganugerahan ini sebagai pengiktirafan bermakna terhadap dedikasi warga SMI Al-Amin Bestari d’Merlimau dalam menjunjung amanah pendidikan dan kepimpinan yang berkesan.
Majlis Apresiasi Pendidikan JPN Melaka merupakan acara tahunan rasmi yang menghimpunkan pendidik, pentadbir sekolah, serta institusi pendidikan negeri dan swasta bagi meraikan pencapaian terbaik dalam pelbagai kategori termasuk kepimpinan, inovasi pendidikan, pengurusan sekolah, hal ehwal murid dan amalan terbaik.
Penyertaan dan pengiktirafan kepada sektor swasta melalui anugerah seperti ini mencerminkan pendekatan inklusif JPN Melaka dalam mengangkat peranan semua penyumbang pendidikan dan mengukuhkan kerjasama awam-swasta untuk meningkatkan standard pendidikan negeri secara menyeluruh.
Kejayaan SMI Al-Amin Bestari d’Merlimau ini bukan sahaja membawa imej positif kepada sekolah, tetapi turut mengiktiraf usaha gigih para pendidik yang selama ini bekerja bersungguh-sungguh untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademiknya, tetapi berjati diri dan berakhlak mulia.
Sekali lagi, setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Ustaz Md Zubir serta seluruh warga SMI Al-Amin Bestari d’Merlimau atas pencapaian yang tulus dan bermakna ini.
Foto: FB JPN Melaka




