Selepas kewafatan Rasulullah SAW, umat Islam berhadapan dengan salah satu cabaran terbesar dalam sejarah awal pemerintahan Islam apabila sebahagian kabilah Arab enggan menunaikan zakat.
Umar al-Khattab r.a. berpandangan bahawa mereka masih berada dalam lingkungan Islam dan tidak wajar diperangi, manakala Abu Bakar al-Siddiq r.a. melihat keengganan tersebut sebagai ancaman terhadap kesatuan syariat dan kestabilan umat yang perlu ditangani dengan tegas.
Perbezaan pandangan itu bukanlah isu kecil. Ia menyentuh soal kewibawaan pemerintahan, kesatuan masyarakat dan masa depan umat Islam. Namun, yang lebih mengagumkan ialah cara kedua-dua sahabat besar ini menguruskan perbezaan tersebut.
Mereka berhujah dengan ilmu, berpegang kepada prinsip dan tetap menjaga penghormatan antara satu sama lain. Tiada tuduhan terhadap niat, tiada serangan terhadap peribadi, apatah lagi mempertikaikan keikhlasan sesama sendiri.
Apabila Umar r.a. melihat kekuatan hujah Abu Bakar r.a., beliau menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan bersama-sama melaksanakan tindakan yang diputuskan. Peristiwa ini menjadi contoh agung bagaimana perbezaan pandangan boleh diurus dengan adab dan kebijaksanaan.
Mengurus perbezaan pandangan
Inilah roh fiqh al-ikhtilaf, iaitu kefahaman tentang adab mengurus perbezaan pandangan. Perbezaan tidak perlu membawa perpecahan. Sebaliknya, ia boleh menjadi ruang untuk mencari keputusan yang lebih tepat, selama mana ia dibimbing oleh ilmu, keikhlasan dan bertujuan mencari kebenaran.
Islam tidak pernah mensyaratkan umatnya untuk sentiasa bersepakat dalam semua perkara. Bahkan sejarah Islam membuktikan para sahabat dan para imam mazhab berbeza pandangan dalam pelbagai isu hasil daripada proses ijtihad.
Namun, perbezaan itu tidak menghilangkan rasa hormat, ukhuwah dan tanggungjawab untuk menjaga maslahat bersama. Prinsip ini ditegaskan dalam firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara. Maka damaikanlah antara kedua-dua saudara kamu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat: 10)
Ayat ini menunjukkan bahawa asas hubungan sesama Muslim bukanlah persamaan pandangan dalam setiap perkara, tetapi ikatan persaudaraan yang dibina atas iman dan ketakwaan. Perbezaan mungkin tidak dapat dielakkan, namun memelihara hubungan sesama manusia tetap menjadi tuntutan.
Berbeza pandangan konteks Malaysia
Dalam konteks Malaysia hari ini, perbezaan pandangan dalam pelbagai isu merupakan sesuatu yang lumrah dalam sebuah negara demokratik dan masyarakat majmuk.
Kepelbagaian pandangan sepatutnya menjadi kekuatan yang memperkaya perbincangan serta membantu mencari penyelesaian yang lebih baik.
Namun, apabila perbezaan tidak lagi diurus dengan hikmah dan saling menghormati, ia mudah bertukar menjadi pertelingkahan yang menjarakkan hubungan sesama masyarakat.
Isu seperti kos sara hidup, pendidikan, tadbir urus, perpaduan dan dasar awam sering menjadi bahan perdebatan dalam ruang awam. Perbezaan pandangan terhadap isu-isu ini adalah sesuatu yang sihat dalam sebuah negara demokrasi.
Malangnya, tidak sedikit perbincangan yang akhirnya bertukar menjadi ruang sindiran, penghinaan dan serangan peribadi, khususnya di media sosial. Akibatnya, persoalan sebenar yang memerlukan penyelesaian bersama tenggelam dalam perselisihan yang berpanjangan.
Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila isu sensitif berkaitan kaum, agama atau identiti diperalatkan sebagai senjata politik untuk meraih sokongan. Perbezaan yang sepatutnya diraikan sebagai sebahagian daripada kepelbagaian masyarakat akhirnya dijadikan alat untuk membina sempadan antara “kita” dan “mereka”.
Naratif tertentu pula dibentuk melalui pengulangan yang berterusan, diperkukuh dengan sentimen emosi dan disebarkan secara meluas sehingga mempengaruhi cara masyarakat melihat kelompok yang berbeza daripada mereka.
Apabila keadaan ini dibiarkan, politik kebencian bukan sahaja merosakkan budaya berkomunikasi dengan adab dan hormat, malah turut menghakis kepercayaan dan perpaduan dalam masyarakat.
Fenomena politik kebencian
Fenomena ini menjadikan politik akan kehilangan tujuan asalnya apabila hanya dijadikan medan untuk memenangkan kelompok sendiri atau menjatuhkan pihak lawan.
Walhal, politik bukan semata-mata persaingan mendapatkan kuasa, tetapi merupakan amanah untuk mengurus kehidupan manusia dengan adil, menjaga kepentingan umum dan membawa kemaslahatan kepada masyarakat.
Ingatlah, matlamat politik yang sebenar bukanlah untuk mencipta permusuhan, sebaliknya menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat secara bijaksana dan berintegriti.
Atas dasar itulah, setiap tindakan dan keputusan politik perlu berpandukan maqasid syariah iaitu tujuan utama syariat dalam memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Apabila maqasid syariah dijadikan neraca, fokus perbincangan tidak lagi berkisar pada persoalan siapa yang menang atau siapa yang kalah. Sebaliknya, perhatian diberikan kepada persoalan yang lebih utama, iaitu apakah yang paling membawa manfaat kepada rakyat dan negara.
Perbincangan politik yang matang seharusnya tertumpu kepada usaha memperkukuh institusi keluarga, meningkatkan mutu pendidikan, memperkasakan ekonomi, membanteras rasuah, melindungi kebajikan golongan rentan serta memastikan keamanan dan keharmonian negara terus terpelihara.
Inilah pendekatan Islam yang mengutamakan maslahah umum berbanding kepentingan kelompok atau keuntungan politik jangka pendek.
Keadilan, ukhuwah bentang kebencian
Dalam masa yang sama, Islam juga menetapkan bahawa keadilan tidak boleh berubah mengikut sentimen, kepentingan atau kecenderungan terhadap mana-mana pihak. Seorang Muslim tidak boleh mengukur kebenaran berdasarkan siapa yang disukai atau dibenci. Keadilan tetap wajib ditegakkan walaupun terhadap pihak yang berbeza pandangan. Firman Allah SWT:
“Dan janganlah kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.” (Surah al-Ma’idah: 8)
Prinsip inilah yang menjadi benteng kepada politik kebencian. Selagi keadilan dijadikan asas, perbezaan pandangan tidak akan bertukar menjadi permusuhan yang memecahbelahkan masyarakat.
Rasulullah SAW turut mengingatkan tentang pentingnya memelihara persaudaraan sesama Muslim melalui sabdanya:
“Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Dia tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya dizalimi.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini mengingatkan bahawa ukhuwah Islamiah mesti mengatasi sentimen kepartian, kepentingan kelompok dan kebencian yang memecahbelahkan masyarakat. Apabila ukhuwah dipelihara, perbezaan pandangan menjadi ruang untuk saling melengkapi, bermusyawarah dan mencari penyelesaian terbaik demi kemaslahatan bersama.
Sebaliknya, apabila persaudaraan diketepikan, perbezaan yang kecil sekalipun boleh berkembang menjadi konflik yang besar dan meninggalkan kesan yang berpanjangan kepada masyarakat.
Prinsip-prinsip inilah yang menjadi asas kepada cara Islam mengurus perbezaan pandangan. Islam tidak menafikan kewujudan perbezaan, tetapi membimbing umat supaya mengendalikannya dengan adab, hikmah dan rasa tanggungjawab terhadap kesatuan ummah.
Justeru, penyelesaian kepada budaya kebencian bukan sekadar menyeru masyarakat supaya berhenti bertelagah, sebaliknya membina budaya berdialog yang berpaksikan kebenaran dan kemaslahatan.
Laksana didikan Islam
Islam mendidik umat supaya membersihkan niat, mengamalkan tabayyun sebelum menerima atau menyebarkan sesuatu berita, mengutamakan fakta berbanding persepsi serta memastikan setiap perkataan dan tindakan membawa manfaat, bukannya mencetuskan permusuhan atau kerosakan.
Kemenangan sebenar bukanlah apabila satu pihak berjaya menewaskan pihak yang lain, tetapi apabila kebenaran dapat ditegakkan, keadilan dapat dipelihara dan seluruh masyarakat mampu hidup dalam suasana aman, saling menghormati serta berganding bahu membina masa depan negara yang diredai Allah SWT.
Inilah matlamat siasah dalam Islam, iaitu menjadikan politik sebagai amanah untuk memakmurkan kehidupan, menyatukan masyarakat dan membawa rahmat kepada semua, bukannya menyemarakkan kebencian dan perpecahan hingga mengorbankan keadilan, ukhuwah dan kesejahteraan bersama.
Basmin Maarof
Pegawai Kanan
Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia




