(Baca Bahagian 1) Semua langkah untuk memperkukuh keterjaminan makanan, rantaian bekalan dan daya tahan ekonomi memerlukan pembiayaan yang berterusan.
Ironinya, ketika kenaikan harga minyak meningkatkan tekanan terhadap rakyat dan sektor perniagaan, keadaan yang sama juga boleh meningkatkan hasil negara daripada sektor petroleum. Persoalannya ialah, bagaimana hasil tambahan tersebut dimanfaatkan?
Kenaikan harga minyak memberi ruang kepada kerajaan memperoleh pendapatan tambahan daripada sektor minyak dan gas. Namun, hasil ini tidak wajar dilihat sebagai ruang untuk meningkatkan perbelanjaan semasa secara berlebihan. Sebaliknya, sebahagian daripada hasil tersebut boleh digunakan untuk memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam jangka panjang.
Antaranya termasuk meningkatkan keterjaminan makanan, memperkukuh kecekapan tenaga dalam sektor industri, memperluas penggunaan tenaga boleh diperbaharu, menaik taraf sistem pengangkutan awam serta mewujudkan dana penstabilan bagi menghadapi turun naik harga minyak pada masa hadapan.
Pendekatan ini penting kerana hasil petroleum sendiri bergantung kepada turun naik harga minyak dunia. Selepas kejatuhan harga minyak pada tahun 2014, hasil berkaitan petroleum Malaysia dilaporkan merosot daripada sekitar RM66 bilion kepada RM31 bilion dalam tempoh dua tahun. Pengalaman tersebut menunjukkan bahawa hasil luar biasa tidak boleh dijadikan asas kepada komitmen fiskal yang bersifat kekal.
Perlindungan sosial perlu lebih bersasar
Walau sehebat mana strategi jangka panjang dirancang, kesannya tidak dapat dirasai serta-merta. Dalam tempoh peralihan, golongan yang paling terkesan tetap memerlukan perlindungan agar mereka tidak menanggung beban kenaikan kos secara bersendirian.
Dalam keadaan harga minyak meningkat, keutamaan dasar tidak seharusnya tertumpu semata-mata kepada usaha mengekalkan harga bahan api pada paras rendah. Yang lebih penting ialah memastikan golongan yang paling terkesan menerima perlindungan yang mencukupi.
Isi rumah berpendapatan rendah, pekerja sektor tidak formal, petani, nelayan serta perusahaan mikro dan kecil merupakan antara kumpulan yang paling mudah terdedah kepada peningkatan kos. Kenaikan harga bahan api sering memberi kesan berantai kepada kos makanan, pengangkutan dan perbelanjaan harian yang perlu ditanggung oleh golongan ini.
Pelaksanaan BUDI MADANI mencerminkan peralihan daripada subsidi diesel secara menyeluruh kepada mekanisme yang lebih bersasar berdasarkan kelayakan pengguna dan keperluan sektor, di samping membantu mengurangkan ketirisan serta penyeludupan. Pendekatan seperti ini membolehkan sumber negara disalurkan kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan bantuan.
Dalam keadaan krisis, bantuan sementara juga boleh diaktifkan berdasarkan petunjuk seperti kenaikan harga bakul makanan, kos bahan api, inflasi dan kehilangan pendapatan. Pendekatan sedemikian membolehkan kerajaan bertindak lebih pantas apabila tekanan ekonomi meningkat tanpa perlu membina sistem baharu setiap kali krisis berlaku.
Mengurangkan kebergantungan kepada minyak
Pada masa yang sama, negara tidak boleh hanya menumpukan kepada cara mengurus kenaikan harga minyak. Dalam jangka panjang, kebergantungan terhadap minyak itu sendiri perlu dikurangkan agar ekonomi tidak terus terdedah kepada kejutan yang sama berulang kali.
Perlindungan terbaik terhadap turun naik harga minyak ialah dengan membina sistem tenaga yang lebih pelbagai, cekap dan berdaya tahan. Malaysia perlu mempercepat pembangunan tenaga boleh diperbaharu, meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga serta memperkukuh sistem pengangkutan awam dari segi liputan, kekerapan dan kebolehpercayaannya.
Namun, peralihan tenaga juga perlu dirancang dengan teliti. Teknologi hijau tidak semestinya benar-benar lestari jika keseluruhan kitar hayatnya tidak diambil kira. Isu berkaitan pembuatan, penggunaan bahan mentah dan pelupusan panel solar serta bateri kenderaan elektrik perlu ditangani melalui dasar dan teknologi yang lebih bertanggungjawab.
Matlamatnya bukan sekadar beralih daripada satu sumber tenaga kepada sumber yang lain, tetapi membina sistem tenaga yang benar-benar lebih bersih, cekap dan tahan terhadap kejutan global.
Komunikasi dasar sebahagian daripada kejayaan reformasi
Sebarang perubahan berkaitan subsidi, bantuan kerajaan atau langkah fiskal mempunyai kesan langsung terhadap kehidupan rakyat. Oleh itu, keberkesanan sesuatu dasar bukan hanya bergantung kepada perancangan ekonomi dan mekanisme pelaksanaannya, tetapi juga tahap kefahaman serta keyakinan masyarakat terhadap tujuan dasar tersebut.
Dalam isu penyasaran subsidi, misalnya, perubahan daripada subsidi menyeluruh kepada bantuan yang lebih bersasar mungkin diperlukan bagi memastikan sumber kerajaan digunakan secara lebih cekap.
Namun, perubahan sedemikian boleh menimbulkan kebimbangan sekiranya rakyat tidak memahami rasional pelaksanaannya, kumpulan yang akan menerima bantuan, kaedah penentuan kelayakan serta bagaimana penjimatan yang diperoleh akan dimanfaatkan.
Reformasi subsidi sering berdepan cabaran apabila rakyat merasakan perubahan dilakukan secara mendadak tanpa penjelasan yang mencukupi atau tanpa perlindungan kepada golongan yang terkesan.
Sebaliknya, dasar lebih mudah diterima apabila kerajaan menyediakan maklumat yang jelas, melaksanakan bantuan sokongan secara berkesan dan memastikan proses pelaksanaan dilakukan secara telus.
Justeru, komunikasi dasar tidak seharusnya dilihat sebagai langkah tambahan selepas sesuatu keputusan dibuat. Ia merupakan sebahagian daripada strategi pelaksanaan yang penting untuk membina kepercayaan, mengurangkan kekeliruan dan memastikan perubahan dasar dapat dilaksanakan secara lebih adil serta berkesan.
Daya tahan negara benteng utama
Hakikatnya, Malaysia tidak dapat mengawal konflik di Asia Barat atau menentukan arah pasaran minyak dunia. Namun, negara boleh menentukan sejauh mana rakyat dan ekonominya terkesan akibat perubahan tersebut.
Membina daya tahan negara memerlukan lebih daripada sekadar langkah jangka pendek. Ia memerlukan strategi menyeluruh yang merangkumi keterjaminan makanan, rantaian bekalan yang cekap, perlindungan sosial bersasar, pengangkutan awam yang berkesan, peralihan tenaga yang mampan serta pengurusan fiskal yang berpandangan jauh.
Ukuran sebenar kekuatan sesebuah negara bukanlah berapa banyak sumber yang dimiliki, tetapi sejauh mana negara mampu melindungi rakyat ketika dunia berdepan ketidaktentuan.
Inilah pendekatan yang diperlukan bagi memastikan Malaysia bukan sahaja mampu menghadapi krisis semasa, tetapi juga lebih bersedia menghadapi cabaran global pada masa hadapan.
Haji Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia




