Khalid al-Walid: Legasi Sebenar Bukan Pada Jawatan

legasi islam

Sesiapa pun sering mengukur kejayaan seorang pemimpin melalui kemenangan yang dicapainya. Selagi menang, dirinya dianggap wajar terus memimpin. Selagi membawa kejayaan, sebarang keputusan yang dibuatnya dianggap benar. Namun, sejarah Islam merakamkan satu peristiwa agung yang meruntuhkan cara berfikir seperti ini.

Dalam kitab “Al-Bidayah wa al-Nihayah” ada dinyatakan bahawa ketika Khalid ibn al-Walid berada di kemuncak kegemilangannya sebagai panglima tentera Islam, beliau diturunkan daripada jawatan oleh Khalifah Umar ibn al-Khattab.

Peristiwa ini bukan tentang pertukaran jawatan, tetapi satu manifestasi bagaimana Islam membina kepimpinan yang berasaskan prinsip, bukannya pemujaan terhadap individu.

Tidak keterlaluan, jika dikatakan Khalid al-Walid ialah antara panglima tentera paling berjaya dalam sejarah dunia. Selepas memeluk Islam, beliau memimpin tentera Islam dalam pelbagai peperangan besar seperti Mu’tah, Perang Riddah, Yamamah serta pembukaan Iraq dan Syam.

Al-Isabah fi Tamyiz as-Sahabah menyatakan, kehebatannya bukan pada keberanian, tetapi kebijaksanaan strategi sehingga Rasulullah SAW sendiri menggelarkannya sebagai Saifullah al-Maslul, iaitu Pedang Allah yang Terhunus.

Kemenangan datang daripada Allah

Namun, kejayaan yang berterusan juga membawa satu risiko yang tidak disedari oleh kebanyakan manusia. Apabila seseorang terlalu banyak mencipta kemenangan, masyarakat mula mengaitkan kejayaan itu dengan dirinya.

Sedikit demi sedikit, keyakinan terhadap pertolongan Allah boleh bertukar menjadi kekaguman yang berlebihan terhadap seorang tokoh. Umar al-Khattab melihat bibit ini lebih awal daripada orang lain. Beliau tidak mahu umat Islam membina kepercayaan bahawa kemenangan hanya akan hadir apabila Khalid memimpin.

Dalam sebuah riwayat, Umar menjelaskan bahawa beliau tidak melucutkan Khalid kerana marah atau meragui amanahnya, tetapi supaya manusia mengetahui bahawa kemenangan datang daripada Allah, bukan daripada Khalid.

Inilah kebijaksanaan seorang pemimpin yang berfikir jauh ke hadapan. Umar tidak melihat isu ini sebagai soal seorang panglima, tetapi soal pembentukan pemikiran umat. Beliau memahami bahawa organisasi yang terlalu bergantung kepada seorang individu akhirnya akan menjadi lemah apabila individu itu tiada.

Sebab itulah Islam mendidik umat supaya bergantung kepada sistem, nilai dan prinsip, bukannya kepada ketokohan seseorang. Pemimpin boleh bertukar, tetapi perjuangan mesti diteruskan.

Memperkukuh disiplin pentadbiran negara

Di samping itu, beberapa sumber sejarah turut menjelaskan bahawa Umar ingin memperkukuh disiplin pentadbiran negara. Terdapat beberapa keputusan Khalid dalam urusan pengagihan harta rampasan perang dan pemberian ganjaran yang dinilai semula mengikut pendekatan pentadbiran Umar.

Perbezaan ini bukanlah menunjukkan Khalid seorang yang tidak amanah, tetapi membuktikan bahawa dalam sebuah pemerintahan Islam, kehebatan di medan perang juga perlu diseimbangkan dengan ketelitian dalam tadbir urus dan akauntabiliti.

Namun, nilai terbesar dalam kisah ini sebenarnya bukan terletak pada keputusan Umar, tetapi pada sikap Khalid sendiri. Beliau tidak mempertikaikan keputusan khalifah. Beliau tidak mengumpulkan penyokong untuk membela kedudukannya.

Beliau tidak membina naratif bahawa dirinya dizalimi. Sebaliknya, beliau terus mengangkat pedang yang sama dan berjuang di bawah arahan Abu Ubaidah ibn al-Jarrah dengan penuh ketaatan.

Tidak pernah berubah

Sikap ini membuktikan bahawa perjuangan Khalid tidak pernah bergantung kepada jawatan. Yang berubah hanyalah kedudukannya dalam organisasi, tetapi keikhlasan dan kesetiaannya kepada Islam tidak pernah berubah.

Di sinilah letaknya ukuran sebenar seorang pejuang. Orang yang bekerja kerana jawatan akan berhenti apabila jawatan itu ditarik. Orang yang bekerja kerana nama akan kecewa apabila namanya tidak lagi disebut. Tetapi orang yang bekerja kerana Allah akan terus menyumbang walaupun namanya tidak lagi berada di hadapan.

Khalid al-Walid membuktikan bahawa kehilangan jawatan tidak pernah mengurangkan nilai seseorang yang ikhlas. Bahkan sejarah mengangkat beliau lebih tinggi selepas peristiwa itu kerana beliau menunjukkan bahawa akhlak seorang pemimpin jauh lebih besar daripada pangkat yang disandang.

Jawatan hanyalah amanah

Malangnya, realiti hari ini sering memperlihatkan keadaan yang bertentangan. Tidak sedikit individu dalam organisasi yang bertindak negatif hanya kerana pertukaran jawatan. Ada yang merajuk apabila tidak dipilih. Ada yang membawa keluar penyokong kerana kecewa.

Lebih menyedihkan, ada yang sanggup melemahkan organisasi sendiri semata-mata kerana gagal mengekalkan kedudukan. Budaya seperti ini lahir apabila jawatan dianggap sebagai kemuliaan, sedangkan Islam mengajar bahawa jawatan hanyalah amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah.

Peristiwa Umar dan Khalid sepatutnya menjadi cerminan kepada semua organisasi, institusi dan gerakan masyarakat. Sesebuah organisasi yang sihat bukanlah organisasi yang bergantung kepada seorang tokoh, tetapi organisasi yang mampu melahirkan ramai tokoh.

Pemimpin datang dan pergi, namun nilai, sistem dan perjuangan mesti terus hidup. Apabila organisasi terlalu bergantung kepada seorang individu, sebenarnya organisasi itu sedang membina kelemahannya sendiri.

Kepentingan agama mengatasi diri

Justeru, sejarah tidak mengingati Umar sebagai khalifah yang menjatuhkan Khalid. Sejarah juga tidak mengingati Khalid sebagai panglima yang kehilangan jawatan. Sebaliknya, kedua-duanya dikenang kerana meletakkan kepentingan Islam mengatasi kepentingan diri.

Umar mempertahankan prinsip walaupun keputusannya sukar difahami, manakala Khalid mempertahankan perpaduan walaupun beliau mempunyai segala alasan untuk membantah. Itulah kemuncak kepimpinan Islam, apabila kuasa tidak melahirkan kesombongan dan kehilangan kuasa tidak melahirkan kebencian.

Inilah pelajaran yang semakin mahal pada zaman ini. Organisasi tidak akan musnah kerana bertukarnya seorang pemimpin. Organisasi akan musnah apabila ahlinya mula percaya bahawa perjuangan hanya mampu hidup kerana seorang manusia.

Sejarah Khalid al-Walid membuktikan bahawa tokoh yang benar-benar agung bukanlah mereka yang mempertahankan jawatan hingga ke akhir hayat, tetapi mereka yang tetap mempertahankan perjuangan walaupun jawatan telah tiada.

Sesungguhnya, kemuliaan seorang pemimpin tidak diukur pada lamanya dia memegang kuasa, tetapi pada kesungguhannya memelihara amanah dan kerendahan hatinya ketika melepaskan kuasa. Itulah legasi sebenar Khalid al-Walid dan Umar al-Khattab yang terus hidup merentasi zaman.

Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia