Integriti Dibina, Rasuah Binasa! Ayuh Perkasakannya

Integriti Dibina, Rasuah Binasa! Ayuh Perkasakannya

Dalam lintasan sejarah bangsa, isu rasuah bukanlah perkara baharu. Namun, kebelakangan ini, kadar dan bentuknya semakin membimbangkan. Ia tidak lagi sekadar “duit kopi” atau “hadiah kecil” seperti yang sering dianggap ringan, tetapi telah meresap ke dalam sistem pentadbiran, perniagaan dan malah kehidupan sosial kita.

Rasuah kini menjadi barah yang perlahan-lahan melumpuhkan nadi pembangunan negara. Integriti nilai yang menjadi tunjang kepada kejujuran, akauntabiliti dan amanah semakin terhakis apabila rasuah dianggap sebagai “jalan mudah” untuk menyelesaikan masalah.

Dalam konteks ini, memperkasa integriti bukan sekadar slogan, tetapi suatu perjuangan moral, institusi dan politik yang mesti diterjemahkan dalam tindakan nyata.

Hal ini berdasarkan statistik keseluruhan yang dilaporkan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu sebanyak 1,073 tangkapan yang telah dibuat bermula Januari 2025 sehingga Oktober 2025 berkaitan dengan rasuah dalam sektor awam dan swasta.

Bagi sektor awam, ia terdiri daripada jawatan awam, pengurusan tertinggi, pengurusan dan profesional serta kakitangan sokongan. Manakala bagi sektor swasta, ia terdiri daripada golongan swasta, orang awam dan lain-lain.

Jumlah tangkapan ini dilihat menghampiri jumlah keseluruhan tangkapan pada tahun 2024 iaitu sebanyak 1,334 tangkapan dan tahun 2023 iaitu sebanyak 1,137 tangkapan. Hal ini jelas membimbangkan dan perlu dipantau dengan rapi.

Rasuah bukan isu terpencil

Rasuah di Malaysia bukan lagi bersifat terpencil. Ia adalah simptom kepada krisis moral dan kelemahan sistem yang berakar dalam budaya dan struktur kuasa. Apabila politik dijadikan medan untuk mengaut keuntungan peribadi dan bukan sebagai amanah rakyat, maka rasuah menjadi lumrah yang sukar dihapuskan.

Kita harus berani mengakui bahawa kegagalan membendung rasuah berpunca daripada dua faktor utama iaitu kelemahan institusi pengawasan dan penguatkuasaan dan sikap masyarakat yang semakin menormalisasikan perbuatan tidak berintegriti.

Apabila rasuah berlaku di peringkat tinggi, rakyat kecil kehilangan keyakinan terhadap sistem keadilan. Sebaliknya, apabila rakyat sendiri terlibat dalam rasuah kecil seperti membeli undi atau memberi suapan kepada pegawai penguat kuasa, budaya itu menjadi kitaran yang membinasakan.

Maka, usaha memerangi rasuah tidak boleh hanya diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata. Ia perlu menjadi gerakan nasional yang menggabungkan kekuatan institusi, masyarakat sivil dan nilai agama. 

Sebagai contoh realiti, laporan Ketua Audit Negara beberapa tahun kebelakangan ini telah menunjukkan bagaimana ketirisan dan salah urus dalam projek infrastruktur awam menelan jutaan ringgit wang rakyat.

Ada projek jalan raya atau jambatan yang siap separuh tetapi bayaran telah dibuat hampir sepenuhnya. Ada pula kontraktor yang dilantik bukan berdasarkan keupayaan teknikal tetapi hubungan politik atau peribadi. Kes seperti ini bukan sekadar soal kehilangan wang tetapi kehilangan kepercayaan.

Apabila jalan yang sepatutnya memudahkan rakyat rosak selepas beberapa bulan atau siling sekolah baharu retak sebelum digunakan, rakyat bukan sahaja rugi harta dan benda tetapi mereka kehilangan keyakinan terhadap kejujuran sistem pentadbiran negara.

Inilah wajah sebenar rasuah. Ia tidak kelihatan di permukaan tetapi kesannya dirasai oleh rakyat yang terpaksa menanggung akibatnya setiap hari. Jika integriti tidak dijadikan asas, maka pembangunan fizikal tidak akan membawa pembangunan sebenar kepada rakyat.

Kewajipan membasmi rasuah

Dalam Islam, rasuah adalah antara dosa besar kerana ia merosakkan keadilan dan amanah. Abdullah bin ‘Amr radiallahuanhuma meriwayatkan “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.” (HR Tirmizi, 1337)

Ia menunjukkan bahawa membasmi rasuah bukan hanya soal undang-undang, tetapi soal iman dan maruah diri. Malaysia tidak akan mampu mencapai status negara maju jika integriti tidak menjadi teras kepada setiap dasar, projek dan urus tadbir.

Integriti bukan hanya untuk penjawat awam, tetapi juga ahli politik, pemimpin masyarakat, usahawan dan setiap individu rakyat. Ia bermula daripada kejujuran dalam perkara kecil lantas menolak jalan pintas. 

Salah satu punca utama kegagalan membanteras rasuah ialah budaya “tutup mata” yang sudah berakar umbi. Dalam banyak kes, pelaku rasuah dilindungi kerana hubungan politik atau kepentingan tertentu. Siasatan dijalankan separuh jalan dan keadilan tidak ditegakkan sepenuhnya.

Reformasi institusi amat diperlukan, bukan sekadar menggubal undang-undang baharu tetapi memastikan pelaksanaan undang-undang itu bebas daripada pengaruh politik.

SPRM contohnya, perlu diberi kebebasan sebenar untuk menyiasat tanpa takut atau pilih kasih. Parlimen pula mesti memainkan peranan semak dan imbang dengan lebih berkesan, bukan sekadar menjadi pentas politik partisan. 

Tambahan lagi, pendidikan antirasuah perlu diterapkan sejak di bangku sekolah. Pelajar harus dididik bukan hanya untuk menjadi pintar, tetapi juga jujur dan berakhlak. Universiti pula mesti menjadi ruang yang subur untuk membina budaya akademik yang bebas daripada penyelewengan dan kronisme.

Integriti tanggungjawab bersama

Sebagai sebuah organisasi Islam yang komited terhadap pembangunan insan dan masyarakat, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) melihat isu integriti sebagai tanggungjawab bersama. 

Justeru, bersempena dengan Kempen Integriti dan Antirasuah (KIAR) 2025 yang dilancarkan oleh IKRAM dengan tema “Integriti Dibina, Rasuah Binasa”, kami menegaskan bahawa kempen ini bukan hanya seruan moral, tetapi suatu gerakan pembudayaan nilai yang mesti diterjemahkan dalam tindakan, bermula dengan individu hingga kepada pelaksanaan dasar negara.

Khatib di mimbar Jumaat, guru di sekolah agama dan pemimpin komuniti semuanya boleh menjadi ejen perubahan dengan membawa mesej bahawa menolak rasuah adalah sebahagian daripada jihad moral dan sosial.

Kita mesti mendidik masyarakat bahawa keberkatan rezeki tidak datang daripada tipu daya, tetapi daripada kejujuran dan kerja keras. Malaysia tidak akan berubah selagi rakyat tidak mahu berubah.

Perjuangan menegakkan integriti menuntut keberanian untuk berkata benar walaupun menyakitkan. Ia memerlukan keberanian untuk menolak tawaran yang salah, walaupun peluang di depan mata besar. Kita mesti kembali kepada prinsip asas  bahawa amanah adalah tanggungjawab, bukan keistimewaan atau wahana untuk sengaja mengayakan diri. 

Tuntasnya, hanya apabila rakyat dan pemimpin sama-sama berani menolak rasuah, Malaysia akan benar-benar menjadi negara yang maju dan dihormati. Marilah kita hentikan rantaian rasuah dan menjadikan integriti nadi dalam setiap tindakan kita. Integriti Dibina, Rasuah Binasa!

Profesor Dr Hanim Salleh
Naib Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia