Jenayah Seksual di Sekolah: Bagaimana Mencegahnya?

Jenayah Seksual di Sekolah: Bagaimana Mencegahnya?

Negara sekali lagi dikejutkan dengan berita yang mengganggu emosi dan fikiran masyarakat apabila dua pelajar lelaki berusia 17 tahun yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan kerana dituduh merogol seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 di dalam bilik darjah.

Lebih menyedihkan, perbuatan terkutuk itu turut dirakam oleh seorang rakan manakala seorang lagi bertindak mengawal pintu. Kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Sebagai pakar perubatan keluarga yang bertugas di klinik kesihatan, kami sering menerima kes-kes yang terjadi akibat daripada perhubungan bebas yang semakin membimbangkan. 

Kami melihat remaja perempuan yang hamil luar nikah, anak muda dijangkiti penyakit jangkitan kelamin dan HIV, malah ada pesakit muda yang mengalami masalah tidak dapat mengawal pembuangan najis akibat hubungan seksual sejenis melalui dubur (anal sex).

Ada juga pesakit di awal 20-an yang sudah berkahwin mengadu mengalami masalah mati pucuk ketika bersama isteri kerana terlalu kerap beronani akibat ketagihan pornografi. Kami para doktor tetap merawat mereka, namun dalam masa yang sama merasakan betapa pentingnya langkah pencegahan awal agar anak-anak kita tidak terjebak sehingga ke tahap ini.

Jenayah yang banyak berlaku dewasa ini bukan sekadar kisah yang mengundang kemarahan, tetapi cerminan jelas kepada keruntuhan moral dan akhlak dalam kalangan anak-anak dan remaja masa kini.

Lebih membimbangkan, jenayah seumpama ini berlaku di tempat yang dianggap selamat iaitu sekolah. Tiada lagi rasa malu, takut atau bersalah dalam melakukan kezaliman, maksiat dan dosa yang begitu berat.

Salah siapa sebenarnya?

Setiap kali insiden sebegini berlaku, jari mudah menuding kepada pihak sekolah, guru dan Kementerian Pendidikan. Ramai menuduh guru terlalu memanjakan pelajar atau gagal mendidik dengan tegas. Namun, adakah wajar kesalahan sebesar jenayah rogol diletakkan sepenuhnya di bahu pihak sekolah?

Hakikatnya, ibu bapa ialah sekolah pertama anak-anak. Pendidikan akhlak, moral dan pemahaman tentang batas seksual bermula di rumah. Ibu bapa bertanggungjawab memantau perkembangan emosi, sosial dan seksual anak-anak sejak kecil lagi.

Dalam karya Tarbiyatul Aulad fil Islam, Abdullah Nasih Ulwan ada menyentuh tentang perkara ini dan menegaskan bahawa pendidikan seksual anak perlu dimulakan dengan adab dan batas agama.

Antara yang ditekankan ialah adab meminta izin masuk ke bilik ibu bapa, sebagaimana disebut dengan jelas dalam al-Quran serta tanggungjawab menjaga aurat dan menundukkan pandangan.

Malangnya, nilai ini semakin dilupakan. Ada ibu bapa yang tidak menjaga adab berpakaian di hadapan anak-anak, ada yang menonton bahan lucah di rumah tanpa rasa bersalah, dan ramai yang membiarkan anak membesar tanpa panduan moral yang kukuh.

Cabaran baharu di hujung jari

Berbanding dahulu, cabaran ibu bapa kini jauh lebih besar. Anak-anak hidup dalam dunia digital tanpa sempadan. Telefon pintar memberi akses mudah kepada segala jenis maklumat termasuk bahan lucah dan aplikasi dalam talian yang mempromosikan aktiviti seksual dan berisiko tinggi.

Lebih membimbangkan, anak-anak kini lebih mahir daripada ibu bapa dalam teknologi. Mereka tahu cara menyembunyikan aplikasi, memadam sejarah tontonan dan berhubung dengan individu asing tanpa disedari.

Di klinik kesihatan, semakin ramai pesakit muda berusia awal 20-an dikesan menghidap HIV dan penyakit jangkitan kelamin akibat hubungan seksual bebas, termasuk hubungan sesama jantina. Trend ini membuktikan betapa parahnya kesan normalisasi seks bebas dan budaya hedonisme yang disebarkan melalui media sosial dan hiburan arus perdana.

Pemantauan bukan hanya di rumah

Tanggungjawab ibu bapa tidak terhenti di rumah sahaja. Anak-anak juga perlu dipantau di luar rumah. Walaupun kita menjaga dengan sebaiknya di dalam rumah, dunia luar tetap penuh cabaran dan bahaya yang tidak dijangka.

Anak-anak kini terdedah kepada pelbagai pengaruh luar seperti rakan sebaya yang tidak baik, individu dewasa yang tidak bertanggungjawab dan dunia maya yang semakin licik memperdaya.

Ada pelajar seawal di bangku sekolah rendah sudah tahu tentang aplikasi menjual tubuh badan, terjebak dengan acara seks bebas berkumpulan dan dengan terbuka berkongsi cara mendapatkan pil mencegah kehamilan selepas hubungan seks.

Terdapat juga kes guru mencabul pelajar, atau remaja yang ketagihan pornografi setelah diantun oleh individu dewasa. Ada pakar perubatan keluarga yang menerima kes remaja ketagihan pornografi yang terjebak setelah diberi gambar lucah oleh “pakcik” di masjid seawal usia sekolah rendah.

Fenomena seperti ‘chemsex’ dan penyalahgunaan dadah juga semakin menjadi-jadi dalam kalangan remaja lelaki dan perempuan.

Oleh itu, pemantauan ibu bapa perlu melangkaui sempadan rumah. Kenali siapa kawan-kawan anak, di mana mereka berkawan dan aktiviti yang mereka sertai. Jangan ambil mudah jika ada perubahan tingkah laku yang mencurigakan.

Perlu juga kita sedari bahawa membesarkan anak bukan tanggungjawab ibu bapa sahaja. “It takes a village to raise a child.” Dalam masyarakat kita hari ini, nilai berjiran dan semangat saling menegur sudah semakin pudar.

Kita terlalu takut dilabel “jaga tepi kain orang”, sedangkan budaya saling peduli dan menegur adalah tunjang kepada masyarakat yang sihat.

Jika nampak anak jiran atau pelajar sekolah bergaul bebas, berpakaian tidak sopan atau mula menunjukkan tanda-tanda salah laku, tegurlah dengan hikmah. Masyarakat yang diam atas kesalahan hanya membuka ruang kepada kejahatan berleluasa.

Islam menyantuni pendidikan seksual dengan adab

Islam tidak menolak pendidikan seksual, malah menekankan ia mesti diajar dengan adab dan kefahaman agama. Anak perlu diajar tentang akil baligh, batas pergaulan dan tanggungjawab terhadap diri serta masyarakat.

Dalam dunia yang semakin terbuka, kita perlu menegaskan kembali konsep menundukkan pandangan, menjaga aurat dan menjauhkan diri daripada perkara yang membangkitkan syahwat. Zaman dahulu, pengaruh itu datang melalui majalah atau pita video yang sukar dicapai. Sekarang, ia hanya “sehujung jari” di dalam rumah sendiri.

Usaha masyarakat dan NGO

Antara NGO yang aktif dalam advokasi pencegahan jenayah seksual dan pornografi ialah Malaysians Against Pornography (MAP). Melalui modul IMPRESS (Ibu Bapa Memantau Perkembangan Reproduksi dan Seksual dan Sosial Anak-Anak), MAP cuba membantu ibu bapa memahami peranan mereka dalam memantau perkembangan seksual anak-anak. 

Kami ingin menekankan pentingnya komunikasi, gaya asuhan yang berhemah, serta kesedaran tentang konsep “rahsia peribadi”. Ramai anak muda kini tidak lagi tahu sempadan privasi, malah ada yang sanggup berkongsi gambar tidak senonoh demi perhatian atau wang. Maka, mendidik tentang maruah diri perlu menjadi keutamaan.

Mendidik dengan teladan

Akhirnya, langkah paling berkesan dalam mendidik ialah dengan memberi teladan yang baik. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 21:

“Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagi kamu.”

Anak-anak akan meniru apa yang mereka lihat. Jika ibu bapa menjaga adab, tutur kata dan tingkah laku, insya-Allah anak-anak akan membesar dengan nilai yang sama.

Jenayah seksual di sekolah bukan sekadar isu disiplin pelajar, tetapi ia adalah cermin kepada kegagalan masyarakat menanam nilai iman dan akhlak. Jika kita mahu melihat perubahan, ia mesti bermula dari rumah dan disokong oleh masyarakat yang prihatin.

Dr. Asma’ Abdul Aziz
Pakar Perubatan Keluarga
JK Advokasi Pembelaan Wanita dan Kanak-kanak
Wanita IKRAM Melaka

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia