Isu kemungkinan kehadiran Donald Trump ke Malaysia, khususnya dalam konteks Sidang Kemuncak ASEAN, telah menimbulkan pelbagai reaksi. Ramai yang berasa marah apabila dilihat seolah-olah Perdana Menteri Malaysia “menjemput” beliau.
Namun, dari sudut diplomatik, kehadiran Trump bukanlah sesuatu yang luar biasa. Secara tradisinya, Presiden Amerika Syarikat — tanpa mengira individu yang memegang jawatan — lazimnya dijemput ke sidang-sidang serantau utama seperti Sidang Kemuncak ASEAN, APEC, atau Sidang Kemuncak Asia Timur.
Persoalannya bukan tentang individu, tetapi tentang kedudukan AS sebagai sebuah kuasa besar yang mempunyai kepentingan ekonomi, keselamatan dan politik yang mendalam di rantau ini.
Dari segi realiti diplomatik dan tradisi antarabangsa, jika Malaysia atau ASEAN cuba menghalang kehadiran Presiden AS, ia akan dilihat sebagai satu tindakan yang tidak beretika. Sebagai tuan rumah, Malaysia hanya menyediakan ruang diplomatik yang standard.
Menolak kehadiran Trump akan merugikan imej Malaysia sebagai negara yang berkecuali, matang dan profesional.
Tindakan sedemikian boleh memberi gambaran negatif seolah-olah Malaysia tidak menghormati protokol antarabangsa, seterusnya berpotensi mengasingkan negara ini daripada rakan-rakan serantau yang lain yang masih mengekalkan hubungan kerja dengan AS.
Sebaliknya, membenarkan beliau hadir menunjukkan iltizam Malaysia dalam dasar luar yang inklusif, iaitu bersedia berdialog dengan semua pihak walaupun terdapat perbezaan pendirian.
Lebih penting lagi, kehadiran Trump sebenarnya membuka peluang strategik untuk Malaysia mengemukakan pandangan rakyatnya di pentas global. Perdana Menteri boleh menggunakan platform ini untuk mengangkat suara rakyat Malaysia, khususnya dalam isu Palestin dan Gaza, secara langsung di hadapan Trump sendiri.
Dalam tradisi diplomasi, tiada ruang yang lebih berkesan daripada bercakap bersemuka dengan pemimpin besar dunia. Inilah peluang untuk menegaskan dengan jelas bahawa dasar Trump dan Netanyahu di Gaza adalah zalim, bercanggah dengan undang-undang antarabangsa dan melanggar nilai kemanusiaan sejagat.
Dengan berani menegur di pentas rasmi, Malaysia boleh membina rekod moral yang kukuh dan diiktiraf dunia sebagai suara nurani bagi keadilan global.
Sekiranya kehadiran Trump tidak dibenarkan, Malaysia bakal menghadapi beberapa keburukan dari segi diplomatik. Hubungan dua hala mungkin menjadi tegang, seterusnya memberi kesan negatif kepada pelaburan, perdagangan, dan kerjasama teknologi.
Imej antarabangsa Malaysia juga boleh tercalar dengan dilihat sebagai tidak matang, emosional dan gagal membezakan antara diplomasi dan perasaan peribadi. Malah, negara akan kehilangan satu platform berharga untuk menyampaikan mesej yang kuat menentang kekejaman di Gaza.
Sebaliknya, dengan kehadirannya, Malaysia boleh mempamerkan diplomasi yang berani dan strategik. Pendirian yang jelas menentang kezaliman boleh disampaikan secara langsung.
Malaysia juga berpotensi mempengaruhi konsensus ASEAN untuk lebih vokal dalam isu kemanusiaan. Di peringkat domestik, rakyat akan dapat menyaksikan bagaimana pemimpin mereka menguruskan konflik nilai — bertegas tetapi tetap berdiplomasi.
Kesimpulannya, menolak Trump secara total adalah satu tindakan yang bersifat emosional. Membenarkan beliau hadir dan pada masa yang sama menyampaikan mesej tegas terhadap kezaliman adalah pendekatan yang lebih hikmah. Ia mencerminkan sikap menegur dengan berani, tetapi tetap dalam kerangka diplomasi yang sopan dan berkesan.
Kehadiran Trump ke Malaysia bukan soal suka atau tidak suka terhadap individu tersebut, tetapi soal menjaga maruah diplomasi dan membuka ruang untuk menyampaikan kebenaran.
Dengan cara ini, Malaysia boleh menunjukkan keberanian moralnya: menyambut tetamu dengan profesional, tetapi tidak teragak-agak untuk menegur kezaliman dengan tegas. Inilah sebenarnya tunjuk ajar diplomasi Nabi SAW — menyampai kebenaran tanpa tunduk kepada tekanan.
Dr Omar Yaakob
Ahli Jawatankuasa Pusat
Pertubuhan IKRAM Malaysia