Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) memandang serius insiden yang tular baru-baru ini melibatkan kehadiran seorang Menteri bersama beberapa wakil rakyat kerajaan dalam sebuah majlis rasmi yang memaparkan hidangan minuman beralkohol di atas meja, malah turut disertai dengan aksi bergambar bersama minuman tersebut.
IKRAM berpandangan bahawa hidangan alkohol dalam majlis yang dihadiri oleh Menteri bukan sahaja tidak beretika, tetapi jelas bertentangan dengan nilai budaya, agama dan moral masyarakat Malaysia. Ia memberi isyarat yang salah kepada rakyat dan menjejaskan kredibiliti serta kesungguhan kerajaan dalam menjayakan gagasan Malaysia MADANI, yang berteraskan adab, akhlak dan tanggungjawab sosial.
IKRAM menegaskan bahawa kepimpinan yang berwibawa tidak hanya dinilai pada dasar dan pencapaian ekonomi, tetapi juga pada keutuhan nilai, akhlak dan sensitiviti moral yang dizahirkan di ruang awam. Pemimpin dan penjawat awam mesti menjadi teladan dalam menegakkan prinsip MADANI, bukan mencalarkannya dengan tindakan yang mengundang kekeliruan dan keresahan masyarakat.
Sehubungan itu, IKRAM menggesa kerajaan untuk memanggil pihak industri dan penganjur yang terlibat bagi memberikan penjelasan dan peringatan tegas agar insiden seumpama ini tidak berulang. Jika terbukti wujud kecuaian, tindakan sewajarnya perlu diambil sebagai pengajaran kepada semua pihak bahawa perkara melibatkan sensitiviti moral dan nilai budaya negara tidak boleh dipandang ringan.
IKRAM akan terus menyeru semua pihak, sama ada pemimpin, penjawat awam mahupun sektor swasta, untuk bersama menjunjung prinsip Malaysia MADANI secara menyeluruh, bukan sekadar pada slogan, tetapi pada akhlak dan amalan.
Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia