Program Returnship: Peluang Baharu Wanita Kembali Bekerja

Dalam era ini, wanita sering dilihat sebagai golongan yang berpotensi besar menyumbang kepada ekonomi negara. Namun ketika kerjaya mereka sedang rancak berkembang pada usia 20-an hingga 30-an, ramai terpaksa bergelut menyeimbangi tuntutan profesional dengan tanggungjawab keluarga.

Dilema inilah yang menyebabkan sebahagian besar wanita meninggalkan pasaran kerja pada usia sekitar 30 tahun, terutamanya selepas memulakan keluarga.

Laporan Inclusive Employment Practices Survey oleh Bank Dunia yang dilancarkan pada 22 Julai 2025 menyatakan bahawa di Malaysia, wanita yang meninggalkan pasaran kerja lebih cenderung untuk tidak kembali sama sekali [1].

Keadaan ini berbeza dengan banyak negara lain yang memperlihatkan golongan wanita di negara tersebut yang mengambil cuti kerjaya lazimnya akan kembali bekerja selepas tempoh tertentu. 

Malaysia masih mencatat kadar penyertaan tenaga kerja wanita yang rendah berbanding banyak negara serantau, meskipun wanita di negara ini secara purata memiliki tahap pendidikan lebih tinggi daripada lelaki [1].

Menurut Pengurus Negara Bank Dunia bagi Malaysia, Judith Green, situasi ini bukan sahaja merugikan wanita, tetapi juga menggagalkan negara daripada memanfaatkan sepenuhnya sumber tenaga insan yang dimiliki.

Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa tanpa rangka sokongan sosial yang kukuh dan fleksibiliti pekerjaan, ramai wanita akan terus kekal di luar pasaran buruh sekali gus menyempitkan peluang Malaysia untuk mencapai potensi tertinggi ekonominya.

Hakikatnya, apabila wanita atau mana-mana penjaga dipaksa memilih antara kerjaya dan tanggungjawab keluarga tanpa sokongan yang mencukupi, negara sebenarnya kehilangan satu sumber bakat yang amat berharga.

Rehat bukan kerugian

Keputusan mengambil rehat dalam kerjaya tidak wajar dilihat sebagai kerugian dari sudut ekonomi. Ia adalah pelaburan sosial jangka panjang demi kesejahteraan keluarga. Keluarga yang stabil dan sejahtera adalah asas kepada pembangunan bangsa dan pengorbanan wanita yang memilih untuk mengutamakan keluarga perlu diiktiraf sebagai sumbangan sosial yang penting.

Namun menariknya, ada kajian yang mendapati ramai wanita berkeinginan dan bersedia untuk memasuki alam pekerjaan semula setelah satu tempoh waktu. 

Kajian oleh Indonesia Business Coalition for Women Empowerment (IBCWE) pada Februari 2023 mendapati 98.5% yang mengambil cuti kerjaya mempunyai keinginan tinggi untuk kembali bekerja dan ramai antara mereka ingin kembali ke peranan atau industri yang sama.

Tempoh rehat ini sering membekalkan mereka dengan perspektif baharu, kematangan dan ketahanan emosi yang lebih kukuh, menjadikan mereka lebih bersedia untuk menghadapi cabaran kerjaya sambil menyeimbangkan tanggungjawab keluarga.

Namun begitu, jalan wanita ini untuk kembali bekerja sukar kerana wujudnya stigma majikan yang menganggap wanita yang mengambil career break selama bertahun-tahun menjadi kurang kompeten. Perkara ini menjejaskan peluang mereka memperoleh pekerjaan yang sepadan dengan pengalaman, kelayakan dan kepakaran walaupun pernah menyandang jawatan penting dahulu.

Kajian oleh Robert Walters mendapati lebih separuh daripada majikan di Malaysia tidak mengambil semula pekerja wanita selepas mereka mengambil career break walaupun hanya setahun kerana merasakan mereka kurang komited dan tertinggal dari segi kemahiran [2]. 

Stigma sebegini bukan sahaja menutup peluang wanita, tetapi juga membantutkan usaha negara memanfaatkan potensi penuh tenaga kerja berkemahiran.

Munculnya program returnship

Di sinilah munculnya satu pendekatan yang semakin mendapat perhatian di seluruh dunia iaitu returnship program. Program ini direka khas untuk profesional berpengalaman yang pernah mengambil cuti kerjaya, biasanya selama tiga hingga enam bulan menerusi latihan, bimbingan serta sokongan untuk kembali menyesuaikan diri dengan dunia pekerjaan.

Fungsinya hampir sama dengan internship, tetapi lebih khusus untuk golongan profesional yang ingin menyambung semula kerjaya selepas berehat.

Banyak syarikat global sudah membuktikan keberkesanan pendekatan ini. IBM, misalnya, menawarkan peluang kepada mereka yang mengambil cuti kerjaya sekurang-kurangnya dua tahun untuk kembali melalui latihan teknikal, projek sebenar dan bimbingan mentor. 

Accenture pula melaksanakan Career Reboot, manakala Dell memperkenalkan Career ReStart. Kedua-duanya menyediakan elaun atau gaji penuh sepanjang tempoh program. Model seperti ini membuktikan bahawa returnship bukan sekadar latihan sementara, tetapi laluan pekerjaan semula yang inklusif dan menyeluruh.

Di Malaysia, usaha ke arah ini juga mula kelihatan. TalentCorp misalnya, memperkenalkan Career Comeback Programme untuk membantu wanita kembali ke pasaran kerja. Program ini memberi insentif kepada majikan dan membuka ruang kepada wanita profesional untuk menyambung semula kerjaya dengan lebih yakin. 

Namun, skala pelaksanaannya masih terhad dan belum cukup meluas untuk memberi impak besar di seluruh pasaran kerja. Ia perlu diperluas dengan penglibatan sektor swasta yang lebih aktif. 

Kisah kejayaan individu yang melalui returnship juga membuktikan potensi besarnya. Ramai wanita yang kembali melalui program ini bukan sahaja dapat menyambung kerjaya terdahulu, tetapi ada juga yang beralih bidang, memanfaatkan kemahiran baharu dan menjadi lebih yakin memikul kerja dalam fasa hidup baru. 

Lebih menarik, majikan yang menyertai program sebegini melaporkan pulangan positif iaitu pekerja yang kembali biasanya lebih setia, berdisiplin dan membawa perspektif baharu yang menyegarkan budaya kerja organisasi.

Memperluas program returnship bukan sahaja memberi manfaat kepada wanita, tetapi juga membuka peluang strategik kepada syarikat dan ekonomi negara. Berehat dalam kerjaya bukanlah penamat, sebaliknya sebuah jeda yang terbukti memperkaya pengalaman, membentuk tenaga kerja yang lebih matang dan berdaya tahan.

Sekiranya syarikat tempatan menyambut baik usaha-usaha mengembalikan tenaga buruh wanita, ia bukan sahaja membolehkan wanita kembali menyumbang kepada organisasi, malah meningkatkan daya saing dan inovasi syarikat itu sendiri.

Perlu ekosistem menyeluruh

Namun, kejayaan mengekalkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja tidak boleh digalas oleh individu semata-mata. Ia memerlukan ekosistem yang menyeluruh iaitu meliputi dasar negara, budaya kerja yang inklusif serta kesedaran masyarakat.

Dengan sokongan yang holistik, keputusan wanita untuk kembali bekerja selepas rehat kerjaya bukan sahaja menguntungkan diri mereka, tetapi juga memberi pulangan besar kepada kesejahteraan keluarga, kemajuan syarikat dan pertumbuhan ekonomi negara.

Justeru, memperkasa dan memperluaskan program returnship di Malaysia amat penting, bukan sahaja di sektor korporat besar, tetapi juga di sektor awam serta perusahaan kecil dan sederhana.

Usaha sebegini adalah pengiktirafan terhadap pengorbanan wanita menjaga keluarga kerana bakat mereka adalah aset sosial yang tidak ternilai. Dengan lebih banyak peluang returnship dan menyediakan sokongan mesra keluarga, wanita boleh kembali ke dunia pekerjaan dengan yakin. 

Inilah strategi inklusif yang mampu memperkukuh tenaga kerja negara dan pada masa yang sama, langkah progresif ke arah membina masyarakat yang lebih seimbang, berdaya tahan dan mampan.

Rujukan: [1] World Bank | [2] Robert Walters | [3] ibcwe 

Basmin Maarof
Pegawai Kanan
Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia