Wanita Seimbang Keluarga, Kerjaya: Apa Solusinya?

Wanita Seimbang Keluarga, Kerjaya: Apa Solusinya? | IKRAM

Pada era prakemerdekaan, pintu buat golongan wanita untuk mendapat peluang pendidikan tidak dibuka dengan meluas. 

Namun, selepas kedatangan Dasar Ekonomi Baru sekitar tahun 1970an, kerajaan telah menekankan penglibatan wanita dalam bidang pekerjaan sehingga membuka peluang yang luas kepada wanita untuk terlibat dalam bidang pendidikan.

Ekoran daripada itu, bilangan kaum wanita yang mendapat pendidikan semakin bertambah. Menurut laporan Statistik Pengajian Tinggi 2021 yang dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi, golongan wanita telah mendominasi bilangan pelajar di institusi pengajian tinggi. Keadaan pelajar perempuan melebihi lelaki menjadi trend sejak beberapa tahun kebelakangan ini. 

Sekalipun begitu, keadaan sebaliknya pula berlaku di sektor pekerjaan negara. Lelaki menguasai pasaran ekonomi dengan sebanyak 81.0 peratus berbanding wanita yang menyumbang sebanyak 55.4 peratus, berdasarkan laporan Sorotan Pasaran Buruh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, 2021. Ini juga adalah trend yang berterusan sejak sekian lama.

Maka timbul persoalan, apakah yang mendorong wanita berpendidikan tinggi memilih untuk tidak bekerja atau berhenti kerja sedangkan mereka pernah memiliki cita-cita tinggi dalam kerjaya sewaktu membuat keputusan melangkah ke institusi pengajian tinggi?

Satu kajian telah dijalankan oleh Ila Nursalida Ali Amran berkaitan penglibatan wanita berpendidikan tinggi dalam bidang pekerjaan pada tahun 2022 melibatkan 253 responden suri rumah yang memiliki ijazah Sarjana dan Kedoktoran.

Kajian tersebut mendapati faktor utama (45.8 peratus) golongan ini memilih untuk tidak bekerja dan menjadi suri rumah adalah kerana mengutamakan kesejahteraan anak-anak dan keluarga.

Ini diikuti dengan faktor lain seperti pilihan sendiri, tiada peluang pekerjaan, kesukaran mengimbangkan peranan kerja dan rumah tangga, kualiti pusat penjagaan anak-anak yang tidak memuaskan dan sebagainya. 

Seimbangkan keluarga, kerjaya

Masyarakat di Malaysia umumnya masih mengutamakan dan mempraktikkan nilai keluarga tradisional yang meletakkan fungsi utama wanita sebagai pengurus rumah tangga.

Justeru itu, penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan tidak mengurangkan persepsi masyarakat terhadap peranan dan tanggungjawab mereka sebagai ibu, isteri dan pengurus rumah tangga. 

Peranan penjaga rumah tangga yang diletakkan sepenuhnya kepada wanita yang berkerjaya sudah tentu akan menggandakan beban di bahunya secara mental dan fizikal.

Sebaliknya, apabila suami berperanan sebagai pasangan yang berkongsi tanggungjawab menguruskan anak-anak dan rumah tangga, keadaan ini akan mengurangkan dilema dalam diri wanita bekerjaya.

Sering kali mereka berasa tersepit antara kepatuhan pada tugasan dalam pekerjaannya dan memelihara peranannya sebagai seorang ibu dan isteri. 

Benar, tanggungjawab memelihara keluarga harus diutamakan berbanding kerja, namun tugasan menjaga keluarga harus sepakat dipikul bersama oleh kedua-dua suami isteri.

Keadaan ini mampu memelihara kesejahteraan dan keharmonian seluruh ahli keluarga, sekali gus menjemput rahmah dalam sesebuah keluarga.

Tempat kerja mesra keluarga

Polisi tempat kerja yang mesra keluarga seperti adanya waktu kerja anjal, ruang bekerja secara hibrid (bekerja dari rumah dan pejabat), serta penyediaan pusat jagaan kanak-kanak menggalakkan pembentukan keluarga yang sejahtera seterusnya berupaya menaikkan produktiviti pekerja. 

Bekerja semasa era pandemik COVID-19 telah membuktikan bahawa kerja boleh diselesaikan dengan pelbagai medium dan tempat selain pejabat melalui norma baharu.

Kajian Cisco pada tahun 2022 mendapati tiga daripada lima pekerja di Malaysia merasakan kualti kerja yang dihasilkan bertambah baik melalui kerja hibrid.

Menurut kajian ini, gaya hidup bekerja hibrid telah terbukti meningkatkan kesejahteraan, keseimbangan kehidupan bekerja dan prestasi keseluruhan pekerja di Malaysia. 

Situasi kerja yang mengutamakan keseimbangan kehidupan ini mengelakkan diskriminasi ke atas pekerja yang dilihat kurang komited kerana mengutamakan penjagaan keluarga pada waktu diperlukan. 

Tidak semua orang perlu bekerja di pejabat atau mempunyai pasangan atau sokongan keluarga untuk diharapkan. Persekitaran kerja yang mesra keluarga dapat menyokong meraikan pelbagai gaya keibubapaan dan realiti sosioekonomi yang dihadapi oleh sesebuah keluarga.

‘Upskilling’ dan ‘reskilling’

Menurut Ila Nursalida yang juga Timbalan Pengerusi  Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR)), kebiasaannya setelah kira-kira 10 tahun menjadi suri rumah, wanita berpendidikan tinggi akan mempertimbangkan keputusan untuk memasuki alam pekerjaan semula setelah keadaan anak-anak dan keluarga kembali stabil.

Tambahnya lagi, cabaran memasuki alam pekerjaan pada usia melebihi 35 tahun dan jarak tempoh tidak bekerja yang terlalu lama sering kali menjadi penghalang bagi suri rumah untuk kembali bekerja terutamanya dalam bidang kelayakan pendidikan yang telah diraih, seperti sektor kejuruteraan, sains dan teknologi.

Program pemahiran semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) yang pernah dijalankan kerajaan di bawah skim penajaan Yayasan Penjana pascapandemik COVID-19 sangat bermanfaat mengisi kelompongan ini sebagai tempat untuk mereka yang mahu menyediakan diri ke alam pekerjaan semula melalui asahan ilmu dan kemahiran.

Faktor yang mempengaruhi golongan wanita berpendidikan tinggi berehat daripada alam kerjaya sering kali merupakan faktor sementara. Kesediaan diri dan persekitaran kerja yang menggalakkan akan menarik mereka semula untuk bekerja.

Konsep keseimbangan hidup bekerja merupakan norma baru yang harus digalakkan dan disokong bagi menarik dan mengekalkan penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan.

Di samping itu, kesejahteraan keluarga dapat dipupuk sebagai tunggak utama masyarakat. Ini kerana keluarga yang bahagia dan harmoni merupakan pemacu kemajuan dan pembangunan negara.

Bagi merealisasikan hasrat ini, semua pihak yang terlibat iaitu majikan, pekerja dan ahli keluarga harus bekerjasama sebagai satu pasukan, menguatkan antara satu sama lain agar semua pihak meraih manfaat yang optimum daripadanya.

Kerja menjadi tempat yang menyenangkan apabila kualiti kehidupan diraih melaluinya.

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia