Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) dengan penuh tanggungjawab menolak sekeras-kerasnya tuduhan yang dilemparkan oleh Jonathan Schanzer bahawa Malaysia kononnya menjadi pusat operasi Hamas.
Tuduhan ini tidak berasas, berniat jahat dan jelas merupakan sebahagian daripada naratif propaganda Zionis yang ingin melemahkan solidariti rakyat Malaysia bersama Palestin.
HIKAM menyatakan sokongan penuh kepada pendirian YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) yang konsisten:
- Mengecam kekejaman Israel yang terus menindas Gaza dan merampas Tebing Barat.
- Menggesa tindakan konkrit antarabangsa termasuk memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan rejim Zionis.
HIKAM menegaskan, pendirian ini bukan soal parti atau politik domestik, tetapi soal kemanusiaan dan prinsip Islam sejagat.
Kepada rakyat Malaysia, HIKAM menyeru:
- Teruskan solidariti rakyat melalui doa, sumbangan, kempen kesedaran dan program advokasi yang berterusan.
- Elakkan sikap kebencian melampau terhadap bangsa atau agama lain. Islam mengajar kita menentang kezaliman, bukan menzalimi.
- Amalkan rahmah dalam perjuangan, iaitu kasih sayang kepada manusia, ketegasan terhadap kezaliman dan keadilan kepada semua pihak.
Firman Allah SWT:
“Dan mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah antara lelaki, wanita dan kanak-kanak yang berdoa: ‘Ya Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri ini yang zalim penduduknya, dan berilah kami pelindung dari sisi-Mu, dan berilah kami penolong dari sisi-Mu.’” (Surah al-Nisa’, 4:75)
Rasulullah SAW ketika di Madinah menandatangani Piagam Madinah yang melindungi hak semua kelompok Muslim, Yahudi dan lain-lain. Baginda menentang kezaliman, tetapi tetap mengiktiraf hak kemanusiaan semua.
Hal ini membuktikan bahawa sokongan Malaysia kepada Palestin adalah berasaskan prinsip rahmah, keadilan dan penentangan terhadap kezaliman, bukan kebencian membuta tuli.
HIKAM menegaskan sekali lagi:
- Malaysia bukan pusat operasi Hamas, tetapi pusat solidariti kemanusiaan.
- Tuduhan tersebut hanyalah usaha melemahkan suara lantang Malaysia menentang kezaliman Israel.
- Kami menyeru semua pihak agar terus bersatu, menjaga akhlak dan memperkukuh usaha membela Palestin dengan hikmah dan istiqamah.
“Teguh bersama Palestin, Rahmah untuk Sejagat.”
Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM)
- Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
- Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
- Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN)
Sekretariat HIKAM
Azizuddin Ahmad
Setiausaha Agung WADAH
Mohd Hafiz Abd Hamid
Setiausaha Agung IKRAM
Muhammad Aliemran Norasid
Setiausaha Agung ABIM
Mohd Sabbri Md Yudin
Setiausaha Agung HALUAN