Ribuan Banjiri Karnival Kita Anak Malaysia 2025

Ribuan Banjiri Karnival Kita Anak Malaysia 2025 | IKRAM

IPOH – Suasana pagi di Mydin Mall Meru Raya di sini bertukar meriah dengan gelak tawa dan sorakan apabila ribuan pengunjung membanjiri Karnival Kita Anak Malaysia (KAMI) 2025 pada Sabtu, 13 September lalu.

Seawal pagi, peserta pelbagai peringkat umur menyertai aktiviti riadah seperti senaman aerobik, larian santai sekitar karnival, pertandingan mewarna serta senaman taici yang membuka tirai karnival.

Penganjuran kali kelima ini adalah hasil usaha bersama Pertubuhan IKRAM Malaysia, Kementerian Perpaduan Negara dan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun dengan kerjasama Dewan Perhimpunan Cina Perak, Malaysia Hindu Sangam Negeri Perak dan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan NGO.

Acara perasmian berlangsung penuh warna-warni apabila tetamu kehormat disambut dengan alunan rebana, gendang dan tarian singa, simbol keharmonian budaya yang menjadi wajah Malaysia. 

Dalam ucapan perasmian, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tn. Muhd. Kamil Abdul Munim yang hadir mewakili Perdana Menteri, menegaskan bahawa kekuatan negara ini lahir daripada masyarakatnya yang berbilang latar belakang tetapi berkongsi semangat dan cita-cita yang sama.

“Masyarakat Malaysia memiliki latar belakang budaya dan kefahaman agama yang berbeza, namun kita tetap hidup sebagai satu umat kerana berkongsi semangat dan cita-cita untuk membangunkan sebuah negara Madani,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa Hari Kebangsaan perlu dihayati lebih daripada sekadar perarakan.

“Baginda Nabi Muhammad SAW membawa perubahan bukan dengan kekerasan, tetapi melalui akhlak yang mulia. Gelaran al-Amin diberikan oleh masyarakat Mekah sendiri dan inilah teladan untuk kita jadikan asas membina negara bangsa,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa dalam era maklumat pantas, sentimen perkauman yang dimainkan demi perhatian media sosial boleh merosakkan perpaduan negara.

Presiden IKRAM, Hj. Badlishah Sham Baharin dalam ucapannya pula menekankan bahawa KAMI 2025 adalah manifestasi perpaduan menjelang Hari Malaysia.

“Kehadiran kita di sini bukan sekadar perhimpunan, tetapi manifestasi perpaduan yang mengatasi sempadan etnik, agama dan budaya. Inilah semangat yang ingin kita semarakkan,” ujarnya.

Selepas perasmian, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai aktiviti menarik di reruai-reruai yang menampilkan pameran kesihatan, permainan tradisional, demonstrasi masakan dan e-sukan. Suasana lebih berwarna-warni dengan pertandingan busana anak Malaysia serta persembahan kebudayaan pelbagai kaum di pentas utama.

Kemeriahan karnival terus terasa hingga ke acara penutup dengan penyampaian hadiah, persembahan artis tempatan dan cabutan bertuah yang dinanti-nantikan pengunjung. Program diteruskan di sebelah malam dengan perkongsian tentang kesihatan mental oleh SAYA dan keamanan sejagat daripada MyCARE. 

Turut hadir pada karnival ini ialah Pegawai Khas MB Perak, Dato’ Asmuni Awi; wakil Pengarah Jabatan Perpaduan Negeri Perak, En. Mohamed Zaizulman Zainal Abidin; Pengurus Besar Operasi Mydin Malaysia, Vishnu Varthana; YDP IKRAM Perak, Hj. Abdul Jalil Abdullah; Naib Presiden Dewan Perhimpunan Cina Perak, Dr. Wong Chong Yuen; Timbalan Pengerusi Hindu Sangam Perak, Pathma Devi serta barisan kepimpinan IKRAM.

Tahniah kepada jawatankuasa pelaksana yang menjayakan karnival daripada IKRAM Perak yang dipimpin oleh Pengarahnya, Dr. Azizul Salehudin dan juga penghargaan buat semua peserta serta pengunjung yang hadir memeriahkan KAMI 2025.

Dengan lebih 60 aktiviti sepanjang hari, KAMI 2025 bukan sahaja sebuah pesta komuniti, tetapi medan menyemai semangat muhibah, menghargai kepelbagaian budaya serta mengukuhkan aspirasi Malaysia MADANI.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia