Dalam dunia yang semakin diwarnai oleh teknologi, kecerdasan buatan (AI) bukan sahaja mengubah cara kita bekerja, belajar dan berhubung, malah mencetuskan pelbagai kebimbangan sosial yang meluas.
Salah satu fenomena yang semakin ketara ialah panik moral, iaitu reaksi sosial yang berlebihan terhadap isu yang dianggap menggugat nilai atau norma masyarakat.
Isu-isu seperti AI merampas pekerjaan manusia, menyebar maklumat palsu atau merosakkan moral generasi muda sering kali dibesar-besarkan oleh media dan aktor sosial tertentu hingga mencetuskan ketakutan awam yang tidak seimbang dengan realiti sebenar.
Konsep panik moral (moral panic) pertama kali diperkenalkan oleh Stanley Cohen dalam bukunya Folk Devils and Moral Panics (1972).
Menurut beliau, panik moral timbul apabila masyarakat melihat sesuatu kumpulan atau isu sebagai “seteru moral” (folk devils) yang kononnya mengancam kestabilan sosial. Laporan media yang sensasi memperhebat kebimbangan tersebut, manakala pihak berkuasa bertindak balas secara tergesa-gesa dengan dasar yang tidak bersifat jangka panjang.
Bukan sebagai alat bantu
Dalam konteks AI, panik moral terzahir apabila teknologi ini dilihat bukan sebagai alat bantu, tetapi sebagai entiti yang mengawal dan membahayakan manusia. Panik moral hanya akan melemahkan keupayaan kita untuk berfikir rasional, membina dasar awam yang inklusif dan memastikan teknologi digunakan demi kesejahteraan manusia sejagat.
Menurut pandangan falsafah utilitarianisme yang diasaskan oleh Jeremy Bentham dan disempurnakan oleh John Stuart Mill, sebarang teknologi termasuk AI haruslah dinilai berdasarkan kemampuannya membawa “kebaikan terbesar untuk bilangan manusia yang terbanyak”. Ini bermaksud sebarang panik yang tidak berasaskan data dan bukti tidak harus mengganggu usaha inovasi yang membawa manfaat sosial secara menyeluruh.
Dalam masa yang sama, perspektif deontologi oleh Immanuel Kant mengingatkan kita bahawa tindakan dan dasar berkaitan AI mestilah berlandaskan prinsip moral yang tidak melanggar hak dan maruah manusia tidak kira seberapa efisien sistem itu.
Ketakutan kepada kefahaman
Panik moral tidak dapat dielakkan dalam masyarakat yang sedang mengalami perubahan pesat. Namun, dengan pendekatan berasaskan ilmu, nilai dan keterlibatan pelbagai pihak, kita boleh menukar ketakutan kepada kefahaman, panik kepada partisipasi dan ancaman kepada peluang.
Era AI memerlukan bukan sahaja kecerdasan mesin, tetapi juga kebijaksanaan manusia. Di sinilah peranan utama bidang kemanusiaan dan sains sosial. Dalam menghadapi masa depan yang tidak menentu, bidang kemanusiaan dan sains sosial tidak boleh lagi dianggap sebagai sekadar pelengkap kepada sains dan teknologi.
Sebaliknya, ia adalah nadi dan neraca yang memastikan kemajuan manusia tidak mengorbankan nilai dan harga diri insan. Panik moral harus ditangani dengan ilmu, bukan dengan ketakutan.
Untuk itu, bidang kemanusiaan dan sains sosial (BKSS) memainkan peranan utama dalam menavigasi era AI. Disiplin ini menyediakan kerangka etika, sejarah dan budaya untuk memahami bagaimana AI mempengaruhi manusia bukan sekadar dari sudut teknikal tetapi juga dari sudut nilai dan hubungan sosial.
Literasi digital
Dalam konteks ini, literasi digital menjadi prasyarat penting bagi pelajar dan penyelidik BKSS agar mereka tidak hanya menjadi pengkritik pasif tetapi pencipta naratif dan penyelesaian yang seimbang.
Alat seperti text mining, analitik sentimen dan pemprosesan bahasa semula jadi (NLP) boleh dimanfaatkan dalam penyelidikan budaya, bahasa dan psikologi masyarakat.
Pengalaman penulis dalam membentangkan kertas kerja berkaitan AI di Persidangan Kemanusiaan dan Sains Sosial ke-17 anjuran bersama Prince of Songkla University (PSU), Thailand dengan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah memperkukuh keyakinan bahawa negara-negara ASEAN perlu berganding bahu dalam merangka kerangka nilai dan etika serantau.
Kerangka ini amat penting untuk memastikan kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak menjejaskan prinsip kemanusiaan, kelestarian sosial serta keharmonian budaya di rantau ini.
Dalam era transformasi digital yang pesat, pendekatan kolektif dan berpaksikan nilai-nilai Asia Tenggara amat diperlukan bagi menavigasi apa-apa informasi yang disebarkan. Cabaran seperti panik moral perlu dipantau serta potensi AI digunakan dengan berhemah dan berintegriti.
Pendekatan interdisiplin juga semakin penting. Apabila sosiologi, antropologi dan falsafah bergabung dengan sains komputer dan teknologi maklumat, kita bukan sahaja menghasilkan sistem AI yang lebih efisien, tetapi juga lebih empatik, adil dan berasaskan nilai.
Dalam hal ini, Ahli Jawatankuasa Pusat (JKP) IKRAM, Ustaz Nu’man Hani Jamal menjelaskan bahawa prinsip adab dan rahmah dalam Islam boleh dijadikan panduan penting dalam membina ekosistem teknologi yang madani iaitu yang menghormati hak manusia, menjaga kesejahteraan sosial dan mementingkan keseimbangan spiritual.
Pendidikan juga perlu menyesuaikan diri. Kursus seperti Etika Digital, AI dan Masyarakat serta Kemanusiaan Komputasional perlu diperkenalkan di institusi pengajian tinggi sebagai langkah persediaan.
Kajian-kajian baru perlu meneliti bagaimana AI memberi kesan kepada struktur pekerjaan, hubungan kekeluargaan, identiti gender dan budaya popular.
Lulusan BKSS harus dilengkapkan bukan hanya dengan pengetahuan teori, tetapi juga kemahiran masa hadapan seperti UX research, penulisan berasaskan AI dan analisis data sosial sambil mengekalkan kekuatan dalam empati, pemikiran kritis dan komunikasi.
Kita perlu cakna bahawa aspek-aspek seperti dasar awam dan naratif media perlu dikawal secara berhati-hati. Jika wacana tentang AI terus dikuasai oleh teknokrat dan korporat semata-mata, masyarakat akan kekal dalam ketakutan dan kebingungan.
Semua pihak berperanan sebagai “penjaga moral” dan “pemakna budaya” agar teknologi tidak menjadi alat eksploitasi, tetapi wahana pencerahan.
Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw FCILT
Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia &
Pengerusi Women in Logistics and Transport (WiLAT) Malaysia