SERI KEMBANGAN – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) melalui Kluster Kemakmuran Ekonomi dan Kajian Dasar IKRAM (KADRI), telah menganjurkan Seminar Kemakmuran Ekonomi bertempat di Ibu Pejabat IKRAM semalam.
Seminar yang dianjurkan dengan kerjasama Behavioural Insights Consultancy ini memberi tumpuan kepada peranan organisasi masyarakat sivil dalam memacu agenda dasar demi mencapai keadilan ekonomi dan sosial berasaskan maqasid al-syariah.
Dalam ucapan pembukaan, Ketua Kluster Kemakmuran Ekonomi, En. Mohammad Abd Hamid, menekankan kepentingan kerjasama pelbagai pihak dalam memperkukuh agenda Malaysia Negara Rahmah.
Beliau menyatakan bahawa kemakmuran ekonomi perlu berpaksikan keadilan sosial melalui dasar membasmi kemiskinan dan pengagihan kekayaan yang saksama.
Advokasi kewangan sosial
Dalam seminar ini, ahli panel pertama, Dr. Khairunnisa Abd Samad merangkap pensyarah kanan di UiTM Melaka membentangkan pendekatan Theory of Change untuk advokasi kewangan sosial, sambil menekankan peranan IKRAM sebagai organisasi bukan kerajaan (NGO) Islam yang berupaya menerajui agenda kewangan sosial di Malaysia.
Beliau turut menggariskan kepentingan pendekatan advokasi kewangan sosial yang berstrategi dan berasaskan impak dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial masyarakat.
Penekanan turut diberikan kepada peranan strategik NGO dalam memperkukuh daya tahan komuniti menerusi pendekatan dasar berteraskan nilai dan impak sosial.
Tiga cabaran IMPAK
Ahli panel kedua, Cik Ani Syahirah Zainal Abidin, seorang pembantu penyelidik di KADRI, berkongsi tentang IMPAK (Ibu Bapa Memastikan Peningkatan Akademik Kanak-kanak), iaitu satu inisiatif intervensi sosial dan pendidikan yang menyasarkan ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah.
Pembentangan beliau menyorot tiga cabaran utama dalam pelaksanaan IMPAK, iaitu komitmen kehadiran peserta, keterbatasan ruang pembelajaran serta kekangan dalam pelaksanaan modul.
Beliau turut mencadangkan intervensi-intervensi untuk meningkatkan keberkesanan IMPAK dengan disesuaikan dengan konteks di lapangan.
Penyelesaian kecil, kesan besar
Ahli panel ketiga, En. Adam Zakwan Zulkifli, pelajar tajaan Yayasan Khazanah dalam jurusan Ekonomi dan Psikologi di Boston University yang telah selesai menjalani latihan industri di bawah kelolaan Behavioural Insights Consultancy, berkongsi pengalaman beliau selama dua bulan.
Beliau menekankan bahawa ekonomi gelagat bukan sekadar teori, tetapi pendekatan praktikal dan empatik dalam memahami realiti masyarakat dan merangka dasar yang lebih berkesan.
Beliau turut menyorot bagaimana penyelesaian kecil yang dirangka secara teliti boleh memberikan kesan besar kepada tingkah laku masyarakat, apabila ia disesuaikan dengan konteks tempatan.
Seminar sebegini diharapkan dapat menjadi platform perkongsian ilmu dan jaringan kerjasama antara pelbagai pihak dalam memacu usaha advokasi dan meningkatkan keberkesanan dasar berasaskan bukti, nilai rahmah dan kemampanan.