BANGI — Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) telah terlibat sebagai rakan NGO dalam penganjuran Kem SUSTEn (Sustainability and Renewable Energy Gamification Learning Approach) yang berlangsung pada 13 dan 14 Jun 2025.
Kem yang diketuai oleh Prof. Dr. Hanim Salleh selaku Pengarah Projek SUSTEn ini merupakan inisiatif Unit Edu-Pelancongan, Jabatan Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kolej Pendidikan Berterusan (CCEd), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
Kem SUSTEn dilaksanakan dengan kerjasama UNITEN IMechE Student Chapter, Sekolah Menengah Sri Al-Amin Bangi dan IKRAM, yang diwakili oleh Ketua Jabatan Agenda Nasional, En. Mohd Iqbal Hakim Mohd Adnan.
Program ini dijalankan di bawah geran Komuniti Antarabangsa UNITEN–Universitas Pertamina, Indonesia, bertemakan “SUSTEn to Enhance STEM Enrollment among School Students”.
Matlamat utama penganjuran kem ini adalah untuk memperkenalkan konsep tenaga boleh baharu serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 2030) kepada para pelajar melalui pendekatan pembelajaran berbentuk gamifikasi yang menyeronokkan dan interaktif.
Inisiatif ini turut menyokong usaha mempergiat penglibatan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Seramai 50 orang pelajar Tingkatan 3 dari Sekolah Menengah Sri Al-Amin Bangi telah menyertai kem ini bersama fasilitator terlatih. Peserta berpeluang menyertai pelbagai aktiviti praktikal dan eksperimen menarik seperti penghasilan sel solar DIY daripada buah naga dan beri, serta pembinaan prototaip satelit solar.
Turut memeriahkan program ialah penglibatan delegasi dari Universitas Pertamina, Indonesia yang mengendalikan slot istimewa bertajuk Kimia Hijau.
Penglibatan IKRAM dalam program ini adalah selaras dengan komitmen Jawatankuasa Agenda Nasional IKRAM, khususnya melalui penubuhan Kluster Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) serta Kluster Pendidikan baru-baru ini.
Usaha ini mencerminkan peranan IKRAM dalam menyokong ekosistem pendidikan masa depan yang lestari dan inklusif.